As-Sunnah Wa Al-Bid*ah Karya Yūsuf Al-Qoroḍōwiyy : Risalah Yang Memaparkan Sebab Islam Menentang Keras Terhadap Bidaah
As-Sunnah Wa al-Bid*ah karya Yūsuf al-Qoroḍōwiyy adalah penulisan yang berbentuk risalah yang dibukukan dalam rangka menjawab artikel Istinkār al-Bid*ah Wa Karōhah at-Tajdīd Mawqif Islāmiyy Aw Jāhiliyy yang bermaksud "Pengingkaran Bidaah Dan Membenci Pembaharuan Adalah Pendirian Islam Atau Jahiliyyah?" .
Saya sebenarnya membaca artikel tersebut untuk meneliti apa sebenarnya yang ingin dibincangkan dalam artikel itu. Dalam artikel ini, ia lebih menekankan kepada seruan kepada pembebasan taklid, menuju kepada pembaharuan dan membuka ruang yang besar untuk medan ijtihad. Malangnya, dalam artikel ini, penulis secara terang-terangan menolak dua hadis berikut :
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ ـ رضى الله عنه ـ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ " لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ، وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ ". قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ، الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ " فَمَنْ ".
Daripada Abū Sa*īd -roḍiyallahu *anh-, bahawasanya Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam- bersabda: "Pasti kalian akan mengikut gaya hidup orang sebelum kalian sehasta demi sehasta, sejengkal demi sejengkal sehingga kalau mereka masuk ke lubang dhab, pasti kalian juga memasukinya". Kami berkata: "Wahai Rasulullah, adakah Yahudi dan Nasrani?". Baginda berkata: "Siapa lagi?". [Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyy, no. 662].
وَشَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا , وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ , وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ , وَكُلَّ ضَلالَةٍ فِي النَّارِ
"Seburuk-buruk perkara adalah perkara baharu. Tiap-tiap yang baharu adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat dan setiap yang sesat di dalam neraka". [Ṣoḥīḥ Ibn Ḥuzaymah, kitāb al-Jum'ah, no. 1689].Saya sebenarnya tidak tahu jika al-Qoroḍōwiyy benar-benar membaca penuh artikel tersebut atau sekadar membaca tajuk sahaja. Saya melihat risalah ini sekadar menyentuh pada tajuk artikel sahaja, tetapi saya tidak melihat bagaimana dia menyinggung pengisiannya. Bagi saya, risalah ini walaupun bermanfaat dari segi membina kesedaran yang akan dijelaskan nanti, tetapi ia tidak ternyata dari aspek membantah artikel ini. Kalaulah dia benar-benar mengamati artikel ini, pasti dia akan merubah cara penulisannya dalam menyanggah artikel ini kononnya mengajak kepada pembaharuan dan pembebasan taklid, hakikatnya ini adalah seruan kepada bidaah yang menyesatkan atas dasar kejahilan dan penolakan terhadap sunnah. Ini kerana penulisan ini bukan dari orang yang terkeliru tentang pemahaman bidaah, tetapi orang yang menolak penentangan agama ini terhadap bidaah. Gaya penulisan karya al-Qoroḍōwiyy ini nampak merujuk kepada bantahan terhadap golongan yang pertama, bukan yang kedua.
Yang paling menghairankan adalah penulis artikel ini menyebut nama Ibn Taymiyyah, Ibn Qoyyim al-Jawziyyah dan aš-Šawkāniyy sebagai tokoh mujtahid yang menyeru kepada pembaharuan. Tidakkah maklum kepadanya bahawa nama-nama ini sebenarnya sangat berpegang teguh dengan sunnah dan sama sekali tidak menolak hadis-hadis berikut seperti penulis yang tolol ini? Tidakkah maklum kepadanya bahawa dasar-dasar pembaharuan dan ijtihad tokoh-tokoh ini sangat berbeza daripada sang bodoh yang tidak mengerti tentang sunnah? Ini sangat mengaibkan dirinya yang kononnya dengan memetik nama-nama ini akan menampakkan usaha ijtihad dan gerakan pembaharuan adalah berasaskan pemahaman mereka, walhal ia sekadar perisai rapuh lagi memakan dirinya.
Apapun, as-Sunnah Wa al-Bid*ah karya Yūsuf al-Qoroḍōwiyy masih kekal kemutuan manfaatnya secara signifikan. Kita telah kenal bahawa Yūsuf al-Qoroḍōwiyy adalah tokoh kontemporari yang memperjuangkan pembaharuan dan ijtihad dalam agama ini. Melalui karya ini, ia benar-benar membezakan sandaran perjuangannya berasaskan Islam atau mengikut kehendak sang sesat yang menyesatkan.
Karya ini tidaklah seperti karya yang memfokuskan perbahasan secara akademik yang lain yang mengupas secara tuntas, analisis secara komprehensif dan perbincangan secara menyeluruh. Ia lebih menekankan konsep pendidikan jiwa dan pembinaan kesedaran terhadap kerasnya agama Islam dalam menentang bidaah. Karya ini juga bukanlah ingin mempamerkan perebutan aliran atau mengukuhkan aliran yang dia pegang, tetapi mengajak kesemua kaum Muslim untuk sama-sama merenung kembali dasar-dasar penentangan terhadap bidaah.
Ini kerana sebahagian orang begitu memandang remeh terhadap bidaah. Seolah-olah bidaah bukan dosa besar yang perlu diambil berat dan dikhuatiri. Asas berlakunya hal ini kerana bermudah-mudahan dalam pendefinsian bidaah atau pembahagiaan bidaah sehingga seseorang itu sanggup dan tidak segan silu mengada-adakan pembaharuan dalam perkara yang berkaitan dengan agama. Disebabkan memandang enteng atau sebenarnya lebih tepat lagi menunggangi pengistilahan dan pengklasifikasian bidaah demi kepentingan diri dan alirannya, maka ia bersikap longgar dan luas dalam hal ini sehingga tidak kenal lagi had dan sempadannya.
Inilah yang al-Qoroḍōwiyy mahu tekankan dan wacanakan. Usah terlalu terjebak dengan definisi dan pembahagian, tetap lihat semula mengapa agama ini begitu menentang keras terhadap bidaah. Apapun definisi atau pembahagian, kita kembali kepada dasarnya dan kita menghidupkan apa yang agama ini mahu umatnya menghidupkannya. Benar bahawa al-Qoroḍōwiyy ada kontroversinya, aliran sana ada polemiknya dan aliran sini ada pertikaiannya. Namun, tidak bolehkah kita sama-sama berkongsi sentimen supaya sentiasa memperjuangkan sunnah dan mencantas segala bidah? Inilah yang diserukan oleh pengkarya ini.
Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/634442535518027776/tuturan-fiqh-dan-u%E1%B9%A3%C5%ABl-fiqh-22-as-sunnah-wa
YOU ARE READING
Al-H̱iṭōb Al-Wajīz : Isu Fiqh Dan Uṣūl Fiqh
Non-FictionPecahan daripada penulisan "Al-H̱iṭōb Al-Wajīz" yang khas untuk membincangkan isu fiqh dan ilmu uṣūl fiqh. Tidak terhad hanya pada isu hukum-hakam syariat sahaja, tetapi juga menyentuh isu kemasyarakatan, sejarah, falsafah, idea dan lain-lain yang b...