Bab 20

650 23 6
                                    

[10/6]

SELESAI makan malam, Cempaka duduk di beranda rumah. Berehat-rehat sambil melayan Bulat di bawah sana yang masih nakal bermain-main ke sana-sini. Eton di dalam rumah sedang melipat kain di depan TV.

Sesekali Cempaka ketawa kecil memerhati telatah bulat. Teringatkan aksi Bulat beberapa hari lepas, dada masih menggerutu geram. Boleh si busuk tu pergi sondol kaki Farrel. Nasib baiklah yang disondol tu Farrel, tak adalah tersemban jatuh lelaki itu. Kalau orang lain, orang perempuan, mahu terduduk ke tanah dibuatnya. Malu dia nak memohon maaf kepada Farrel ketika itu.

Dia pun tak pasti kenapa Bulat boleh jadi nakal sampai macam tu sekali. Farrel pula tak habis-habis dengan senyuman yang melakat di wajah. Katanya mungkin Bulat sengaja nak bergurau dengan dia. Cempaka pun mengangguk sahajalah. Nak jawab apa lagi? Dia pun faham kadang-kadang tingkah-laku Bulat sukar nak dijangka. Kambing busuk dia tu terlebih nakal kalau tak biasa dengan orang lain. Mungkin Bulat tak berapa ‘kenal’ Farrel yang datang ke rumah dan duduk secara dekat dengan dia? Mungkin Bulat nak berlagak sebagai pelindung bagi Cempaka? Entahlah, lucu pula kalau betul macam tu.

Bercerita fasal Farrel, sudah banyak hari dia tak nampak lelaki itu. Sesekali sahaja Farrel ada menghantar mesej di WhatsApp kepadanya. Sebenarnya Cempaka masih ada sedikit rasa kekok untuk berbalas mesej dengan Farrel, tapi Farrel pandai ajak dia berborak. Bersungguh lelaki itu katakan, yang mereka perlu cari keselesaan kalau betul-betul mereka nak berkawan rapat. Cempaka tak reti dengan cara-cara yang Farrel ambil.

Jujurnya, dia tak pernah ada kawan baik ataupun kawan rapat. Selepas habis sekolah dulu, dia tetap tinggal di kampung manakala orang lain yang sebaya dan seangkatan dengannya, semuanya berubah arah dan berpindah untuk menyambung pelajaran. Jadi, dia memang tak pernah rasa macam mana ada teman rapat. Dia tak tahu macam mana nak berkongsi cerita, macam mana nak meluah perasaan. Dia langsung tak pernah buat semua itu dengan ‘kawan baik.’ Lagipun, dia rasa dia dah cukup dewasa. Dia tak rasa dia masih perlukan ‘tempat meluah perasaan.’

Walaupun dia tak menolak secara berterus-terang, Farrel tetap mendesak untuk dia terima idea ‘kawan baik’ yang dicadangkan. Farrel kata, kawan baik sepatutnya menjadi tempat kita meluah perasaan, berkongsi setiap perkara, tempat kita minta tolong. Secara mudahnya, kawan rapat itu ialah orang yang kita boleh percayai.

Cempaka tak pasti kalau dia dan Farrel boleh mencapai tahap ‘rapat’ macam tu. Lelaki dan perempuan, boleh ke berkawan rapat?

Walau apapun, dia cuba untuk faham cara dan sikap Farrel. Masih terlalu awal untuk dia dan Farrel menjadi akrab dan rapat seperti apa yang diharapkan. Dia masih perlu menjaga batas-batas yang ada. Cuma sekarang, dia cuba untuk tak terlalu kekok melayan perbualan yang Farrel mulakan. Banyak juga cerita tentang diri lelaki itu yang dia dengar. Farrel mengaku yang dia datang daripada bandar. Farrel tak pernah rasa macam mana suasasa di kampung yang sangat-sangat berbeza dengan apa yang lelaki itu bayangkan.
Cempaka akui, Farrel tak nampak kekok pun berada di sini. Walaupun Farrel ada beritahu yang dia masih cuba untuk mendapatkan ‘penerimaan’ daripada orang-orang kampung di sini, Cempaka yakin Farrel akan diterima baik oleh semua orang. Masyarakat di kampung mungkin ada sikap skeptikal dengan ‘orang luar’ yang cuba masuk bergaul, tapi mereka di sini tak adalah bersikap ‘tertutup’ sehingga tak boleh terima langsung orang luar. Dengan gaya ramah Farrel, Cempaka rasa Farrel akan diterima baik sahaja.

Cempaka juga masih belum terlalu terbuka untuk bercerita tentang diri sendiri. Mujurlah juga Farrel jenis yang mudah memahami sebab setiap kali Cempaka diam, Farrel pasti tahu dan ubah topik yang dibualkan dengan serta-merta. Walaupun ada rasa bersalah, Cempaka yakin Farrel tak terlalu ambil hati. Dan oleh sebab itulah dia masih cuba untuk buang semua sikap kekok dalam diri supaya hubungan baik yang Farrel harapkan, akan berjalan baik sahaja.

Bakawali, Bunga Suci (Love Novel Publication)Where stories live. Discover now