[22/3]
"ASSALAMUALAIKUM..."
Menunggu seketika, akhirnya salamnya bersambut. Senyuman terlakar kecil kepada Eton yang keluar di muka pintu. "Cempaka ada, Ton?"
"Cempaka ada, demam sikit katanya."
Cepat-cepat Aathif melangkah naik mendaki anak tangga. "Demam?"
"Haah."
"Teruk ke demam dia?"
"Tak adalah teruk sangat. Entahlah, dia tak bangun lagi lepas makan ubat tadi."
Aathif mengeluh tak keruan berkali-kali. Inilah yang dia risaukan. Cempaka kalau sakit atau apa, memang tak pernah nak bagitahu awal-awal. Risau dia yang tak seberapa dah jadi bertambah-tambah. Ini dia datang pun, memang main tarah aje sebab risau sangat. Kalau mak dia tahu sekali pun, dia dah kira malas nak peduli dah.
"Thif?"
"Akak." Melihat Cempaka yang tersenyum kecil dengan wajah sedikit muram, Aathif mempamerkan wajah risau. "Akak okay tak ni?"
Cempaka melangkah keluar dan duduk di kaki pintu rumah. Daripada dalam bilik lagi tadi dia dah boleh dengar dah bunyi motosikal Aathif ke mari. Kalau ikutkan, malas dia nak bangun. Tapi kalau tak diberi 'laporan' kepada lelaki itu, entah bila nak tinggalkan rumah dia ni nanti. Dah faham sangat.
"Demam biasa ajelah," ujarnya, cuba yakin.
"Ya ke? Nampak macam teruk tu."
"Betul..." jawab Cempaka lagi, meyakinkan.
"Kita pergi klinik, nak?"
"Tak payahlah..."
"Sekurang-kurang kita pergi check dulu. Demam zaman sekarang ni sebabkan penyakit pelik-pelik."
Cempaka menggelengkan kepala lemah. Dia okey, cuma dia rasa berat badan sahaja sikit. Lenguh-lenguh tu biasalah. Dah lama sangat rasanya dia tak demam. Sekali dia demam, boleh tahan jugalah. Tambahan, mengalami pengalaman yang menakutkan kelmarin, badan masih terkejut dan terasa kurang bersemangat. Itu yang cepat benar demam datang menjengah.
"Kak, dengarlah cakap Aathif ni."
"Thif, akak okey. Nanti dah cukup rehat nanti, baiklah demam ni. Ubat pun dah telan dah tadi. Dah dua kali dah hari ni."
Aathif mengeluh dengan nafas kurang berpuas hati. Makin lama memujuk, makin dia rasa geram. Susah sangat ke Cempaka nak faham perasaan risau yang dia tunjukkan? Tak boleh ke kalau Cempaka menurut dan berikan kerjasama? Dia tak mendesak atau apa, dia cuma nak Cempaka tahu yang dia betul-betul nakkan yang terbaik untuk Cempaka.
Kalau nak kata dia buat semua benda untuk beli jiwa gadis itu, memang salah sama sekali. Selama ini dia memang mengambil berat atas dasar tanggungjawab. Dan atas dasar itu jugalah dia bersungguh nak memiliki Cempaka. Bayangkan kalau dia jadi suami dan sentiasa ada di sisi Cempaka, pasti dia bahagia untuk sentiasa uruskan setiap keperluan dan penuhi setiap permintaan gadis itu.
"Mak sihat, Thif?"
Aathif pandang wajah kosong Cempaka. Tengok, senang-senang aje ubah topik walaupun dia tengah serius dengan poin-poin penting.
"Kereta akak pergi mana?" soalnya, sengaja mahu menukar topik juga. Daripada bercakap pasal mak dia tu, lebih baik bercakap pasal benda banyak yang lain.
"Kereta masuk bengkel," balas Cempaka ringkas.
"Rosak ke apa?"
"Hmm..," balasnya lagi. Sengaja tak mahu beritahu cerita sebenar. Kalau dia cerita nanti, banyak pula soalan yang timbul. Daripada nampak kecil, terus jadi sebesar-besar perkara. Lagi pun, dia masih usaha nak lupakan kejadian sebelum perlanggaran tersebut. Panjang fikiran yang dia ambil untuk tak laporkan perbuatan jahat tersebut kepada polis. Biarlah dia sendiri yang simpan dan anggap semuanya habis di situ. Dia janji dia akan lebih berhati-hati selepas ini.
YOU ARE READING
Bakawali, Bunga Suci (Love Novel Publication)
RomanceCempaka, gadis kampung yang tertimpa dengan satu 'sumpahan'. Semuanya bermula apabila suami pertamanya meninggal akibat kemalangan di hari perkahwinan. Manakala suami keduanya pula meninggal di malam pengantin. Disebabkan nasib tersebut, Cempaka di...