29/08/19
"Alyan jalan kaki lagi?" Ayah tegur apabila ternampak aku di tangga. Aku mengangguk membalas pertanyaan dia. "Tak nak cuba naik pakcik Zan?"
Aku tersenyum hambar. Laju aku menolak hasrat ayah untuk tengok aku naik kereta pergi ke sekolah.
Cuba? Tak mahulah aku. Mati sakit mental pula aku nanti!
"Shakeel, teman dia," suruh ayah tiba-tiba. Pegun terus tubuh badanku. Terkebil-kebil aku memandang Shakeel sambil tangan bergerak membuat isyarat tak mahu kepada lelaki itu. Memohon supaya dia berkata tidak pada ayah untuk pagi ini saja.
Kes tempoh hari di mana Shakeel tinggalkan aku di tepi jalan pun masih segar dalam ingatan. Jelaslah dia memang tak ingin nak hantar aku ke sekolah. Teman aku jalan kaki? Apa pula yang dia akan buat nanti? Pijak kain aku? Tarik tudung aku? Tolak aku jatuh longkang? Fuh!
"Tak payahlah, ayah. Dia ada motor, naik ajelah motor. Penat-penat dia kumpul duit, kan? Alyan boleh pergi sendiri." Mengharapkan Shakeel membalas sesuatu seperti yang aku minta, mana mungkin dia tunaikan. Lebih suka agaknya kalau aku terhegeh-hegeh begini.
Berkerut-kerut muka ayah tengok anak sulungnya yang degil tak mahu ikut cakap dia. Bukan tak nak ikut cakap ayah, kalau pasal kereta memang aku cepat menolak.
Nak buat macam mana kalau aku dah terbiasa jalan kaki sorang-sorang. Sebelum ini pun aku okey saja pergi dan balik sekolah. Apalah sangat kalau terkejar anjing. Calar kaki sikit aje. Terlebih prihatin pula ayah sejak balik ke rumah.
Shakeel aku lihat sedang bercakap melalui telefon. Kata-kata aku tadi entah dia dengar atau tidak. Aku dah kata dah, dia mana peduli. Aku nak ke, tak nak ke, kalau ayah tak suruh dia, dia memang takkan buat. Kalau ayah suruh dia, terpaksalah dia ikut cakap ayah.
Aku menyarung kasut sekolah. Shakeel yang berjalan keluar aku abaikan. Setelah menyarung kasut aku berjalan keluar dari rumah. Pagar rumah aku tutup.
Sampai setengah jalan aku terserempak dengan seseorang. Seseorang yang aku sangat kenal wajahnya walaupun aku jarang nampak dia. Dia akan datang ke rumah aku kalau ada hal penting sahaja. Soalan aku sekarang, kenapa dia ada di sini?
Azam, kawan rapat Shakeel seperti sedang mencari sesuatu. Mungkin mencari Shakeel? Mungkin dia lupa arah jalan ke rumah aku?
Tak nak ada apa-apa kaitan, jadi aku membesarkan langkah. Buat-buat tak nampak dia di sana.
Kalau aku kenal dia, dia lagilah kenal aku! Sebab apa? Sebab kes tempoh harilah!
Semuanya kerana Zareef yang mengambil kesempatan. Menjadikan aku kambing hitamnya demi memuaskan hati sendiri. Kalau aku dapat dia... Aku nak pijak muka dia dengan kasut saiz enam di kakiku ini.
Cakap pasal Zareef, dah lama juga aku tak nampak dia. Macam mana nak nampak kalau setiap kali bertembung, dia lari daripada aku. Macam tahu-tahu aku berniat nak kerat kepala dia. Tahu pun dia dah buat salah.
Macam manalah aku boleh terpedaya dengan dia? Sedangkan aku sendiri tahu dia memang kurang sivik orangnya. Sampai sekarang aku masih tak tahu sebab apa Zareef buat begitu.
"Alyan!" Suara itu memanggil. Terus terbantut langkah aku. Spontan aku berdecit. "Oi!"
Aduh, dia nampak aku ke!
Aku tetap tak menoleh. Manalah tahu dia panggil orang lain, kan? Ramai lagi budak sekolah tinggal di kawasan perumahan ini.
"Pekak ke hah!"
Ayo, marah ke bro!
Lambat-lambat aku menoleh. Takut pula dengan lelaki bernama Azam ini. Dia kalau dah marah boleh jadi macam langsuir. Garang dia serupa pembuli, muka ketat macam ketua yakuza, bahasa macam minta penampar.
YOU ARE READING
KeelLela
Teen Fiction#01 in Teenfiction : 25/12/19 😱 #01 in Teenfiction : 15/08/21 🦭 💃 Mungkin bakal menjadi cerita cinta cringe cliche kesukaan anda 💃 Banyak cliche, banyak drama, cinta monyet geli-geli, masalah keluarga 🦭 Dulu kita main sama-sama Sekarang macam...