Bab 13

339 22 0
                                    

[4/4]

Ku tak bersendirian sebenarnya di dunia
Suara yang menegurku menerpa sedarku
Bisikan misteri mengurung suara hati
Merelakan perbuatan yang diatur

*****

TERJAGA daripada tidur, keadaan sekelilingnya terasa sunyi sahaja. Melihat bilik yang tertutup, sunyi makin menekan rasanya. Buatkan Cempaka lelah seketika mencuri nafas. Kipas yang berpusing kiri dan kanan meniup angin lembut belum cukup buatkan dia tenang. Badan terasa hangat. Kepala pula berat sahaja. Payah jadinya mahu memanggung kepala sendiri.

Beberapa saat menyedup nafas dan cuba untuk bertenang, Cempaka rasakan ada aura pelik yang mengelilingi tubuh. Lain macam sahaja atmosfera bilik yang kian suram. Dengan badan yang tak berkuasa, dia lemah untuk bangun atau melangkah keluar daripada bilik.

Mencari arah jam, mata kabur sahaja untuk menilik jarum jam yang sedang memanah ke angka berapa. Keliru sendiri Cempaka. Jam berapa sekarang, hati mengomen sendiri. Betapa dia terlalu hanyut dengan tidur sampai tak sedar dengan keadaan sekeliling.

Dalam keadaan keliru dan lemah seperti itu, tiba-tiba sahaja ruang udara di sekelilingnya dipenuhi dengan wangian yang kuat menyengat. Berkerut-kerut wajah Cempaka menahan bau yang melobos masuk ke dalam rongga hidung. Bau apa agaknya ni, kuat sangat, rungutnya tak mampu menahan.

Tangan kanan berada di dahi, memanggung kepala yang makin memberat. Manakala tangan kiri pula bertindak menutup hidung. Perit rasanya kepala memaksa diri untuk menerima keadaan yang sedang berlaku.

Saat tangan menjauh daripada muka, mata Cempaka bagai dipanah tajam dengan sesuatu. Ada debu-debu ringan yang menusuk mata. Bagai asap nipis yang menyergah ke muka dan memedihkan mata.

Beberapa saat mata terpejam dalam keadaan mengembalikan fungsi kedua-dua belah pancaindera tersebut, terdengar satu suara tangis kecil yang berjarak dekat. Berdiri segala bulu roma di badan. Menegak dalam keadaan cukup memeranjatkan.

Terkelip-kelip beberapa kali kelopak mata dalam keadaan sedikit cemas, cuba untuk mengembalikan kewarasan yang hilang seketika tadi. Dan apabila terbuka jelas matanya, wajah Cempaka bertukar ribut semula. Keadaan sekelilingnya sudah bertukar!

Ya Tuhan, mimpi apa dia sekarang ini? Tolonglah katakan yang dia sedang tidur di dalam biliknya dan memasuki alam mimpi.

Memerhati suasana suram dan kelam yang menghiasi ruang di sekelingnya, Cempaka tak dapat pastikan di mana keberadaannya atau tempat apa yang sedang dihuninya sekarang. Sesuatu yang dapat dikesan oleh matanya hanyalah pohon mangga yang memberat dengan buah yang bergantungan. Selainnya hanyalah tanah kering yang tak mampu dipastikan di mana penghujungnya. Pelik, semuanya pelik di mata.

"Cempaka."

Terkesima Cempaka dibuatnya. Badan berpaling laju mencari suara yang menjengah ke telinga. Tangan terketar-ketar, digenggam bersama. Melihat tubuh manusia yang berdiri tegak di belakangnya, cepat-cepat Cempaka berusaha menjarakkan diri. Kedua-dua tangan naik ke dada, gaya defensif yang memaksa diri untuk bersedia dengan apa sahaja kemungkinan.

"Hidupmu hanya untukmu."

Cempaka tak pasti dia kenal atau tak manusia yang berserba-serbi putih tersebut. Matanya hanya dapat menangkap  dan beragak bahawa wanita tersebut masih muda, yang mungkin sama umur dengan diri dia sendiri. Selendang putih yang bersangkut di kepala wanita itu jatuh perlahan-lahan ke bahu, menampakkan keseluruhan wajah yang tadinya tertutup nipis.

"Hidupmu hanya untukmu, Cempaka."

Cempaka tak pasti apa yang sedang berlaku. Dia cuma yakin yang dia langsung tak rasa selamat. Wanita yang memandang ke arahnya itu masih berkelakuan sama, tegak, tak berganjak walaupun setapak.

Bakawali, Bunga Suci (Love Novel Publication)Where stories live. Discover now