Suasana malam sangat gelap tanpa bintang dan bulan selepas hujan turun dengan lebat di bandar raya yang gah ini. Majoriti manusia sedang berada di dalam rumah pada waktu tengah malam yang sejuk ini. Tetapi tidak semua manusia berada di dalam rumah. Di atas jalan raya masih lagi banyak kenderaan yang lalu lalang entah ke mana mereka pergi dan entah dari mana mereka datang. Aku pula hanya memerhati di tepi jalan ini berbumbungkan sebuah kotak yang terbalik. Aku duduk di dalam kotak tersebut sebab aku hanya seekor kucing hitam yang baru kehilangan tuan.
Tuan aku bukan satu. Lebih daripada satu. Tetapi semuanya pergi meninggalkan aku selama-lamanya. Aku juga tidak faham terhadap sikap sesetengah manusia yang sering menghalau aku dengan penyapu walhal kucing lain boleh sahaja diberi makanan. Walaupun aku sering menjadi kucing jalanan dan kadang-kala jadi kucing peliharaan, diri aku sentiasa bersih kerana aku tidak suka kotor walaupun badan aku berwarna hitam.
Hidup sebagai kucing jalanan ini sangat sukar jika mahu cari makanan. Yang pasti, aku tak makan tikus. Rasa nak muntah. Aku main-main je dengan tikus. Lambung-lambung, tepuk-tepuk, duduk atas dia dan tendang kalau dah malas layan dia. Tugas aku di rumah juga sering tangkap tikus dan buang dalam tandas. Flush! Aku tahu aku bijak.
Hujan mula berhenti. Aku pula kembali meneruskan perjalanan aku merantau kawasan ini. Aku tidak suka duduk satu tempat lama-lama kecuali kalau tempat tu ada manfaat kepada aku. Sumber makanan.
Perjalanan aku diteruskan sehingga aku tiba di sebuah taman permainan. Di sini aku menyaksikan perlawanan manusia-manusia yang aku tidak tahu puncanya. Tapi seronok. Maka, aku panjat ke atas sebuah kerusi panjang berhampiran tempat kejadian dan duduk di situ. Jadi penonton setia sampai habis perlawanan.
Seorang lelaki berhud hitam bergerak pantas sambil mencederakan musuh-musuhnya menggunakan pisau pada tangan kanannya. Sekali-sekala pisau itu dipusing-pusingkan sehingga pihak lawan menyerangnya. Pergerakan yang pantas itu tidak dapat dihentikan walaupun dia tidak menggunakan pisau pada tangannya.
Aku hanya memerhati sehingga semuanya tumbang kecuali lelaki misteri itu. Dia ketawa dan berkata. "Kau fikir kau bawa geng ramai, kau boleh menang? Tak, bro. Kau silap. Aku tak cari masalah dalam hidup kau tapi kau cari masalah dengan aku. Kau memang malang. Sekali dengan member-member kau arwah malam ni dekat sini. Tapi aku beri kau orang peluang. Kalau kau kacau aku lagi. Memang arwah, " dia marah.
Aku hanya memerhati tanpa bergerak dari situ walaupun perlawanan sudah selesai. Manusia-manusia yang terbaring di tanah itu masih sedemikian dan mengerang kesakitan.
Padan muka sebab cari gaduh. Aku tepuk tangan je.
Kemudian, lelaki misteri itu berjalan ke arah aku. Pisau pada tangan kanan disimpan ke dalam poket baju jaketnya yang berwarna hitam. Dia berhenti di hadapan aku. Aku pandang dia. Dia pandang aku.
"Kau ni apa hal duduk atas beg aku? Dah tak ada tempat lain ke?"
Beg?
Aku rasa hairan sekejap. Aku pun tengoklah ke arah kaki aku. Ya. Memang ada beg. Aku duduk di atas beg hitam. Hitam macam aku. Patutlah sedap sangat duduk.
Tiba-tiba, kedua-dua pipi aku dicubit oleh lelaki misteri itu. Aku melihat ke arahnya walaupun rasa sakit. Aku baru saja ada niat nak cakar tangan dia tapi dia garu dagu aku dan gosok-gosok kepala aku. Tak jadi pula nak cakar.
"Mata kau merah macam mata aku. Kau buat apa dekat sini? Dah malam la. Cari makan ke? Mana ada kedai makan kawasan taman ni. Atau kau sesat? Kau ni ada tuan ke tak? Jantan ke betina? Tengok sikit buntut."
Dia angkat aku secara tiba-tiba dan pusingkan aku ke belakang. Dia tengok apa? Tak akan la...
Aku meronta-ronta supaya dia lepaskan aku tetapi dia tidak lepaskan aku. Sebaliknya, dia buka zip pada jaketnya dan masukan aku ke dalam jaket tersebut. Zip ditutup sedikit. Aku pula mula terasa lemas dan keluarkan kepala melepasi jaket tersebut. Kedua-dua telinga aku tiba-tiba ditarik sebelum dia mengambil beg silang miliknya di atas kerusi itu.
YOU ARE READING
A.K.U : MINI EPISOD
Mistero / ThrillerA.K.U : MINI EPISOD akan menjadi satu platform yang menarik peminat para pembaca untuk mengetahui kisah-kisah tambahan yang tiada dalam siri A.K.U yang lain. Para pembaca juga boleh mengajukan soalan kepada para watak yang terlibat dalam aku melalui...