Bab 2

645 28 4
                                    

MELIHAT jam yang sudah masuk ke lapan empat puluh minit malam, Mak Wan bangun daripada sofa dan turun ke dapur dengan rasa sebal. Pinggan di atas rak diambil dan duduk di meja makan dengan wajah mencuka. Nak menkedarah pun dia boleh stress. Tak lain tak bukan, sebab anak lelaki dia sorang tulah. Si Aathif tu keluar tak balik-balik lagi. Aathif ingat dia tak tahu ke yang dia tahu anak lelaki dia tu ke rumah Cempaka? Geram sungguh dia!

Tak cukup-cukup lagi ke siang hari mengadap si Cempaka tu, sampai waktu malam pun nak kena tengok batang hidung gadis itu lagi? Tuhan sajalah tahu marah dia ni macam mana. Aathif tak pernah nak dengar cakap dia. Selalu sahaja cari jalan nak sakitkan hati dia ni.

Saji yang menutup hidangan makan malam diangkat dan diletakkan di bawah. Nasi diceduk sesenduk ke dalam pinggan. Tak lalu dia nak makan banyak-banyak kalau makan sorang-sorang.

Teringatkan wajah Cempaka, mendidih sahaja hati tua dia ni. Tak faham kenapa Aathif selalu membelakangkan kehendak dia demi si dara sunti yang tersumpah tu. Dia tahulah si Cempaka tu cantik, memang ramai lelaki-elaki muda dekat kampung mereka ni berkenan. Tapi kalau nak cakap si Aathif pun ada hati sama dengan Cempaka, dia yakin mesti si Cempaka tu ada pakai ilmu guna-guna. Mana taknya, anak lelaki dia tu dah macam hamba dia rasa. Apa sahaja kehendak Cempaka, laju sahaja si Aathif menurut. Cuba kalau dia cakap dia tak suka Aathif hari-hari berjumpa Cempaka, mulalah tak kena gaya. Mengamuk marahkan dia balik. Makin dah hilang hormat dekat dia ni agaknya. Dan dia yakin, tak lain tak bukan, anak lelaki dia tu duduk bawah pengaruh Cempaka.

Dia dah tak tahu dah nak buat macam mana. Ikutkan hati, nak sahaja dia lari ke Kuala Lumpur, duduk dengan Asmira. Si Aathif dekat kampung ni, biar kena tinggal. Duduk sorang-sorang. Tapi nak buat macam tu, dia tak berani. Dia tak nak Aathif pula yang jadi mangsa macam anak sulung dia, Azlan. Terjebak dalam sumpah yang terkena batang tubuh Cempaka tu. Demi Tuhan, kalau daripada awal lagi dia sedar benda tu, takkan sesekali dia bersetuju nak nikahkan Azlan dengan Cempaka. Sekarang tengoklah nasib dia, ditinggalkan Azlan untuk selama-lamanya.

Menyuap nasi ke mulut dengan perasaan geram, nikmat langsung tak terasa. Gulai nangka muda kegemaran dia pun tak membangkit selera sedikit pun. Apa yang pasti, dia tak boleh nak buang resah dan gelisah fikirkan Aathif. Tak tahulah macam mana lagi dia nak buat untuk halang Aathif daripada berjumpa Cempaka.

Dia ini, kalau menyebut nama Cempaka sahaja sudah menggerutu perut pedal. Macam mana dia nak izinkan si Aathif tu bersenang-senang melayan Cempaka dengan penuh perhatian? Sepatutnya Aathif dahulukan dia, lebihkan dia, bukannya gadis tak sedar diri tu.

Usai sahaja Mak Wan habiskan nasi di dalam pinggan, dia bangun dengan keluh kesah ke singki untuk mencuci pinggan. Belum selesai mencuci pinggan di tangan, kedengaran enjin motorsikal Aathif di luar rumah. Haa, tahu pun balik anak bertuah tu.

Yakin yang Aathif akan terus masuk ke dapur, Mak Wan labuhkan semula duduk di meja makan. Butir bicara disusun elok-elok di dalam kepala dengan niat untuk hemburkan semuanya sekali gus kepada Aathif sekejap lagi.

“Mak, tak makan lagi ke? Kenapa duduk aje?”

Memerhati Aathif turun dan bergerak ke arahnya, Mak Wan menarik nafas dalam. Geram sungguh kalau ikutkan hati.

“Tak payahlah nak berlagak prihatin dengan aku ni. Padahal kalau aku mati kering dekat rumah ni pun kau tak tahu-menahu.”

“Mak cakap apa ni? Orang tanya dah makan ke belum, kan? Kalau tak makan lagi, nak makan sama-sama.”

Mak Wan mencebik sinis dengan jawapan Aathif. “Kau pergi jumpa Cempaka, kan? Kau ingat aku tak tahu? Dah berapa kali aku cakap tak payah pergi rumah perempuan tu. Kau tak faham bahasa ke, Thif? Nak aku cakap bahasa apa dengan kau ni. Degil sangat kau, kan?” 

Bakawali, Bunga Suci (Love Novel Publication)Where stories live. Discover now