PAGI JUMAAT yang indah. Cempaka dapat rasa ketenangan yang agak luar biasa. Selepas solat Subuh sebentar tadi, Cempaka terus sahaja turun ke dapur. Tidak pasti nak masak apa, dia memilih sahaja bihun untuk digoreng ringkas. Sarapan bihun goreng dengan telur hancur pun dah cukup okey. Sekejap lagi, selepas sarapan, dia berniat nak ke kubur sekejap. Rasanya dah banyak minggu dia tak melawat kubur arwah ibu, ayah, dan nenek. Rindu membelenggu jiwa makin terasa-rasa sejak dua menjak ini.
“Cempaka, masak dah?”
Melihat Eton yang sedang menyinggul rambut sambil berjalan turun, Cempaka tersenyum kecil. “Dah, dah siap dah. Jomlah makan.”
“Pakai baju kurung cantik-cantik nak pergi mana?”
Sekali lagi senyuman terukir kecil. Pandangan tunduk melihat baju kurung moden yang melekat di badan. Baju kurung yang baru siap dijahit itu baru pertama kali tersarung di tubuh. Masih teruja lagi perasaan di dada. “Cantik, kan baju ni?” soalnya meminta pendapat Eton.
“Cantik... cantik sangat.”
“Mak Sulah yang jahit. Baru semalam Cempaka pergi ambil.”
“Hmm. Nak pergi mana?”
Meletakkan sebekas bihun yang siap digoreng ke atas meja, Cempaka bergerak pula mengambil daun sup di dalam peti untuk dihiris dan ditabur ke atas bihun tersebut.
“Cempaka ingat nak pergi kubur kejap lagi. Eton nak ikut?”
“Oh, nak pergi kubur ke? Pergilah, Eton tak boleh sembahyang.”
“Hmmm, kena pergi soranglah ni?”
“Ya, sorang!”
Cempaka mencebik kecil sambil menyenduk bihun ke dalam pinggan. “Hmm, yalah. Makanlah.”
TURUN daripada kereta, kaki melangkah perlahan dalam nada yang cukup damai. Mata memerhati beberapa orang di hujang kiri dan kanan kubur yang turut datang menziarah. Di tangan, Surah Yasin dan tikar kecil dibawa bersama. Sampai sahaja di kubur arwah ibu, salam diberikan lembut. Selang beberapa meter di kanan, terletak kubur arwah ayah dan nenek. Bibir terlakar nipis dengan riak senang hati. Rindu, rindu sangat-sangat dengan orang-orang yang tersayang. Dapat duduk di hadapan kubur mereka sahaja pun sudah buatkan jiwa terisi dengan perasaan bahagia. Walaupun sedikit.
Dulu sewaktu dia masih bersekolah, dia selalu datang bercerita dengan arwah ibu tentang kehidupannya. Tapi setelah lama berlalu, dia dapat tahu yang bercakap dengan kubur adalah perkara yang salah. Bermula daripada situ, dia hanya datang mengaji sahaja. Tiada lagi kata-kata rindu, kata-kata sayang ataupun cerita-cerita sedih yang diluahkan. Sedih, memang sedih. Tipulah jika dia katakan dia boleh berlagak biasa selepas tempat meluah perasaanya ‘hilang’.
Tapi Islam itu indah, dia percaya ada hikmah dengan setiap apa yang dilarang dan dihalang. Jadi, selama mana dia berada di kubur, semuanya hanya diisi dengan mengaji dan doa-doa yang panjang sahaja. Dia nak jadi anak yang soleheh. Yang dapat meneruskan amal ibu dan ayah yang sudah terputus.
Setelah tikar dihampar, duduk dilabuhkan dengan tenang. Cuaca redup yang dibayangi pohon tinggi buatkan dia bernasib baik hari ini. Bacaan doa dimulakan perlahan sebelum Surah Yasin dibuka. Dan setelah lebih kurang sepuluh minit bacaannya, Cempaka menutup dengan bacaan doa.
Lama dia terdiam seketika, memerhati tanah kubur arwah ibu. Fikiran yang tenang makin buatkan segala akalan-akalan datang dengan mudah.
Entah bila agaknya dia akan mengikut langkah mereka semua? Pergi meninggalkan dunia yang sementara ini. Jika diikutkan, dia tak menyesal apa-apa jika umurnya tak panjang sekali pun. Hidup yang selama ini sendiri, tak keberatan jika berakhir awal. Bukanlah dia meminta untuk mati, tapi ringkasnya, hidup dia tak berkisar kepada banyak benda. Hanya melangkah hari demi hari untuk tujuan yang tak pernah pasti. Dia tak pasti, jujur dia tak ada kepastian untuk hari mendatang.
YOU ARE READING
Bakawali, Bunga Suci (Love Novel Publication)
RomansaCempaka, gadis kampung yang tertimpa dengan satu 'sumpahan'. Semuanya bermula apabila suami pertamanya meninggal akibat kemalangan di hari perkahwinan. Manakala suami keduanya pula meninggal di malam pengantin. Disebabkan nasib tersebut, Cempaka di...