RAIHANAH melangkah keluar dari bilik tidurnya. Matanya memerhati segenap ruang di tingkat dua rumah banglo ini. Suasananya agak gelap dan suram. Hari pula semakin menginjak ke malam.
Raihanah memandang ke arah tangga yang menghubungkan ke tingkat 3. Kawasannya lebih gelap tanpa cahaya lampu. Terasa seperti sedang diperhatikan, segera Raihanah turun apabila berasa tidak sedap hati.
Di tingkat bawah, matanya sekali lagi melilau mencari tubuh Mastura. Sudahlah ini kali pertama dia menjejakkan kakinya di situ jadi manalah dia tahu selok belok rumah besar bak istana ini.
"Kak Mas!" Panggil Raihanah sedikit kuat.
Ting!
Raihanah terus menoleh ke belakang apabila ada satu bunyi berdenting. Tak lama selepas itu, muncul tubuh Mastura dari perut lif. Dan Raihanah seakan tergamam. Baru dia perasan yang rumah ini mempunyai lif.
"Eh, Hana. Dah lama tunggu situ?" Soal Mastura sambil menolak troli kecil.
Raihanah memandang dengan kerutan di dahi. "Tak adalah lama sangat. Err, Kak Mas dari mana?"
"Jom kita pergi dapur. Hana nak makan tak?" Soal Mastura seakan mengelak untuk menjawab soalan daripada Raihanah.
Raihanah menggeleng perlahan. Waktu-waktu begini, dia memang tak ada rasa nak makan. Dia membuntuti langkah Mastura dari belakang. Sekali lagi, matanya menoleh ke arah kotak lif.
"Hana baru perasan yang rumah ni ada lif." Raihanah membuka bicara setelah duduk di atas kerusi di meja makan.
"Rumah ni memang ada lif. Lif ni sampai ke loteng rumah." Jawab Mastura sambil tangannya lincah membasuh pinggan mangkuk di singki.
Raihanah memandang troli kecil yang dibawa Mastura tadi. Terdetik persoalan dalam dirinya. Mereka... sangat misteri.
"Tadi Kak Mas pergi mana dengan troli ni?" Soal Raihanah ingin tahu.
Perbuatan Mastura terhenti seketika. Dia sedang membelakangkan Raihanah. Dia memandang Raihanah dengan ekor mata.
Mastura berdehem. Dia mengelap tangan pada kain lap yang tersedia di kabinet dapur. Lalu, dilabuhkan duduk di hadapan Raihanah. Raihanah masih lagi menunggu soalannya dijawab.
"Okay, sekarang ni Kak Mas nak bagitahu Hana apa kerja Hana." Kata Mastura, tenang.
Raihanah terkebil-kebil. Kenapa dengan Kak Mas ek? Kenapa dia macam nak mengelak?
"Err, apa dia?" Soal Raihanah berdebar-debar. Takut juga dia jika disuruh buat kerja yang tidak senonoh.
"Disebabkan Hana tak dapat bayar hutang yang Tuan Danish mintak, jadi Hana diminta untuk menjadi pengasuh dalam rumah ni. Hana kena jaga seseorang dalam rumah ni." Tenang sahaja Mastura menuturkan ayatnya.
Raihanah beriak pelik. Pengasuh? Seseorang?
"Oh... okay... pengasuh, tapi seseorang tu siapa? Budak? Kalau budak, mana dia?" Soal Raihanah sambil matanya seolah-olah mencari kelibat budak kecil.
"Nanti Hana akan tahu juga. Sekarang ni," Mastura mengambil sebuah fail hitam dari dalam troli lalu dihulurkan pada Raihanah.
"Hana baca dulu arahan dari Tuan Danish. Fahamkan. Kalau tak faham, Hana boleh tanya dekat Kak Mas." Kata Mastura bersama senyuman.
Lambat-lambat Raihanah mengambil fail hitam dari Mastura. Dia memandang Mastura sekejap sebelum matanya beralih pada isi kandungan di atas kertas itu.
Peraturan yang perlu dipatuhi jika berada di White Resident :-
1- Dilarang sama sekali menjejakkan kaki di Black Floor atau Tingkat 3 White Resident.
2- Hanya orang tertentu sahaja yang dikehendaki berada di Black Floor.
3- Hanya Tuan Danish Anderson, Cik Mastura dan Meor sahaja yang dibenarkan menggunakan lift serta berada di Black Floor.
4- Jika ada sesiapa yang melanggar peraturan di atas, akan dikenakan hukuman.Raihanah membaca bersama dengan kerutan di dahi. Sungguh, dia tak faham dengan peraturan ini. Jika semuanya dilarang, habis tu dia hanya dibenarkan berada di tingkat bawah dan tingkat dua sahaja. Begitu?
Melihatkan Raihanah yang tertanya-tanya itu, Mastura tersenyum kecil.
"Hana boleh selak next page. Situ, ada peraturan untuk Hana." Raihanah tidak menunggu lama lalu terus menyelak halaman seterusnya.
Peraturan untuk Cik Raihanah, pengasuh peribadi di White Resident :-
1- Cik Raihanah ditugaskan untuk menjadi seorang pengasuh kepada Tuan Daniel Adam selama mana khidmat Cik Raihanah diperlukan.
2- Gaji yang diperuntukkan untuk Cik Raihanah ialah RM10k sebulan.Raihanah terlepas tawa kecil. Entah kenapa, dia rasa kelakar dengan peraturan begini. Gila ke? Ada ke orang nak bagi gaji RM10k sebulan? Kalau macam tu, lebih baik aku blah bila dah dapat gaji sebulan ni.
Tapi, siapa Tuan Daniel Adam?
"Hana baca sampai habis dulu." Tegur Mastura membuatkan Raihanah menumpukan semula pada surat peraturan.
3- Cik Raihanah tidak akan dibenarkan pulang ke rumah selama 3 bulan tanpa apa-apa sebab. Jika Cik Raihanah melanggar peraturan, Cik Raihanah akan diberikan tindakan.
4- Keluarga Cik Raihanah akan berada dalam keadaan selamat. Keluarga Cik Raihanah akan dipantau dan diberikan keselesaan selama Cik Raihanah berada di White Resident.
5- Cik Raihanah hanya boleh berada di Black Floor atas arahan Tuan Danish Anderson atau Tuan Daniel Adam.
6- Sila patuhi arahan jika mahu selamat.Raihanah menghabiskan bacaannya yang terakhir dengan perasaan yang dipenuhi dengan pelbagai persoalan.
"Siapa Tuan Daniel Adam? Boleh tak Kak Mas terangkan semuanya dekat Hana biar Hana betul-betul faham." Pinta Raihanah lembut.
Mastura menghadiahkan senyuman berserta anggukan. Dia tahu gadis ini pasti penuh dengan soalan.
"Hana jadi pengasuh untuk Tuan Daniel. Kalau ada arahan dari Tuan Daniel, baru Hana boleh bergerak, ikut apa yang disuruh Tuan Daniel. Selagi tak ada arahan dari Tuan Daniel, Hana tak boleh jejakkan kaki dekat dalam lif dan dekat Black Floor." Mastura menerangkan apa yang patut.
"Siapa Tuan Daniel tu, Kak Mas? Dan kenapa dengan dia? Kenapa tiba-tiba Hana kena jadi pengasuh untuk dia pulak? Mesti dia dah besarkan?" Bertalu soalan yang keluar dari mulut Raihanah namun Mastura masih lagi tenang.
"Tuan Daniel ialah adik kepada Tuan Danish. Dia sakit dan perlukan orang untuk tengok dia. Dan kalau Hana nak tahu, Hana ialah orang kesepuluh yang jadi pengasuh untuk Tuan Daniel."
Raihanah sedikit ternganga. Dia seakan tak boleh nak hadam dengan apa yang baru sahaja dia dengari tadi.
"Kesepuluh? Habis, pengasuh yang sebelum ni?" Soal Raihanah.
"Diorang larikan diri." Jawab Mastura bersama dengan senyuman nipis.
Raihanah terdiam. Mungkin mereka melarikan diri setelah dapat RM10k? Tapi, Raihanah tak langsung kisah tentang duit itu semua, baginya yang paling penting, abah dan adik-adiknya akan dijaga sebaiknya seperti dalam peraturan itu.
----------------------------------------------------------------
Votes and comments!
YOU ARE READING
The Beastly. [complete]
RomanceSTATUS; C O M P L E T E . B L U R B; Sumpahan. Sumpahan itu yang menyebabkan lelaki itu begitu. Dan penawarnya ialah... Cinta sejati. ----- "Love doesn't need to be perfect, it just needs to be true." - The Beastly. Beauty and The Beast versi mod...