Tuturan Ringkas 25

26 0 0
                                    

Menuju Kepada Kemahiran Ilmu Uṣūl Al-Fiqh dan Al-Qowā*id Al-Fiqhiyyah

Ilmu uṣūl al-Fiqh dan al-Qowā*id al-Fiqhiyyah adalah ilmu yang sangat penting dalam kefahaman ilmu agama. Ia adalah asas dan dasar kepada manhaj pemikiran dan pertimbangan dalam penafsiran, penganalisisan maklumat dan pembentukan hujah dalam agama. Begitu pentingnya ilmu ini sehingga Muḥammad Muṣṭofā al-Marōġiyy berkata setelah membawakan syarat-syarat mujtahid :

ومعظم هذه الشروط يشتمل عليه ثلاثة فنون: الحديث ، واللغة ، وأصول الفقه. وولقد جمع العلماء آيات الأحكام في غير ما كتاب ،

Bahagian gadang pada syarat-syarat ini merangkumi tiga kemahiran; hadis, bahasa dan uṣūl fiqh. [Al-Ijtihād Fī al-Islām, m/s 17, keluaran al-Maktab al-Faniyy Li an-Našr].

Malah, kenyataan al-Marōġiyy ini tidaklah bersendirian. Ramai lagi yang selainnya meletakkan prioriti yang tertinggi untuk menguasai ilmu ini bagi sesiapa yang ingin menyarung selendang mujtahid. Bahkan, as-Suyūṭiyy menukilkan dari Abū al-Ḥasan al-Baṣriyy dalam Šarh al-Mu*tamad yang berkata :

لا يجوز التقليد في أصول الفقه ولا يكون كل مجتهد فيه مصيبا، بل المصيب فيه واحد بخلاف الفقه في الأمرين. قال والمخطئ في أصول الفقه ملوم غير معذور بخلاف الفقه فإنه معذور. فهذه ثلاثة قواعد خالف الفقه فيها أصوله لأن أصول الفقه ملحق بأصول الدين لأن المطالب قطعية

"Tidak harus bertaklid pada uṣūl fiqh. Tidaklah setiap mujtahid adalah betul padanya, tetapi yang betul padanya adalah sama. Berbeza dengan fiqh dalam dua perkara". Dia berkata: "Orang yang tersilap dalam uṣūl fiqh dicela yang tidak dimaafkan. Berbeza dengan fiqh, sesungguhnya ia dimaafkan. Ini adalah tiga kaedah yang fiqh menyalahi uṣūlnya padanya kerana uṣūl fiqh persis dengan uṣūl agama kerana tuntutan itu adalah sesuatu yang putus". [Ar-Rodd *Alā Man Aẖlada Fī al-Arḍ Wa Jahila Anna al-Ijtihād Fī Kull *Aṣr Wa Farḍ, m/s 89, keluaran Maktabah aṯ-Ṯaqōfah ad-Dīniyyah].

Kenyataan ini jelas bahawa sebab kesalahan dalam uṣūl fiqh tidak dimaafkan kerana ia adalah dasar yang menjadi pegangan dan pendirian dalam sesuatu isu. Jika dasarnya bercelaru, tidak sistematik dan tidak tulen, semestinya ia akan menghasilkan pandangan yang kacau bilau yang tidak konsisten, tersasar jauh dari tempat bidikan dan menghalang mata pemikiran dari mencerap realiti. Jika ia menghasilkan pendapat yang betul, ia adalah kebetulan. Seumpama orang yang ditutup matanya, tetapi bertuah panahannya tepat mengenai bidikannya. Ia tidak menghasilkan ilmu dan kefahaman. Hanya agakan yang tidak mampu diukur. Oleh sebab itu, apabila besarnya kepentingannya, besar juga risikonya. Benarlah kata Muḥammad bin *Umar bin Sālim Bazmūl :

مَا بُنِيَ عَلَى بَاطِلٍ فَهُوَ بَاطِلٍ

"Apa yang terbina atas kebatilan, maka ia batil". [Muṣṭolaḥ Manhaj al-Mutaqoddimīn Wa al-Muta^aẖẖirīn Munāqošah Wa Rudūd, m/s 192, keluaran Dār al-Āṯar Li an-Našr Wa at-Tawzī*].

Dalam masa yang sama, Muḥammad bin *Umar bin Sālim Bazmūl berkata :

الْخَطَأُ فِي التَّطْبِيقِ لَا يَلْزَمُ مِنْهُ خَطَأُ الْقَاعِدَةِ

"Kesalahan dalam penerapan tidak semestinya berpunca dari kesalahan kaedah". [Muṣṭolaḥ Manhaj al-Mutaqoddimīn Wa al-Muta^aẖẖirīn Munāqošah Wa Rudūd, m/s 193, keluaran Dār al-Āṯar Li an-Našr Wa at-Tawzī*].

Ini kerana kesalahan dalam praktikal barangkali kerana berlakunya alpa, kelalaian, terlepas pandang, terburu-buru dan terhad dalam rujukan, bukan semestinya kerana dasar dan asas itu sendiri. Sebab itulah dimaafkan kesalahan dalam fiqh.

Oleh itu, dalam kesempatan ini, saya ingin mengongsikan bahan pembacaan yang sekurang-kurangnya membantu bagi para pemula untuk mendalami ilmu ini. Untuk pengetahuan, tidak jauh beza antara ilmu uṣūl al-Fiqh dan al-Qowā*id al-Fiqhiyyah walaupun sebahagian penulisan cuba membezakannya. Secara umumnya menurut hemat saya, uṣūl al-Fiqh lebih menekankan sumber pengambilan hujah, manakala al-Qowā*id al-Fiqhiyyah adalah kaedah-kaedah fiqh yang dibentuk melalui formula untuk membantu dalam penerapan sumber pengambilan hujah. Misalnya, qiyas adalah sumber hujah dalam agama ini.

Apa itu qiyas? Yang ini akan disentuh dalam ilmu uṣūl al-Fiqh. Bagaimana pula tatacara untuk menerapkankan qiyas? Yang ini pula akan disentuh dalam al-Qowā*id al-Fiqhiyyah. Kadangkala, apa yang disebut dalam ilmu al-Qowā*id al-Fiqhiyyah ada dalam ilmu uṣūl al-Fiqh. Walaupun tampak ilmu al-Qowā*id al-Fiqhiyyah lebih khusus daripada ilmu uṣūl al-Fiqh, ini menunjukkan ia saling berpautan antara satu sama lain. Sebab itulah, dalam penulisan ini, saya berkongsikan karya-karya yang membantu para pemula untuk sampai kepada pemahaman kedua-dua ilmu ini secara bersamaan.

Langkah pertama dalam penguasaan ilmu ini adalah wajib bagi pemula untuk mendalami bahasa Arab terlebih dahulu. Jika tidak, ia akan menyebabkan kesukaran untuk memahami bab perintah dan larangan yang sememangnya memerlukan kemahiran bahasa Arab. Malah, untuk sampai kepada kemahiran dalam mempraktikkan ilmu ini pun, penguasaan bahasa untuk menganalisis teks dengan neraca bahasa tidak dapat dielakkan. Malah, Taqiyuddīn as-Subkiyy berkata :

فإن الإصوليين دققوا في فهم أشياء من كلام العرب لم يصل إليها النحاة ولا اللغويون

"Sesungguhnya ahli uṣūl meneliti pada kefahaman sesuatu yang terdiri daripada kalam Arab yang tidak para ahli nahu dan bahasa sampai kepadanya". [Al-Ibhāj Fī Šarḥ al-Minhāj, jilid 1, m/s 7, keluaran Dār al-Kutub al-*Ilmiyyah, Beirut].

Atas sebab inilah peri pentingnya penguasaan ilmu bahasa sebelum seseorang mahu menjejakkan kaki dalam medan ilmu. Malah, jika sesiapa yang menelusuri tesis dan jurnal yang berkaitan dengan praktikal uṣūl al-Fiqh ini, pasti akan cakna bahawa tidak dapat tidak penguasaan bahasa Arab sangat diperlukan. Jika tidak, maka jurang antara dunia kefahaman sebenar tidak dapat didekatkan.

Setelah itu, karya asas ilmu uṣūl al-Fiqh, saya mencadangkan Durūs Fī Uṣūl al-Fiqh Li al-Mubtadi^īn karya Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣōdiq an-Najjār dan Mabādi^ al-Uṣūl karya *Abdul Ḥamīd bin Bādīs. Ini adalah karya yang paling asas. Kemudian, asas yang sedikit terperinci adalah al-Wāḍiḥ Fī Uṣūl al-Fiqh Li al-Mubtadi^īn karya Muḥammad Sulaymān al-Ašqor. Untuk karya berbahasa Melayu, boleh membaca Pengantar Usul Fiqh karya Abdul Latif Muda dan Rosmawati Ali, terbitan Pustaka Salam Sdn Bhd dan Manhaj Ilmu Fiqah Dan Usul Fiqah karya Abdul Azib Hussain, terbitan Telaga Biru Sdn Bhd.

Manakala, karya asas untuk ilmu al-Qowā*id al-Fiqhiyyah adalah Zubdah al-Qowā*id al-Fiqhiyyah karya Muḥammad Nūruddīn Marbū al-Banjariyy. Ia adalah karya yang begitu ringkas dan mudah difahami yang sememangnya mesra untuk para pemula. Saya juga mencadangkan kitab al-Qowā*id al-Fiqhiyyah Ma*a aš-Šarḥ al-Wajīz karya *Izzat *Ubayd ad-Da**ās dan Īḍōḥ al-Qowā*id al-Fiqhiyyah Li Ṭullāb al-Madrosah aṣ-Ṣowlatiyyah karya ʿAbdullah bin Saʿīd Muḥammad ʿAbbādiyy.

Kemudian, peringkat seterusnya bagi ilmu uṣūl al-Fiqh adalah al-Wajīz Fī Uṣūl al-Fiqh karya *Abdul Karīm Zaydān, Al-Jāmi* Li Masā^il Uṣūl al-Fiqh Wa Taṭbīqōtuhā *Alā al-Maḏhab ar-Rōjiḥ karya *Abdul Karīm bin *Aliyy bin Muḥammad an-Namlah, Min Uṣūl al-Fiqh *Alā Manhaj Ahl al-Ḥadīṯ karya Zakariyyā Ġulām Qōdir al-Bākistāniyy dan al-Qowā*id al-Uṣūliyyah Tubnā *Alayhā Ṯamaroh *Amaliyyah karya Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣōdiq an-Najjār.

Manakala, bagi ilmu al-Qowā*id al-Fiqhiyyah, saya mencadangkan buku Namāḏij Min al-Qowā*id al-Fiqhiyyah Wa al-Uṣūliyyah Ma*a Ba*ḍ at-Taṭbīqōt al-Far*iyyah *Alayhā Wa Yalīh al-Furūq al-Fiqhiyyah karya *Abdul Malik bin *Abdul Roḥmān as-Sa*diyy, al-Wajīz Fī Šarḥ al-Qowā*id al-Fiqhiyyah Fī aš-Šarī*ah al-Islāmiyyah karya *Abdul Karīm Zaydān dan al-Mumti* Fī al-Qowā*id al-Fiqhiyyah karya Muslim bin Muḥammad bin Mājid. Untuk yang berbahasa Melayu, saya mencadangkan buku Perbahasan Kaedah-Kaedah Fiqh karya Abdul Latif Muda Dan Rosmawati Ali, terbitan Pustaka Salam Sdn Bhd. Buku ini mengupas agak lebih mendalam sedikit sehingga membahaskan sedikit terperinci mengenai kaedah-kaedah cabang yang terbentuk daripada dasar kaedah tersebut.

Setelah itu, dipersilakan untuk menelaah mana-mana karya yang dimahukan sama ada yang setara dengan peringkat kedua atau mengulangkaji ke peringkat lebih rendah atau meningkat ke peringkat yang lebih tinggi.

Saya juga perlu mengingatkan bahawa cangkupan skop dan liputan perbahasan dalam kedua-dua ilmu ini memiliki variasi. Kadangkala, para penulis berbeza dalam menyusun bab. Kadangkala juga ada bab yang tidak disentuh oleh beberapa penulis. Kadangkala, terdapat perbezaan ketara dalam tema dan fokus karya tersebut. Oleh itu, kita sebagai para pembaca perlu celik dan cakna terhadap kepelbagaian bentuk pengkaryaan ini.

Saya mencadangkan untuk memperluaskan bacaan kepada karya seperti kitab, tesis, jurnal atau artikel yang zahir tajuknya tidak menyebutkan uṣūl al-Fiqh dan al-Qowā*id al-Fiqhiyyah atau mana-mana isi terkandung di dalamnya, tetapi membahaskan, mengupas dan menganalisis isu-isu yang berkaitan dengan proses penggalian hukum dan memahami bentuk istidlal seperti Ahammiyyah al-Maqōṣid Fī aš-Šarī*ah al-Islāmiyyah Wa Aṯaruhā Fī Fahm an-Naṣ Wa Istinbāṭ al-Ḥukm karya Samīḥ *Abdul Wahhāb an-Najdiyy, Naẓoriyyah aš-Šubuhah Fī al-Fiqh al-Islāmiyy karya *Abdulah Sa*īd Waysiyy, ad-Dilālāt al-Lafẓyyah Wa Aṯaruhā Fī Istinbāṭ al-Aḥkām Min al-Qur^ān al-Karīm karya *Aliyy Ḥusayn aṭ-Ṭowīl, Af*āl ar-Rosūl Wa Dalālatuhā *Alā al-Aḥkām aš-Šar*iyyah karya Muḥammad Sulaymān al-Ašqor dan lain-lain.

Karya-karya seperti ini banyak yang zahirnya tidak merujuk kepada ilmu uṣūl al-Fiqh atau al-Qowā*id al-Fiqhiyyah secara langsung, tetapi intipati kandungannya mengambil daripada kedua-dua ilmu ini. Secara mudahnya, mana-mana karya yang membahaskan proses penggalian hukum dan analisis bentuk istidlal yang berkaitan dengan hukum, maka itulah karya uṣūl al-Fiqh.

Semoga apa yang saya kongsikan di sini benar-benar bermanfaat untuk menyampaikan hajat para penuntut ilmu, seterusnya membimbing kita kepada kefaqihan yang membawa kita kepada istiqamah di jalan yang benar sehingga ke hari akhirat.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/634564719736471552/tuturan-fiqh-dan-u%E1%B9%A3%C5%ABl-fiqh-25-menuju-kepada

com/post/634564719736471552/tuturan-fiqh-dan-u%E1%B9%A3%C5%ABl-fiqh-25-menuju-kepada

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb Al-Wajīz : Isu Fiqh Dan Uṣūl FiqhWhere stories live. Discover now