Bab 7

554 33 6
                                    

[1/1]

TURUN daripada motorsikal, Mak Wan melakar senyuman kecil. Mata dia dah jelas ternampak bekal menantu yang ayu dan sopan di dalam kedai Isa sana tu. Melihat Alisa yang tekun memilih ikan di dalam tong merah di sana, dada dingin sahaja terasa. Untung, kan dia kalau Alisa dah jadi menantu dia nanti. Belajar pun tinggi, memasak dah tentu-tentu pandai. Lepas tu rajin pula datang ke kedai memilih barang-barang basah. Tak ke bangga siapa yang jadi mak mentua gadis itu?

“Alisa, pilih ikan ke tu?” tegurnya ramah dengan senyuman lebar.

“Eh, Mak Wan,” sambut Alisa, mesra dengan  senyuman kecil. “Haah, cari lauk untuk malam nanti.”

“Sorang je ke?”

“Mak ada. Mak dekat dalam pilih barang.”

Mak Wan berjalan masuk mendekati Alisa. Mata tajam sahaja memanah ikan-ikan di dalam tong. Hmm, boleh tahan segar jugalah ikan hari ni.

“Mak Wan pun nak cari lauk ke?”

“Haah. Tapi hari ni rasa nak makan sup ayam. Nak beli ayamlah sikit.”

Alisa tersenyum sahaja sambil memasukkan seekor ikan selar terakhir ke dalam plastik. Kemudian diletakkan plastik tersebut di atas penimbang. Sekejap lagi, Abang Isa kiralah tu.

“Alisa, Alisa ada bercakap dengan Aathif? Dalam telifonlah, maksud Mak Wan.”

Tersenyum segan Alisa sambil bergerak ke arah bakul-bakul sayur. Aathif, seingat dia, dia memang ada berikan nombor telifon dia kepada lelaki itu. Tapi tak ada sebarang berita pun yang dia terima. Salam sepatah pun tak pernah sampai.

“Tak ada rasanya, Mak Wan. Kenapa, ya?” soalnya kembali.

“Alisa tak cuba mesej-mesej dia dulu. Aathif tu, kan pemalu sikit. Kamulah yang kena ajak dia berbual.”

Kelat sahaja senyuman baru yang terlakar di bibir Alisa. Dia nak kena mulakan? Mulakan apa? Dia dengan Aathif sama-sama dah bersetuju untuk teruskan hidup macam biasa. Tak payah ikutkan sangat rancangan orang tua mereka yang terlebih-lebih teruja untuk sesuatu yang tak wujud. Daripada pihak dia, memanglah dia tak boleh nak berkeras sangat dengan ayah sebab daripada segi hukum pun, wali memang berhak tentukan yang terbaik untuk anak gadis mereka. Tapi tak pernah terdengar sekali pun daripada mulut ayah dia nak memaksa dia berkahwin dengan sesiapa.
Bercakap pasal Aathif, dia tak kenal rapat sangat dengan lelaki itu. Sewaktu di sekolah dulu pun, dia dan lelaki itu tak bercakap sangat walaupun sekelas. Aathif memang terkenal dengan sikap malu dan pendiam.

Kalau nak cerita soal hati, dia tak boleh nak cakap apa sangat. Lelaki itu pun memang dah terkenal dengan sifat baik. Jiwa wanita mana tak terusik dengan sikap lelaki itu. Belum bercakap pasal rupa paras, memang semua tahulah elok. Jadi, payah dia nak rumuskan perasaan sendiri. Aathif sendiri pun dah jelas beritahu yang idea untuk satukan mereka berdua itu mengarut. Dia pun sendiri sudah faham yang lelaki itu mungkin sudah ada pilihan sendiri. Jadi tak ada apa-apa masalah daripada pihak dia. Dia pun tak mahu menaruh hati terhadap Aathif.

“Ke kamu pun malu jugak? Dua-dua malu, tak jadi apalah!”

Sekali lagi senyuman kelat terlakar nipis. “Tak tahulah!” balasnya ringkas.

“Tak payahlah malu-malu. Bukan kamu nak buat perkara bukan-bukan. Nak kenal-kenal rapat dulu aje.”

“Aathif tu dah ada orang lain ke, Mak Wan?” terpacul juga soalan yang dah lama bermain dalam kepala.

Termati senyuman di wajah Mak Wan. Pelik semacam sahaja dia pandang wajah Alisa. “Kenapa pulak kamu cakap macam tu?” soalnya, mula bersuara tegas.

Bakawali, Bunga Suci (Love Novel Publication)Where stories live. Discover now