Bab 5

446 30 12
                                    

[30/12]

SELESAI sahaja makan tengah hari, Cempaka terdengar suara orang memberi salam daripada pintu depan. Disebabkan nak basuh pinggan terlebih dahulu, dia menyuruh Eton untuk keluar ke depan menyambut tetamu yang datang.

Tidak mahu ditunggu-tunggu terlalu lama, laju sahaja tangan Cempaka bekerja. Siap sahaja mencuci pinggan dan menyimpan meja makan, cepat-cepat pula dia bergegas ke atas. Melihat tetamu yang datang adalah Kak Piah, bibir menayang senyuman mesra kepada wanita itu yang sudah mengambil tempat duduk di sofa.

“Ada apa, kak?” soalnya ramah, sebelum duduk berhadapan dengan wanita itu.

“Segan pun seganlah akak datang ni, Cempaka. Tapi kalau tak datang, akak tak tahu nak minta tolong dekat siapa lagi dah.”

“Apa dia, kak. Cakap ajelah!”

“Anak akak yang duduk kat asrama tu. Semalam dia telifon Abang Jali, kata nak guna duit nak buat beli buku. Tapi akak tak ada duit nak bagi dia. Jadi sebab tulah akak datang nak jumpa kamu ni. Kamu pun faham, kan getah tak tubik sangat musim ni.”

Cempaka mengangguk kecil mendengar cerita yang disampaikan.

“Anak akak yang SPM tahun ni tu ke?”

“Haah, Sara. Anak sulung akak tulah. Dah banyak hari dah dia cakap cikgu duk tanya bila nak beli buku. Itu yang dia duk telifon akak dengan Abang Jali tu.”

Tersenyum sahaja Cempaka, memahami dan bersimpati dengan cerita tersebut. Dia kenal dengan keluarga Kak Piah. Mereka sekeluarga hidup tak senang sangat. Kak Piah dan Abang Jali, dua-dua menoreh getah sahaja. Dan dia faham macam mana pengeluaran susu getah yang tak terlalu banyak apabila tiba musim daun berpucuk muda. Tapi satu yang dia kagum, anak-anak Kak Piah dan Abang Jali semunya pandai-pandai belaka. Mungkin rezeki Kak Piah di situ, dekat anak-anak walaupun rezeki wang ringgit tak begitu banyak. Aturan hidup manusia, berbeza antara satu dengan yang lain.

“Akak nak berapa?” soalnya, tak mahu berlama-lama buatkan wanita itu kurang selesa.

“Akak segan dengan kamu sebenarnya.” Kak Piah membalas dengan teragak-agak.

“Tak apalah, kak. Akak macam tak kenal saya pulak.”

“Yalah. Tapi akak tak nak pinjam banyak pun. Sikit cukuplah.”

“Sekejap.” Cempaka bangun dan berlalu ke bilik seketika. Mengambil duit cash yang ada tersimpan di rumah.
Keluar daripada bilik, Cempaka terus sahaja mendekati Kak Piah. Tangan wanita itu dicapai dan diselitkan lima keping not lima puluh ringkit.

“Ya Allah, banyak ni, Cempaka. Risaulah akak tak mampu bayar.”

“Tak apalah. Akak guna elok-elok duit ni. Soal bayar tu, akak bayarlah bila akak ada duit nanti. Saya tak tetapkan pun akak kena bayar bila-bila.”

“Tapi banyak ni.”
Cempaka menggosok bahu Kak Piah lembut. “Banyak sikit aje. Akak guna elok-elok,” ujarnya meyakinkan kata-kata.

“Terima kasih, Cempaka. Akak tak tahulah nak cakap apa. Kalau kamu tak ada, akak tak tahu nak pergi berhutang dengan siapa.”

“Yalah, kak. Lain kali akak tak payah seganlah. Macamlah akak tak kenal saya ni macam mana.”
Kak Piah tersenyum kelat sahaja dengan balasan Cempaka.

“Terima kasih, Cempaka. Akak balik dulu ni.”
Bangun menghantar Kak Piah ke tangga, Cempaka teringatkan pisang yang ditebang dua hari lepas.

“Pisang yang saya tebang kelmarin dulu ada, kak. Akak nak?”

“Pisang apa pulak? Tak payahlah.”

“Alah, pisang aje pun. Rezeki akaklah tu.”
Tak menghiraukan Kak Piah yang menolak, Cempaka tetap menyuruh Eton ke dapur untuk ambilkan pisang emas yang dia letakkan di belakang pintu dapur.

Bakawali, Bunga Suci (Love Novel Publication)Where stories live. Discover now