[29/12]
SAMBIL menekan pedal minyak, mata Farrel ralit memberi tumpuan kepada jalan yang kurang sempurna. Berlubang sana dan sini. Memandu di jalan kampung, tambah pula pada waktu malam, perlahan-lahan sahaja kereta dia bergerak. Kawasan kampung memang sunyi sahaja. Jarang dia ternampak rumah-rumah orang di kawasan ini. Yang banyak cuma belukar dan hutan-hutan kecil sahaja di kiri dan kanan jalan.
Teringatkan informasi Pak Teh di surau tadi, berkali-kali dia mengira cabang setiap kali ternampak lorong kecil di sudut jalan. Kata Pak Teh, jalan ke rumah Cempaka itu di lorong ke tiga paling kecil. Jalan pula tak bertar. Dan apabila yakin yang lorong di hadapannya itu ialah lorong ke tiga yang dimaksudkan, tangan memulas stereng kereta ke arah kiri. Beberapa ratus meter seterusnya, barulah dia berjumpa dengan pagar setinggi enam kaki yang diceritakan Pak Teh.
Tidak mahu berlama-lama, Farrel melangkah keluar tanpa mematikan enjin kereta. Lampu depan kereta memang diperlukan untuk dia melihat kawasan sekitar yang gelap gelita itu.
Memerhatikan pintu pagar yang tertutup tapi tak berkunci, bibir mencebik kecil. Dia tak berniat pun nak masuk ke dalam kawasan rumah ini. Niat sebenar dia cuma nak tengok jalan dan kawasan yang Pak Teh ceritakan sahaja. Tanah yang diceritakan Pak Teh itu milik tuan rumah ini, Cempaka.
Sejak daripada petang tadi lagi Farrel asyik terfikirkan satu nama tersebut. Setelah mendengar cerita daripada Pak Teh, dia jadi berminat nak tahu macam mana rupa dan gaya gadis itu. Kata Pak Teh, Cempaka muda lagi. Orang-orang kampung memang kenal siapa Cempaka itu - gadis yang berharta. Paling berharta antara orang-orang kampung di sini. Cempaka mengurus ladang getah dan kelapa sawit sendiri. Bertambah berminat dia nak tahu dan kenal dengan gadis itu. Tak lupa juga untuk bercakap pasal tanah yang cuba diusahakan untuk dibeli itu.
Rasanya, Pak Teh beritahu, tanah itu bersebelah dengan rumah Cempaka sahaja. Dan kalau tak silap dia, tanah yang gelap gelita di sebelah sana itulah yang dimaksudkan. Bolehlah dia nampak samar-samar daripada sini.
Ralit mengintai suasana di dalam pagar sana, Farrel tersentak kecil apabila seseorang melangkah dalam diam di sebelah keretanya. Mengucap panjang dia seketika memerhati seorang perempuan berjalan ke arah pintu pagar. Dada digosok-gosok perlahan, cuba untuk bertenang. Demi Tuhan, terkejut benar dia!
"Ehem-ehem." Tidak pasti untuk memulakan ucapan apa, Farrel sekadar berdehem kecil. Dada yang berdebar diendahkan begitu sahaja.
Tidak mahu berfikir yang bukan-bukan, salam dihulur pula dengan sopan. "Assalamualaikum."
Tak menghiraukannya, perempuan tersebut bergerak tenang membuka pintu pagar dan melangkah masuk ke dalam. Farrel jadi kelu seketika. Tak pasti apa yang sedang berlaku sekarang. Salamnya langsung tak bersambut.
"Cempaka?" soalnya kepada empunya badan yang sudah cuba menutup semula pintu pagar. Namun pandangan kosong sahaja yang diterima. Wajah yang samar-samar dilimpahi cahaya lampu keretanya itu sukar untuk dicam dengan baik. Sesaat kemudian, tangan gadis itu naik membetulkan selendang putih yang tersangkut di kepala, meletakkan dengan elok supaya tak menutup wajah.
Dan sesaat itu, Farrel tak mampu berbuat apa-apa. Suara tak langsung terkeluar daripada bibir mulutnya. Hanya wajah tunak membalas pandangan yang manis itu kepadanya. Terpaku dia seketika. Wajah itu terlalu luar biasa untuk dia rumuskan dengan ringkas. Tubuhnya di sini pula, terasa seram sejuk dan dingin sahaja.
Bibir pula tak mampu untuk bersuara lanjut. Diam sahaja dia membalas pandangan yang sangat manis di matanya itu. Dan apabila matanya mula berkedip semula beberapa kali, pahit sahaja senyuman yang terlakar di wajah. Akhirnya suara yang tersimpan sebentar tadi berbunyi semula, cuba untuk dikeluarkan, namun gadis itu sudah pun berpaling ke sana. Liur tertelan masuk semula ke dalam anak tekak.
YOU ARE READING
Bakawali, Bunga Suci (Love Novel Publication)
RomanceCempaka, gadis kampung yang tertimpa dengan satu 'sumpahan'. Semuanya bermula apabila suami pertamanya meninggal akibat kemalangan di hari perkahwinan. Manakala suami keduanya pula meninggal di malam pengantin. Disebabkan nasib tersebut, Cempaka di...