[16/5]
"BETUL ke kau tak boleh nak cuti ni?"
"Ish, mak ni. Duk tanya soalan sama. Mak ingat kalau Mira dapat cuti, Mira tak nak balik kampung ke? Masalahnya sekarang ni memang tak dapat cuti."
Mak Wan merungut kecil dengan jawapan Asmira. Dah berapa bulan anak perempuan dia sorang tu tak balik. Ingatkan kalau dia cakap pasal merisik Alisa tu, terujalah sikit nak ambil cuti balik kampung. Tapi hampeh juga. Telefon bimbit ditukar ke sebelah telinga kanan pula setelah lama di sebelah kiri.
"Dah tu, aku nak kena urus sorang-soranglah ni? Dahlah si Aathif tu tak tunjuk minat langsung. Geramlah aku dengan budak tu," ujar Mak Wan untuk kesekian kalinya. Mengeluh mengenangkan sikap acuh tak acuh Aathif untuk beri kerjasama.
"Mak ni, betul ke nak Alisa tu suka dekat Aathif?"
"Tak betul apanya. Tahulah aku baca air muka dia tu."
"Aathif?"
"Aathif apa?"
Terdengar keluhan di hujung sana. Hmm, Asmira pun sama tak nak sokong dia dalam isu ni ke apa?
"Kalau Aathif tu betul-betul nak kahwin dengan Alisa tu mak, takkanlah dia nak buat dunno je."
"Alah, bukan kau tak kenal abang kau tu."
"Sebab kenallah Mira tanya ni, mak. Janganlah sampai jadi memaksa pulak. Mak tu bukannya Mira tak tahu, suka sangat paksa-paksa Aathif tu."
Mak Wan mengeluh sahaja mendengar butir kata daripada Asmira. Tiga orang anak dia, Asmira sahaja yang boleh buat dia berfikir panjang kalau bercakap. Asmira sentiasa tahu di mana kurang dan lemah dia dalam mengatur hidup mereka. Tapi apa pun, dia ibu, cuma dia yang faham apa yang terbaik untuk anak-anak dia.
"Aku paksa ni pun untuk kebaikan dia juga, Mira oi. Samalah macam aku paksa kau duduk KL tu. Untuk kebaikan kau jugak."
"Yalah tu, mak. Betul sangat."
"Ish, budak ni. Eh, kau pun kenal, kan Alisa tu macam mana? Sesuailah dengan Aathif tu. Nak apa lagi?"
Asmira sekali lagi mengeluh panjang. "Bukan pasal Alisa aje, mak. Pasal Aathif pun mak kenalah ambil tahu jugak. Cuba mak fikir, kalau Aathif kahwin dengan Alisa tu, lepas tu dia abaikan Alisa sebab dia tak cintakan budak tu. Mak nak ke macam tu?"
Berkerut-kerut muka Mak Wan mendengar teori mudah Asmira. Budak ni ingat ini drama pukul 10 ke apa? "Inilah dia anak muda zaman sekarang, tak habis-habis cinta. Meluat aku dengar tahu, tak? Kau ingat cinta tu boleh tanggung hidup bahagia ke? Tak! Aku mula-mula kahwin dengan bapak kau dulu tak adanya perlu cinta bagai, elok aje jadinya." Dihembur sepuas hati perkara yang benar.
"Apa-apalah, Mak. Tapi mak kenalah ingat, zaman sekarang ni bukan macam zaman mak lagi dah."
"Tak sama apanya. Orang dulu kahwin, orang zaman sekarang pun kahwin."
"Mak... pleaselah. Cuba mak bincang elok-elok dengan Aathif dulu. Mira tak nak mak dapat malu nanti. Tak takut ke nanti majlis kahwin kena batal sebab pengantin lari? Orang tanya kenapa lari, sebab kahwin kena paksa."
Menggerutu perut Mak Wan mendengar ayat lepas Asmira. "Amboi kau mulut... ikut sedap tekak aje. Kau ni memang pengaruh drama agaknya, Mira. Apa punya pemikiranlah kau ni."
"Mak, dengarlah Mira cakap ni. Mak ingat yang berlaku dalam drama tu tak berlaku ke dalam dunia sebenar. Berlaku, mak. Kalau tak, tak adanya pengarah nak buat cerita macam tu."
"Ahh... tak payah nak mengarut sangat. Sebelum aku paksa kau balik, baik kau diam."
"Ish, mak ni. Orang cakap ni nak suruh dia fikir elok-elok, takdelah ikut sangat kata hati sendiri tu nanti."
YOU ARE READING
Bakawali, Bunga Suci (Love Novel Publication)
Storie d'amoreCempaka, gadis kampung yang tertimpa dengan satu 'sumpahan'. Semuanya bermula apabila suami pertamanya meninggal akibat kemalangan di hari perkahwinan. Manakala suami keduanya pula meninggal di malam pengantin. Disebabkan nasib tersebut, Cempaka di...