[31/12]
AATHIF tahu, mak dia tak akan izinkan dia pergi berjumpa Cempaka walau apa cara sekali pun. Nak curi-curi pergi ke rumah Cempaka pun dia jadi tak berani. Bukan apa, mak dia dah mula main ugut-ugut nak tinggalkan dia seorang diri dekat sini. Nak pergi duduk dengan Asmira dekat KL sana tu. Dia bukan takut kena tinggal sorang-sorang, tapi kalau tak ada mak dia dekat sini, macam mana dia nak uruskan segala macam benda dekat sini? Kolam ikan tu, tiap-tiap bulan pengeluaran kena urus dengan elok. Dan urusan dengan pembeli di pekan sana tu, mak dia yang selalu uruskan semua perkara. Kalau mak dia tak ada, tak ke pincang kaki dia ni nak bergerak. Dia ni dengan manusia, memang agak alahan sedikit. Anti-people!
Bukan anti-sosial, tapi dia memang tak ada skil nak bersemuka dengan orang. Kelemahan paling besar! Nak kenal dengan seseorang memang ambil masa. Dia tahu ramai orang seperti dia di luar sana. Dia cuma selesa dengan orang-orang yang dah lama kenal sahaja.
Itu baru bercakap pasal ugutan nak tinggalkan dia sorang-sorang dekat sini, belum cerita lagi pasal Alisa yang mak dia jemput datang sini semalam. Ada-ada aje mak dia tu. Konon nak eratkan hubungan dengan bakal menantu. Tak perasan ke muka Alisa yang berkerut-kerut tak selesa bila soal nikah kahwin disebut-sebut?
Itu daripada pihak Alisa. Daripada pihak dia pula, memang tentu-tentu dia tak setuju. Dia tahu soal perkahwinan yang dipaksa-paksa sangat itu sebenarnya berpaksikan kepada pengakuan dia tiga hari lepas. Dia bukan bergurau, sungguh! Dia memang nak jadi suami kepada Cempaka. Tapi mak dia menentang macam nak ajak berperang. Dia faham kalau wanita itu masih marahkan Cempaka, tapi untuk hidup dengan cerita lama, sampai bila? Mereka semua perlu teruskan hidup seperti biasa. Hidup dengan aman damai tanpa fikirkan hal-hal lama yang menyakitkan itu lagi.
Semalam dia ada berbual ringkas dengan Alisa. Dan mereka berdua sendiri tahu yang masing-masing tak menaruh apa-apa perasaan. Habis tu untuk apa mereka kahwin kalau hati tak bersatu? Terlalu old-schoollah sikap paksa-memaksa dalam perkahwinan. Mereka sekarang bukan hidup di zaman 80-an lagi dah. Dah tak ada orang nak paksa anak-anak kahwin atas kehendak sendiri. Cuma mak dia sahaja yang terlalu menggantung ego sampai ke langit.
Selepas Asar, Aathif bersiap-siap untuk pergi ke sangkar ikan. Niat dia, dia nak ke kandang kambing Cempaka selepas daripada itu. Dia tahu waktu petang macam ni, Cempaka akan ada di sana mengurus kambing-kambingnya. Lagi pun, ini sahaja peluang yang dia ada untuk berjumpa gadis itu. Waktu dan hari lain, mak dia sah-sah akan siasat setiap kali dia nak melangkah keluar rumah. Risau benar dia akan menyusul ke rumah Cempaka.
Selesai memberi makan kepada ikan keli dalam beberapa buah sangkar, cepat saja Aathif berlalu meninggalkan kawasan tersebut. Lewat-lewat nanti, bimbang hari dah berlabuh. Cempaka tak menunggu lama sebelum Maghrib. Gadis itu cekap mengurus masa.
Menunggang motorsikalnya ke kawasan ladang Cempaka, Aathif sempat terserempak dengan Jemin yang memandu motorsikalnya perlahan melalui jalan merah untuk ke kandang kambing Cempaka. Lelaki itu sedang menarik daun kelapa sawit. Pasti daun tersebut untuk diberikan kepada kambing-kambing di dalam kandang sana tu.
Tangan diangkat tinggi, menegur Jemin. Dan lelaki itu membalas ceria. Perlahan-lahan Aathif mengekor motorsikal Jemin sehingga sampai ke kandang kambing.Melihat kereta Cempaka ada terparkir di bawah pohon mengkudu bersebelahan kandang kambing, terasa lega sahaja dada Aathif. Bimbang juga kalau-kalau Cempaka tak ada. Turun daripada motorsikalnya, Aathif bergerak terus ke arah Jemin yang sedang menarik turun daun-daun kelapa sawit daripada motorsikal.
“Daripada mana ni, Thif? Sangkar ikan?”
Aathif mengangguk sahaja memberi jawapan kepada Jemin. Sambil itu tanggan bergerak sama membantu lelaki itu.
YOU ARE READING
Bakawali, Bunga Suci (Love Novel Publication)
RomansaCempaka, gadis kampung yang tertimpa dengan satu 'sumpahan'. Semuanya bermula apabila suami pertamanya meninggal akibat kemalangan di hari perkahwinan. Manakala suami keduanya pula meninggal di malam pengantin. Disebabkan nasib tersebut, Cempaka di...