[18/5]
CEMPAKA cukup yakin, sudah lama dia tak rasa apa yang dia rasa sekarang. Melihat Farrel menyudu sira labu ke mulut berkali-kali, dada terasa ceria dan berbunga-bunga kecil. Dia malu untuk mengaku dengan diri sendiri, dia senang memerhati Farrel dengan riak wajah ceria. Berkali-kali bertemu, dia tak pernah lupa bagaimana lekuk di wajah lelaki itu apabila mengukir senyuman. Senyuman yang sentiasa dipasang setiap kali mata mereka bersatu.
“Saya rasa benda ni boleh jadi teruk nanti ni kalau saya tak stop makan.”
Cempaka mengangkat wajah. Memandang sebuah lagi senyuman yang terukir di wajah Farrel.
“Maksud saya, manis sira labu ni tak elok kalau makan banyak-banyak. Tapi tulah, saya tak rasa cukup kalau makan sikit.”
Cempaka tersenyum segan dengan penerangan Farrel. Farrel ada bagitahu semalam di WhatsApp, kalau boleh dia nak kurangkan sikit manis sira labu tu. Jadi Cempaka kurangkanlah sukatan gula melaka ketika memasak labu tersebut. Tapi mungkin Farrel memang bukan penggemar makanan manis, itu yang masih terasa kuat manis di mulut.
Cara Farrel terus menyuap masuk ke mulut sira labu manis yang dia sediakan itu pun dah boleh difahami bahawa Farrel betul-betul sukakan hidangan tersebut. Kalau tak, mungkin lelaki itu tak akan makan banyak sampai lima hiris. Manis yang sukar ditolak agaknya.
“Eh, awak tak makan sekali?”
“Saya masakkan untuk awak. Saya memang nak bagi awak.”
“Tapi saya tak makan banyak sampai macam ni.”
Cempaka ketawa kecil, tak membalas. Pandangan dihala ke arah Bulat yang sedang meragut rumput di laman rumah. Sesekali dia menjeling ke arah Farrel. Farrel dah berhenti memegang sudu. Sudah cukup agaknya manis yang diambil untuk hari ni. Cempaka merenung daripada sisi, mencuri pandang Farrel yang sedang meneguk air kosong.
“Saya suka macam ni.”
Cempaka menoleh dengan wajah tertanya-tanya. Farrel mengangguk dan tersenyum kecil.
“Lebih dua minggu dah saya dekat sini. Tapi baru sekarang rasanya macam ada kawan yang boleh ajak berbual.”
Cempaka tersenyum kelat. Farrel anggap dia kawan? Mereka berkawan ke macam ni?
“Saya tahu awak tak berapa selesa lagi dengan saya. Tapi jujur, saya selesa dengan awak, Cempaka. Awak dah cuba nak berbual dan berjumpa dengan saya ni pun saya dah kira beruntung dah. Kalau tak, tak tahulah apa lagi saya nak buat kecuali duduk di challet tu tengok orang buat kerja.”
Cempaka kekok nak membalas pandangan mata Farrel. Segan. Dia bukan tak selesa sebab apa, dia cuma dah lama tak berkenalan dengan lelaki asing. Ketika pertama kali berjumpa Farrel, dia tak rasa dia boleh bergerak serapat ini dengan lelaki itu. Tapi tak sangka, pertemuan demi pertemuan memaparkan banyak kebaikan yang Farrel hulurkan. Mungkin dia masih terhutang budi?
“Saya bukan gadis biasa, Farrel. Saya tak boleh nak terlebih mesra dengan sembarangan lelaki,” ujar Cempaka, akhirnya cuba bersuara. Kalau dia diam, macam mana perbualan nak berlaku. Sebelah pihak sahaja bercakap, tak menjadi.
“Maksud awak?”
“Saya bekas isteri orang, Farrel. Berkawan dengan lelaki di mata orang ramai tak sama dengan anak gadis bujang yang lain. Beza.”
“Kenapa pulak?”
“Awak tak ada dengar cerita orang-orang kampung?” Cempaka tak mahu membuka topik tersebut, tapi Farrel sepatutnya tahu dan ambil peduli. Sikap dan tingkah laku dia ini sentiasa diperhati orang. Dia risau Farrel terpalit sama dengan nama-nama yang tak baik.
YOU ARE READING
Bakawali, Bunga Suci (Love Novel Publication)
RomanceCempaka, gadis kampung yang tertimpa dengan satu 'sumpahan'. Semuanya bermula apabila suami pertamanya meninggal akibat kemalangan di hari perkahwinan. Manakala suami keduanya pula meninggal di malam pengantin. Disebabkan nasib tersebut, Cempaka di...