[29/12]
SELESAI mengutip mangga-mangga muda yang berterabur di atas tanah selepas digait sebentar tadi, Cempaka duduk semula di atas pangkin. Petang-petang macam ni, terasa nak makan mangga muda dengan colek budu pulak. Bersungguh dia menyuruh Eton masuk ke dapur untuk buat colek budu.
Bulat yang bermain-main dekat di kaki ditampar lembut. "Pergi main sana! Masamlah mangga ni, bukannya kau boleh makan pun," ujarnya, bercakap dengan Bulat. Tapi degil Bulat, biasalah, sampai ke atas pangkin pun dia nak naik.
Seketika menanti, akhirnya Eton keluar dengan sebekas mangkuk dan pisau di tangan.
"Petik lada burung dekat tangga tu sekali, Ton," jerit Cempaka sebelum Eton sempat memakai selipar. Pokok lada dia itu dah banyak hari tak kutip. Banyak dah buah yang masak merah.
Duduk di pangkin, Cempaka dan Eton menikmati mangga muda bersama. Buah mangga kecil yang dipanggil 'pauh ringan' itu memang biasa dimakan tanpa dikupas kulit. Cuma perlu basuh bersih sahaja. Orang kampung memang makan buah mangga tersebut sebagai colek. Kalau ada yang rajin, mereka akan buat sambal. Tumbuk mangga dengan cili bersama ikan masin. Memang terangkat dimakan dengan nasi yang panas-panas. Kalau buah yang masak, digonggol macam tu sahaja. Yalah, buahnya pun tak sebesar mana. Kecil molek sahaja.
Ralit menjamu buah mangga, bunyi enjin kereta masuk ke kediaman rumahnya buatkan Cempaka berkerut kecil.
"Tok Penghulu mari sini nak apa?"
Cempaka tersenyum kecil mendengar Eton bersuara. "Adalah tu apa-apa hal nak bagitahu," balasnya rendah.
Keluar sahaja bekas bapa mentuanya itu daripada kereta dan berjalan ke arahnya, bibir spontan sahaja menayang senyuman.
"Ayah," tegurnya lembut.
"Eh, besar dah kembing kamu ni. Rasa dulu, kecik lagi."
Cempaka sekadar tertawa kecil apabila perihal Bulat disuarakan.
"Haah. Dah lama dah pun Cempaka bawa dia duduk dekat rumah ni," ujarnya memberitahu. Bercakap pasal Bulat, dulunya Bulat lahir dekat kandang dengan semua kambing-kambing yang dia bela di ladang sana tu. Tapi ibu Bulat mati. Sebab itu dia ambil anak kambing itu untuk dibela di rumah. Susu dibeli khas untuk Bulat untuk digantikan dengan susu ibunya. Dan sampai sekarang, dah setahun dah Bulat duduk dengan dia. Nak lepaskan untuk duduk dengan kambing-kambing lain, Bulat sendiri yang tak nak. Jadi dia biarkan aja Bulat duduk dengan dia di sini.
"Ayah ada benda nak bincang dengan kamu ni, Cempaka."
Cempaka diam sahaja menanti bekas bapa mentuanya itu duduk dengan selesa.
"Pasal apa, yah? Naik ataslah. Kita sembang dekat atas."
"Eh, tak payahlah. Sini pun okey."
"Yalah," balasnya bersetuju. "Colek pauh, yah?" pelawanya kepada lelaki itu.
"Makanlah..."
"Hmm, Ton. Buat airlah, Ton untuk ayah."
"Tak payahlah. Tak apa, tak payah. Ayah dah minum dah tadi."
Tak peduli dengan penolakan lelaki itu, Cempaka tetap menyuruh Eton masuk membuat air. Alah, bekas bapa mentua dia ni bukan selalu datang ke rumah dia. Jarang sangat! Takkanlah dia tak nak hidangkan air walaupun secawan.
"Pasal tanah sebelah ni, ayah nak cakap dengan kamu."
Cempaka mencuci tangan di dalam bekas sebelum kening berkerut rapat ke arah lelaki itu. "Tanah sebelah ni? Kenapa pasal tanah ni?"
"Ayah tak tahulah kamu nak setuju ke tak. Tapi ada orang nak beli."
Terdiam seketika Cempaka mendengar ucapan tersebut. Beli? Dia tak pernah cakap pun dia nak jual. Siapa pula yang nak beli?
YOU ARE READING
Bakawali, Bunga Suci (Love Novel Publication)
RomanceCempaka, gadis kampung yang tertimpa dengan satu 'sumpahan'. Semuanya bermula apabila suami pertamanya meninggal akibat kemalangan di hari perkahwinan. Manakala suami keduanya pula meninggal di malam pengantin. Disebabkan nasib tersebut, Cempaka di...