Meletakkan kewajipan lafaz niat dalam berbahasa Arab adalah tanda kejahilan dalam memahami hakikat niat itu sendiri. Niat itu terbit daripada keazaman jantung untuk melakukan sesuatu secara sedar dan fokus. Sesungguhnya dikira gila seseorang itu apabila seseorang menuju ke masjid setelah mendengar laungan azan jika tidak tahu apa tujuannya, apa waktunya dan apa solat yang mahu ia didirikan! Sesungguhnya dikira tidak waras seseorang mengangkat tangan apabila berada di saf, tetapi tidak tahu apa yang dia hendak buat!
Tetapi itulah yang mereka lakukan. Menjadikan orang lebih bertambah gila setelah waras. Seolah-olah seseorang itu tidak dikira berniat jika tidak menyebutkan lafaz bahasa Arab. Tokok tambah bodoh lagi mengarut inilah yang menjadikan ibadah bertambah payah dan membawa keliru kepada orang lain. Kalau tujuan lafaz itu adalah untuk meneguhkan hati untuk fokus, maka dalam bahasa apapun yang boleh difahami penutur sudah memadai. Tidak semestinya berbahasa Arab sahaja. Orang yang tidak tahu apa yang diucapkan dalam bahasa Arab tetap akan sah jika sabit keazamannya. Mengapa perlu bersusah payah lagi?
Paling parah sekali, apabila berlakunya pewajipan terhadap lafaz niat berbahasa Arab, sebahagian orang yang saya temukan tidak melakukan solat jamak dan qasar kerana tidak tahu lafaz niat dalam berbahasa Arab! Alangkah jijiknya kesan fatal perbuatan mereka yang bodoh mengubah sang waras jadi pandir dan terngiang-ngiang dalam keliru. Kebodohan sebegini tidak perlu ragu lagi ia menatijahkan bidaah yang mungkar lagi keji.Lafaz niat bukannya wajib. Lalu, mengapa perlu mewajibkan dalam bahasa Arab untuk orang yang ingin melafazkan niat. Jika ingin melafazkannya pun supaya teguh, bukan bermakan wajib melafazkannya dalam bahasa Arab. Jika untuk galakan supaya biasa dengan kalimah bahasa Arab, apa guna galakan jika sampai menyusahkan orang, malah sampai menghalang orang dari melakukan sesuatu ibadah hanya kerana tidak tahu bahasa Arab?
Situasi ini benar-benar mengingatkan saya bagaimana Yūsuf al-Qoroḍōwiyy menceritakan pengalamannya dalam karyanya as-Sunnah Wa al-Bid*ah bahawa ada orang tidak mahu bersolat kerana tidak menghafal doa-doa ketika berwuduk. Walhal, berdoa ketika wuduk bukannya rukun atau kewajipan dalam wuduk. Jika seseorang ingin berdoa, seseorang itu bebas untuk berdoa apa sahaja ketika wuduk tanpa terikat dengan lafaz tertentu. Jika dia bukan orang Arab, maka dipersilakan untuk berdoa dalam bahasa yang dia tuturkan. Sememangnya jelas bagaimana bidaah menyebabkan pengamalan agama menjadi terbeban.
Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/635165904625451008/tuturan-fiqh-dan-u%E1%B9%A3%C5%ABl-fiqh-27-kebodohan-mereka
YOU ARE READING
Al-H̱iṭōb Al-Wajīz : Isu Fiqh Dan Uṣūl Fiqh
Non-FictionPecahan daripada penulisan "Al-H̱iṭōb Al-Wajīz" yang khas untuk membincangkan isu fiqh dan ilmu uṣūl fiqh. Tidak terhad hanya pada isu hukum-hakam syariat sahaja, tetapi juga menyentuh isu kemasyarakatan, sejarah, falsafah, idea dan lain-lain yang b...