Adakah Keengganan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- Untuk Berjabat Tangan Bermakna Keharaman Untuk Menyentuh Wanita Bukan Mahram?
Sebahagian orang menggunakan hadis riwayat Aḥmad bahawa Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- tidak ingin berjabat tangan ketika berbaiah sebagai pengharaman sentuhan bukan mahram. Lalu, mengapa mereka tidak menggunakan hadis keengganan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- ini
عَنْ أَنَسٍ ، قَالُوا :" يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا تَتَزَوَّجُ مِنْ نِسَاءِ الْأَنْصَارِ؟". قَالَ :" إِنَّ فِيهِمْ لَغَيْرَةً شَدِيدَةً".
Daripada Anas; Mereka berkata: "Wahai Rasulullah, adakah engkau tidak berkahwin dengan wanita-wanita Ansar?". Baginda berkata: "Sesungguhnya pada mereka benar-benar terdapat kecemburuan yang kuat". [An-Nasā^iyy dalam as-Sunan aṣ-Ṣuġrō, no. 3199].
Untuk berkahwin dengan orang Ansar sebagai dalil pengharaman perkahwinan dengan orang Ansar?Mengapa tidak menggunakan riwayat Abū Umāmah :
مَا كَانَ يَفْضُلُ عَنْ أَهْلِ بَيْتِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خُبْزُ الشَّعِيرِ
"Tidak pernah ada lebihan gandum pada keluarga Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-". [Sunan at-Tirmiḏiyy, kitāb az-Zuhd, no. 2294].
Untuk melarang penyimpanan lebihan gandum di rumah?
Sesungguhnya perbuatan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bukanlah hujah syariat melainkan ditunjukkan dalilnya. Maka, keengganan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- atas faktor peribadi tidak diambil kira sebagai hujah sehinggalah wujudnya dalil yang menyatakan bahawa hal itu termasuk dalam hukum syariat.
Saya agak faham mengapa sebahagian orang berkeras untuk mempertahankan pendapat sebegini. Ini kerana pekat sentimen mereka dalam melarang dan membenci akan berjabat tangan dengan wanita yang bukan mahram walaupun tidak ada dalil untuknya dan ia kembali kepada kaedah fiqh yang asal, iaitu tiap-tiap sesuatu adalah harus melainkan dibawakan dalil yang memalingkannya. Sentimen ini menyebabkan mereka bertakalluf dalam aplikasi hadis ini. Walhal mereka tahu bahawa faktor peribadi baginda semata-mata tidak dianggap sebagai hujah syariat kecuali terbukti ia terpakai untuk seluruh umatnya. Mungkin mereka menyedari bahawa ia menyalahi praktik kaedah yang asal, namun disebabkan tidak mahu kompromi dengan keharusan menyentuh wanita yang bukan mahram, mereka tetap mengaplikasikan sedemikian.
Pendapat keharaman ini telah lama diwarisi dan disemat tegas dalam pengajaran dan pendidikan sehinggalah Yūsuf al-Qoroḍōwiyy bersikap berani mengeluarkan pendapat yang sebaliknya. Ramai yang mengecamnya seolah-olah dia mengeluarkan pendapat yang baru, padahal dia mengeluarkan pendapat yang benar. Sungguhpun cara penghujahan saya dalam menetapkan keharusannya berbeza dengannya, tetapi natijahnya sama.
Apapun, di sini telah nyata kepada kita bagaimana sentimen boleh mempengaruhi seseorang dalam membuat aplikasi kaedah fiqh, demikian juga penafsiran dan pengutaraan pendapat.
Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/621458669272530944/tuturan-fiqh-dan-u%E1%B9%A3%C5%ABl-fiqh-2-adakah-keengganan
YOU ARE READING
Al-H̱iṭōb Al-Wajīz : Isu Fiqh Dan Uṣūl Fiqh
غير روائيPecahan daripada penulisan "Al-H̱iṭōb Al-Wajīz" yang khas untuk membincangkan isu fiqh dan ilmu uṣūl fiqh. Tidak terhad hanya pada isu hukum-hakam syariat sahaja, tetapi juga menyentuh isu kemasyarakatan, sejarah, falsafah, idea dan lain-lain yang b...