Kelihatan kereta Perodua Viva diparkir di luar pagar rumah, Alya menyusuri jarinya lalu dicabut kembali kunci pintu rumah sewanya itu. Pintu kemudian ditutup kemas dan rapat sebelum dikunci kembali dari dalam.
Kasut bertumit berwarna hitam disandarkan di tepi dinding disebelah rak kasut yang sudah penuh dengan kasut-kasut lain milik Alya dan juga teman-teman serumahnya.
Sambil berlalu ke dapur untuk mendapatkan segelas air, tas tangan dan dokumen yang dibawa balik diletakkan lembut diatas meja makan.
Mug bercorak tupai dicapai tangannya. Mug tersebut merupakan item hasil sesi pertukaran hadiah sewaktu di tahun dan semester terakhir ketika pengajian Alya di salah satu menara gading tersohor di tanah air tercinta ini.
Kebetulan rakan-rakan sepengajian yang mengambil jurusan yang sama tidak ramai jadi Alya dan rakan-rakannya menjadi rapat. Lalu apabila idea tentang pertukaran hadiah dilontarkan, hampir majoriti rakan-rakannya baik lelaki mahupun perempuan bersetuju sebulat suara.
Bagi memudahkan urusan dan memandangkan jumlah lelaki dan perempuan lebih kurang sama banyak, dicadangkan undian rawak diadakan untuk menentukan siapa akan beri hadiah kepada siapa.
Mungkin agak malang sekali bagi salah satu rakannya waktu belajar dahulu kerana dia dan beberapa rakan perempuan lain mendapat nama sesama rakan-rakan peremuan. Sungguh benar stastistik rasmi kementerian pendidikan tinggi tentang lambakan penuntut wanita di institusi pengajian tinggi berbanding lelaki.
Alya tersenyum kecil mengenang rakan-rakan perempuan yang menanggung 'derita' terpaksa membeli hadiah kepada rakan perempuan yang lain. Mereka beramai-ramai memprotes mahukan nama laki-laki di atas kertas undi.
Sungguh lucu dan kasihan. Berbalik kepada salah seorang rakan perempuan tadi, dia berharap sangat dapat undian nama crush-nya.
Sayang sekali hajatnya tidak kesampaian. Malah bertitik tolak dari situlah, seorang lagi rakan perempuan yang lain mendapat undian nama crush-nya. Bibit-bibit perkenalan bermula dan kemudian disulami keintiman yang bertambah dari masa ke masa membawa mereka berdua ke jinjang pelamin. Sungguh tidak disangka, melepas pula rakan perempuannya yang seorang itu.
Seperti sudah ditakdirkan, perancangan Tuhan memang tidak mampu manusia duga. Orang lain yang berhajat tetapi orang lain pula yang dapat hasil.
Jauh fikiran Alya melayang mengimbau kenangan silam. Memori Alya sewaktu menerima hadiah mug juga manis kerana jujurnya rakan yang memberinya mug tersebut pernah menjadi antara lelaki di kejar-kejar dan digila-gilakan dalam jurusannya.
Sampaikan pernah mereka berdua dijadikan mangsa gosip skandal rakan-rakan lain. Nak tergelak pun ada. Tetapi, mungkin antara mereka tiada jodoh agaknya. Ini kerana masing-masing mungkin malu atau mungkin juga tiada impetus untuk mengenali diri masing-masing dengan lebih serius.
'Ahh...banyak memori indah waktu belajar dulu, masam manis kelat pahit semua ada, memang cukup rasa lah. Haha,' getus hati Alya. Kehidupan yang lebih santai dan mudah amat dirindui berbanding kehidupan bekerjanya sekarang yang memerlukan komitmen dan disiplin yang serius.
'Dengar cerita budak yang berdua tu sampai jadi kahwin. Haha. Siap dah ada anak sorang dah. Hmm...yang lain-lain agaknya jadi apa ya sekarang? Banyak dah lost contact ni. Nombor pun masing-masing dah tukar. Waktu tu social media tak macam sekarang. Nasib baik ada sorang dua yang nombornya aku ada. Kena cari balik ni kalau nak buat reunion," fikir Alya sambil mindanya dia turut melayang ke 'skandal'nya dahulu, 'Agak-agaknya apa lah dia buat sekarang ya? Hmm?'

YOU ARE READING
Romantis Berkasih A to Z
RomanceThe Sofia yang kini sedang merangkul kemas beruang tersebut kelihatan naïf, mencerminkan imej lemah dan bagi sesiapa yang memandang, pasti timbul rasa ingin melindungi dan menyayangi makhluk tuhan secomel itu. Tetapi jangan dinilai berdasarkan paras...