Bab 15

370 18 2
                                    

[14/4]

TURUN ke dapur, Aathif membawa diri ke meja makan tanpa sebarang suara. Emaknya yang sedang memasak sesuatu di atas dapur tak ditegur walaupun sepatah. Tak ada apa nak dibualkan lagi pun.

Melihat meja yang masih kosong, badan bangun semula berdiri. Berniat untuk membancuh teh o. Tangan bergerak mendapatkan jug kecil dan gula. Satu uncang teh dimasukkan sama ke dalam jug sebelum dituang air panas.

Selesai dibancuh, teh o tersebut dibawa dan diletakkan di atas meja makan. Kebetulan emaknya juga siap menggoreng nasi. Jadi sarapan pagi mereka terhidang ringkas di atas meja makan.

Duduk dilabuhkan menanti emaknya menceduk nasi ke dalam pinggan. Dalam pada itu, tangan rajin menuang teh o ke dalam cawan. Sambil makan, bolehlah berkurang sedikit panas air teh tersebut sebelum disua ke mulut.

Walaupun pelik melihat emaknya diam sahaja sambil menyudu nasi ke mulut, Aathif juga sama tak tahu hendak mulakan apa-apa. Agaknya mak dia masih marahkan dia lagi sebab tak bawa balik tepung gandum yang dipesan petang kelmarin. Walaupun dia jawab terlupa, sah-sah mak dia dah boleh agak dia merayap ke rumah Cempaka. Kalau tak, macam mana boleh terlupa kalau keluar rumah memang niat nak ke kedai Abang Isa? Umm...

Nak buat macam mana, memang kepala kusut petang kelmarin melihat Cempaka dengan lelaki yang tak dikenali. Cemburu bukan main lagi di dada. Sungguh, tak pernah-pernah lagi dalam hidup dia dipanah cemburu macam tu. Disebabkan perasaan cemburu tersebut, semua perkara yang bermain dalam kepala terbang melayang entah ke mana. Apabila sampai di rumah, memang kena bebellah, bukan dia nak tak boleh agak.

"Mak, mak okey tak ni?" Walaupun tak tahu apa yang perlu ditanya, Aathif membuka juga mulut. Kalau mak dia nak marah, dia dah biasa. Tapi kalau senyap sampai sepatah apa pun tak kedengaran, dia juga yang tak sedap hati.

Mak dia tak menjawab, malah makin fokus menjamah nasi goreng di dalam pinggan.

"Mak?" soalnya lagi sekali.

Mak Wan menjeling kecil ke arah Aathif. Kemudian dihadap semula muka ke pinggan. Malas nak bertekak dia, pagi-pagi macam ni. Banyak lagi benda nak kena buat lepas ni.

"Mak, takkan sebab tepung semalam mak nak marah Aathif sampai senyap tak nak bercakap langsung?"

Mak Wan menyisip pula perlahan teh o yang masih berasap nipis. Masih tak mahu melayan Aathif.

"Semalam Asmira ada mesej."

Laju Mak Wan berpaling apabila nama Asmira disebut.

"Dia cakap dia dah pos tudung yang mak nak tu. Dia tak sempat nak telifon, bagitahu mak sebab sibuk. Sebab tu dia mesej Aathif je semalam."

Berbunga kecil dada Mak Wan mendengar ucapan tersebut. Dah seminggu Asmira berjanji nak belikan dia tudung sarung yang Aathif tunjukkan dalam Whatsapp tu dekat dia, tapi lama dia tunggu, tak sampai-sampai lagi budak posman tu depan rumah. Rupa-rupanya memang tak pos lagi. Baru semalam budak tu pos rupanya.

"Amboi, kalau dapat apa-apa daripada Asmira, memang tak lekang bibir tu senyum."

Mak Wan menjeling lagi sekali. "Yalah, Asmira tu tahu nak ambil hati. Kau tu pulak asyik nak sakitkan hati," luahnya dengan mata terpanah tepat.

Aathif mencebik kecil sambil menyambung suapan ke mulut. Nak buat macam mana, dia yang selalu ada depan mata. Kalau Asmira tu pun ada depan mata mak dia, tak sudah-sudah juga mulut tu membebal. Sebab dia kenal Asmira pun dua kali lima juga perangai, sama juga degilnya macam dia.

"Alisa tu apa cerita?"

"Cerita apa?"

"Cerita apa lagi, kamu dengan dia tu macam mana?"

Bakawali, Bunga Suci (Love Novel Publication)Where stories live. Discover now