[8/4]
MASUK semula ke dalam kereta di tempat duduk penumpang, Cempaka menarik nafas yang agak panjang. Lelah rasanya berjalan walaupun cuma beberapa meter daripada pintu klinik. Tekak yang daripada tadi terasa kering buatkan dia terbatuk-batuk kecil. Memandang ke belakang, Eton hanya diam sahaja tak bersuara.
“Farrel pergi mana, Ton?”
“Tak tahu,” jawab Eton dengan bahu yang terangkat kecil.
Cempaka tak pasti ke mana Farrel menghilang. Ketika dia menunggu untuk mengambil ubat sebentar tadi, lelaki itu melanglah keluar tanpa memberitahu hendak ke mana. Sekarang sudah beberapa minit dia menanti, lelaki itu belum balik ke sini semula.
Kepala akhirnya disandarkan dengan lemah ke kerusi penumpang. Kepala dia sudah tak tahan lagi ni dengan berat dan berdenyut-denyut. Rasanya dia cuma nak tidur dan berehat sahaja di rumah.
Belum apa-apa, akhirnya bunyi pintu kereta dibuka. Mata menyorot ke arah Farrel yang melangkah masuk ke dalam kereta.
“Nah...”
Cempaka menyambut juga walaupun lambat huluran yang diberi.
“Saya pergi belikan air untuk awak dan Eton. Ada Strepsils sekali, kalau-kalau awak sakit tekak.”
Tak tergambar rasa beruntung untuk seketika apabila ditawarkan kebaikan daripada Farrel. Dia tak beritahu langsung lelaki itu yang dia dahaga ataupun sakit tekak, tapi dan-dan sahaja Farrel datang dengan air dan Strepsils. Bibir tergaris halus, memberi satu nafas lega dan ucapan terima kasih kepada lelaki itu.
“Awak nak pergi mana-mana lagi?”
Cempaka diam seketika, memikirkan sesuatu.
“Apa-apa yang awak nak?”
“Hmm, kalau pergi farmasi sekejap?”
“Sure, awak nak beli apa?”
“Saya rasa saya nak beli minyak angin.”
Farrel mengangguk yakin dengan wajah terpapar manis. Melihat lesu di wajah Cempaka, seboleh-bolehnya dia nak berikan yang terbaik dalam mengurangkan ‘sakit’ gadis itu. Kalau boleh, dia nak bantu semua perkara yang Cempaka perlukan. Nak sediakan apa yang Cempaka rasa belum cukup. Sebab dia faham, Cempaka mungkin tak ada sesiapa untuk dijadikan tempat bergantung sekarang. Lebih-lebih lagi dalam waktu-waktu terdesak macam ni. Lagi pun, kalau difikirkan, mereka boleh dikatakan dua pupu. Fattah dan dia dulu dua pupu, jadi automatik Cempaka sendiri menjadi dua pupu dia juga. Kan?
Berhenti di sebuah farmasi, Farrel jadi bertambah kesian melihat Cempaka bersandar lemah dengan mata tertutup rapat.
“Awak nak minyak angin je ke? Biar saya turun belikan...”
Cempaka membuka mata kecil. Allahu, dia boleh terlelap pula dalam keadaan macam ni. Melihat Farrel yang sudah membuka pintu kereta, dia hanya mampu mengangguk sahaja. Kemudian Farrel berlalu masuk ke dalam farmasi.
Dia pula kembali manarik nafas yang agak sesak. Lemah. Kalau ikutkan, doktor di klinik sebentar tadi sendiri suruh dia ke hospital. Katanya dia mungkin ditahan di wad setika kalau lihat kepada keadaan dia sekarang. Tapi dia tak nak. Masih mampu berjalan lagi, balasnya. Dan dia yakin, esok nanti kebaslah demam dia ni. Sudah selalu demam yang agak teruk macam ni menyapa. Tapi tak lebih daripada dua hari, dia dah boleh berlari dan berkejar dengan kambing-kambing dia di kandang sana tu. Jadi dia malas nak lebih-lebih sangat kalau jatuh sakit. Malas nak ikutkan perasaan lemah dia ni.
Dia perlu kuat. Kalau tak kuat, macam mana dia nak teruskan hidup? Eton dan pekerja-pekerja di ladang semuanya perlukan dia. Kalau dia tak ada lebih beberapa hari, payah, jadi banyak masalah pula nanti.
YOU ARE READING
Bakawali, Bunga Suci (Love Novel Publication)
RomanceCempaka, gadis kampung yang tertimpa dengan satu 'sumpahan'. Semuanya bermula apabila suami pertamanya meninggal akibat kemalangan di hari perkahwinan. Manakala suami keduanya pula meninggal di malam pengantin. Disebabkan nasib tersebut, Cempaka di...