[16/2]
“LEPAS!”
“Cempaka, dengarlah apa aku cakap ni. Aku suka kau dah lama, kan. Kau pun tahu...”
“Lepas, Murad. Tolonglah...” Air mata akhirnya menitis daripada tubir mata. Tak tertahan dengan rasa takut yang menghimpit. “Jangan buat aku macam ni...” Suara pula sudah kedengaran sayu. Jika ketegasan tak mampu tundukkan sifat berkuasa Murad, mungkin air mata dia mampu.
“Cempaka? Shhh... janganlah menangis. Aku dah kata aku tak nak buat jahat dekat kau, kan.”
Membalas pandangan bersungguh Murad, Cempaka menggeleng lemah tanda menolak. Dia tak mampu nak percaya dengan setiap apa yang Murad katakan. Badannya terasa menggigil. Terlalu takut!
“Tolong Murad, lepaskan aku. Ingat Allah, Murad.”
“Cempaka... aku suka kau. Tolonglah percaya.”
Tak habis dengan hanya tangan kiri, kini tangan kanan pula cuba digenggam Murad. Terkial-kial Cempaka menarik tangan kiri yang sudah ditahan dan melarikan tangan kanan yang cuba dicapai. Surah Yasin dan tikar sudah melayang entah ke mana.
“Aku janji, aku tak akan sakitkan kau. Aku cuma nak kau aje.”
Air mata sudah basah lencun di wajah. Kuat dada menjerit ketakutan. Tolonglah ya Allah, tolong selamatkan dia daripada lelaki ini.
Saat tangan kanannya berjaya digenggam, suara sudah tenggelam dalam tangisan. Mahu pecah dadanya apabila dengan kuat Murad menarik dan menolak badannya sehingga terhentak ke badan kereta.
“Gila! Lepaslah. Kau jangan jadi gila, Murad.”
“Aku suka kau. Kenapa susah sangat kau nak faham aku, Cempaka?”
“Bukan macam ni kau buat aku kalau kau suka akulah, gila!”
Bercucuran air mata tak membuatkan Cempaka mengalah dengan mudah. Wajah Murad ditatap penuh benci. Jika betul Murad sukakan dia, lelaki itu tak akan berani bertindak kasar begini. Bukan suka, tapi gila. Memanglah Maisarah sudah lebih tiga bulan meninggal dunia, tapi tak bermakna nafsu sendiri tak mampu dikawal. Murad memang sudah dirasuk setan!
Tak terkesan apa-apa gamaknya kata-kata sayu atau kasar yang Cempaka ucapkan apabila dengan lebih berani Murad merapatkan badannya, menekan tubuh Cempaka. Kepala Cempaka cemas menolak perbuatan Murad. Tergeleng kiri dan kanan, cuba memisahkan wajah daripada tersentuh dengan bibir jijik lelaki itu.
“Gila... kau memang dah gila, Murad!”
“Ya, memang!”
Terpanar Cempaka apabila keras suara Murad menjerit kuat. Liur yang ditelan terasa berpasir. Wajah bengis lelaki itu makin menakutkan!
“Memang aku gilakan kau. Dan kau kena faham kalau aku kata aku tak akan sakitkan kau. Aku cuma nak kau sekejap aje.”
Teresak-esak Cempaka tak mampu berbuat apa-apa. Bayangkan jika tubuh dan bau lelaki itu terlalu rapat di tubuh. Jijik! Lemah, lemah seluruh tubuhnya. Tapi dia tak boleh mengalah. Dia tak akan biarkan badannya diragut Murad dengan mudah. Dia rela mati di sini berbanding merelakan Murad memperlaku dia sesuka hati.
“Murad, kalau kau betul sukakan aku, cuba kau lepaskan aku dulu. Aku tak boleh terima kalau kau buat aku macam ni.”
Air mata berlari-lari turun di pipi tak mampu diseka tangannya yang sudah 'bergari'.
"Tolong, Murad. Kau tak kesiankan aku ke? Kau kata kau suka, kan? Jangan sakitkan aku macam ni"
Tubuh Murad dalam diam terasa berjarak sedikit. Tanggan Cempaka juga tak terasa dicengkam kuat seperti tadi.
YOU ARE READING
Bakawali, Bunga Suci (Love Novel Publication)
RomansaCempaka, gadis kampung yang tertimpa dengan satu 'sumpahan'. Semuanya bermula apabila suami pertamanya meninggal akibat kemalangan di hari perkahwinan. Manakala suami keduanya pula meninggal di malam pengantin. Disebabkan nasib tersebut, Cempaka di...