[22/3]
Sabarlah hati menahan perih
Terluka lagi dan lagi dalam kisahku
Tenanglah jiwa iring langkahku
Ku yakin pasti ada yang terbaik untukku*****
KELUAR sahaja daripada kawasan kubur, air mata yang tadinya berhenti sekali lagi lebat mengalir. Tangan bergasak kiri dan kanan cuba menyeka butir-butir jernih tersebut. Pedih, sakit, dan terluka. Bukan tubuh sahaja, tapi jiwa raga juga terasa bagai disiat-siat hancur dengan perlakuan Murad sebentar tadi. Tak pernah terbayang perlakuan jahat tersebut akan berlaku kepada diri sendiri. Disentuh sesuka hati oleh lelaki jahat yang entah sesiapa terlalu menakutkan. Tuhan sahaja yang tahu betapa luluh semangatnya jika tiada upaya untuk meloloskankan daripada Murad sebentar tadi.
Kalau sebelum ini, cerita-cerita macam tu hanya dibaca di surat khabar atau di media sosial sahaja. Dan semua itu sudah cukup mengerikan. Tapi apabila berlaku kepada diri sendiri, barulah dia tahu betapa menakutkan pengalaman tersebut. Kejahatan manusia tak pernah mampu diduga. Dan itulah yang lebih menakutkan sebenarnya.
Dalam pada memujuk jiwa sendiri untuk bertenang, tubuh Cempaka masih terasa menggigil kecil. Bayangan-bayangan buruk yang mungkin berlaku kepada dirinya terbayang satu persatu. Terlalu menakutkan! Jalan kampung yang berlopak dan berlubang sukar untuk diberi perhatian. Keretanya deras sahaja mahu berlalu dan sampai di rumah. Tidak yakin lagi jika dirinya selamat berada di luar kawasan yang terbuka. Mungkin ada trauma kecil yang membelenggu diri sekarang.
Pada saat melepasi jalan yang kurang baik dan masuk ke jalan yang licin dan rata, makin kuat pedal minyak ditekan. Sungguh, yang bermain-main dalam kepalanya sekarang hanyalah rumah sendiri. Dia perlukan ketenangan dengan segera!
Dan ketika cuba untuk membelok di selekoh yang agak tajam, Cempaka tak terfikir langsung tentang bahaya atau apa saja. Sehinggalah apabila sebuah kereta meluncur sama daripada arah hadapan, Cempaka tak mampu lagi berbuat apa-apa. Tekanan break dalam keadaan cemas membuatkan tubuh terdorang kuat ke depan. Kepala serta merta jadi kosong. Fikiran terbang jauh pergi entah ke mana. Dalam sekelip mata itu, dia sendiri sudah buntu dan tak pasti apa yang sedang berlaku. Mata menyorot ke arah tangan dan jari yang terketar-ketar. Kepalanya tiba-tiba pula terasa berat dan berputar hebat.
"ALLAHUAKBAR!"
Walaupun break sudah ditekan, tapi dalam penilaian sendiri, Farrel tahu keretanya tak mampu menahan kereta dihadapan yang agak laju untuk menghentam keretanya. Dan dalam beberapa saat itu, dada berdebar hebat apabila kedua-dua kereta sudah 'selamat' berlaga. Berkali-kali nafas ditarik perlahan, cuba untuk bertenang. Mujurlah tak deras sampai bertembung hebat.
Menghantar pandangan kepada pemandu kereta di depannya, wajah berkerut kecil. Cempaka?
Laju sahaja Farrel turun daripada kereta. Keadaan kereta serta-merta tak menjadi fokus utama. Kaki malah melangkah ke pintu pemandu kereta Cempaka. Cuba untuk melihat keadaan gadis itu. Melihat Cempaka tunduk memanggung kepala di stereng kereta, tergerak perasaan risau di hati untuk gadis itu.
Tangan segera mengetuk pintu kereta tersebut. "Awak okey?" soalnya terus. Bimbang juga kalau-kalau keadaan Cempaka lebih teruk daripada apa yang dijangka. Dia sendiri memanglah tak ada apa-apa, cuma terkejut sahaja.
Cempaka yang sudah lemah terasa tak mampu untuk mengangkat kepala. Kosong. Terasa blank kepalanya! Suara yang bertanya di luar pintu kereta malas rasanya mahu diberi perhatian. Dia hanya mahu berehat. Tidak mahu perkara-perkara yang tadinya bergasak hebat dalam kepala datang kembali.
YOU ARE READING
Bakawali, Bunga Suci (Love Novel Publication)
RomanceCempaka, gadis kampung yang tertimpa dengan satu 'sumpahan'. Semuanya bermula apabila suami pertamanya meninggal akibat kemalangan di hari perkahwinan. Manakala suami keduanya pula meninggal di malam pengantin. Disebabkan nasib tersebut, Cempaka di...