Bagaimana Praktik Kaedah Fiqh "Keluar Daripada Khilaf Adalah Dituntut"?
Terdapat kaedah fiqh menyebutkan :
الْخُرُوجُ مِنَ الْخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ
"Keluar daripada khilaf adalah dituntut".
Persoalan yang dilontarkan dalam pengamalan ini adalah keluar ke mana? Sebahagian orang menggunakan kaedah ini sebagai justifikasi untuk membebankan pengamalan atau praktik lebih daripada sepatutnya. Misalnya ada pendapat cukup dengan dua sahaja sebagai aras minimum. Namun, untuk keluar daripada perselisihan, dia perlu menambah lebih banyak daripada jumlah minimum. Jika tidak melakukannya, maka ini akan membuka jurang kepada perselisihan.
Yang sepatutnya adalah keluar ke arah toleransi, kompromi dan lapang dada. Bukannya menuju kepada pemaksaan dan celaan orang yang tidak mahu melakukannya. Jika merasakan perselisihan pendapat tersebut adalah perselisihan yang muktabar, mengapa perlu mencela orang lain yang berbeza pendapat? Mengapa orang yang melakukan sesuatu yang lebih ringan atau lebih mudah daripadanya dianggap tidak cukup bagus, malah dipandang rendah, dilihat hina, dianggap inferior atau diperlekeh? Ikutan dan pengamalan agama bukan berdasarkan mengambil yang berat dan meninggalkan yang ringan, tetapi mengambil yang benar dan meninggalkan yang batil.
Orang yang mahu mengambil pendapat yang berat memaksa orang supaya beramal sepertinya semata-mata untuk menjaga perasaannya. Mengapa mereka tidak boleh pula menjaga perasaan mereka yang mengamalkan sebaliknya? Kalau semua mahu ikut perasaan orang, kucar-kacirlah masyarakat. Biarlah masing-masing beramal menurut apa yang benar, lebih-lebih jika ia adalah ruang lingkup perselisihan yang muktabar. Selalu disebutkan perselisihan adalah rahmat, mengapa tidak menyebarkan rahmat melalui toleransi dan kompromi?
Beramallah ikut kapasiti ilmu dan kemampuan masing-masing. Tidak perlu memaksa orang lain. Usah peduli dicela kerana tidak mengamalkan sepertimana orang lain berkeras mahu mengamalkannya.
Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623073093019222016/tuturan-fiqh-dan-u%E1%B9%A3%C5%ABl-fiqh-12-bagaimana-praktik
YOU ARE READING
Al-H̱iṭōb Al-Wajīz : Isu Fiqh Dan Uṣūl Fiqh
Non-FictionPecahan daripada penulisan "Al-H̱iṭōb Al-Wajīz" yang khas untuk membincangkan isu fiqh dan ilmu uṣūl fiqh. Tidak terhad hanya pada isu hukum-hakam syariat sahaja, tetapi juga menyentuh isu kemasyarakatan, sejarah, falsafah, idea dan lain-lain yang b...