54

456 39 11
                                    

Mata Zhong Yi meliar melihat sekelilingnya yang sesak dengan orang ramai dan gerai-gerai di sepanjang tepi jalan. Qing Qing pula sejak awal setia mengikuti ke mana sahaja lelaki itu pergi.

"Ada apa yang meriah sangat ni?" tanya Zhong Yi pada Qing Qing di sebelah. Almaklumlah, sudah lama dia tidak keluar. Duduk terperap dalam istana saja.

"Minggu ni, duta dari Empayar Fenghua akan tiba. Mereka sedang menyediakan festival bagi menyambut duta tersebut. Lagi pula, hari jadi Maharaja Mu bakal tiba. Mereka ingin menyambut sekali majlis tersebut." terang Qing Qing.

Zhong Yi mengangguk. Patutlah kelihatan meriah saja. Dia yang sudah lama tidak berbual dengan XiHua, langsung tidak tahu menahu. Nak diikutkan.. sudah hampir sebulan dia tak bercakap dengan Putera Kelima? Lama betul. Padanlah dia langsung tidak dapat mengawal nafsunya. Dia juga merupakan seorang lelaki.

"Hahh.." keluhan Zhong Yi itu telah berjaya menarik minat seorang lelaki separuh umur tidak jauh dari mereka.

Lelaki itu tersenyum dengan kedutan di wajah sambil melambai ke arah Zhong Yi dan Qing Qing. Di hadapannya ada satu meja kecil yang berlapikkan kain nipis. Qing Qing memandang ke arah Zhong Yi dan apabila melihat lelaki itu mengangguk, mereka berdua berjalan mendekati lelaki tersebut.

"Nak cuba meramal nasib?" soal lelaki  itu.

"Ah, tukang tilik?" wajah Qing Qing bertukar teruja.

Dia menoleh ke arah Zhong Yi untuk meminta kebenaran. Zhong Yi mengangguk tanpa perasaan. Selepas itu lelaki tadi meminta Qing Qing untuk menghulur tangannya.

"Hmm..." tangan Qing Qing diusap oleh lelaki itu dan direnung lama. "Nasib kamu tak berapa baik. Tuan yang kamu jaga akan mendapat nasib malang dan kamu akan terbabit sama."

Saat itu, wajah Zhong Yi berubah. Dia yang seringkali ditilik nasib sebagai seorang yang malang sejak kecil sudah lali mendengarnya. Namun apabila dia mendengar akan Qing Qing yang bakal menempah nasib buruk kerana dirinya, buat Zhong Yi tidak sedap hati.

"Eh?" Qing Qing terkebil-kebil memandang lelaki tukang tilik itu.

"Anak muda, buat sementara waktu ini lebih baik kamu jangan keluar dari rumah." pesan lelaki itu kepada Qing Qing.

"Kamu pula? Nak cuba?" tukang tilik itu kemudiannya memandang pula ke arah Zhong Yi.

Zhong Yi menggeleng. Kalau ditilik nasib pun, nasibnya akan sentiasa sama. Malang dan nasib buruk. Lantas Zhong Yi memegang tangan Qing Qing dan ditariknya perempuan itu untuk cepat-cepat pergi. Tak sanggup dia berlama-lamaan disitu. Bukan apa, dia rasa lelaki tukang tilik itu bagai dapat melihat ke semua tentang dirinya.

Zhong Yi rimas dan tidak senang duduk. Kenapa..

Kenapa jantungnya tidak boleh bertenang? Degupannya laju dan membuatkan Zhong Yi sakit dada. Sesak dan tidak selesa. Apa perasaan ini? Perasaan diperhatikan?

Dari jauh, lelaki yang tadinya telah menilik nasib Qing Qing masih tersenyum. Dia melihat kelibat dua orang itu menghilang dari pandangan sebelum dia kemudiannya bertukar menjadi seorang lelaki yang muda. Wajah lelaki separuh umur tadinya terus hilang semua kedutan. Bajunya juga bertukar menjadi sesuatu yang tidak pernah dilihat orang di situ.

Meja kecil dihadapannya pula bertukar menjadi satu tongkat kayu berwarna emas. Rambut lelaki itu memanjang dan beralun dengan angin. Orang ramai yang lalu lalang hanya berjalan tanpa mempedulikannya seolah-olah lelaki itu tidak wujud. Dia bagai bayang-bayang dan angin lalu. Sesiapa pun tidak menyedari akan kehadirannya disitu.

"Apa yang kau buat di sini?" soal satu suara. Dari atas, turun seseorang dengan sayap yang berwarna kelabu pekat seperti kelawar. Wajahnya nampak garang ditambah lagi dengan tiga tanduk di kepalanya. Sayapnya dilipat dibelakangnya apabila dia mendarat bersebelahan dengan lelaki bertongkat itu.

Tiga Dunia: The Prince and The Dancer (Completed)Where stories live. Discover now