Bab : 1

2K 125 4
                                    

Pada keesokan harinya, Davina hadir ke kediaman Bernard selepas dijemput oleh keluarga itu. Pada awalnya, Davina sudah menolak, tetapi isteri Bernard tidak henti-henti mendesak, membuatkan Davina tidak dapat berbuat apa-apa.

Dia terpaksa akur dengan pelawaan itu. Jadi, dia memandu ke kediaman keluarga tersebut dan tiba sebelum waktu makan malam bermula.

Setibanya di situ, Kaden yang segak berpakaian sut sedang menyusun atur meja makan sementara Bernard membantu isterinya menyediakan makanan. Keluarga itu kelihatan sangat harmoni, membuatkan hati Davina yang sudah terluka semakin sakit seperti ditabur garam pada luka terbuka. Dia tertanya-tanya, mengapa dia tidak boleh memiliki keluarga bahagia seperti Kaden? Salah apa yang telah dia lakukan hingga nasibnya berakhir seperti ini?

Dia juga menawarkan diri untuk membantu, tetapi keluarga itu hanya meminta dia duduk dan menunggu. Tanpa berkata apa-apa, Davina duduk di kerusi meja makan sambil memerhatikan mereka.

"Maaf ya, kamu tunggu lama. Biasanya saya masak sendiri, cepat siap... tetapi bila dua orang ini sudah menyibuk, semua kerja jadi lambat," beritahu Ibu Kaden kepada Davina semasa meletakkan jug air di atas meja.

"Hei, menyibuk ibu kata? Untung-untung Kaden tolong," rajuk Kaden sambil menarik kerusi di sebelah Davina lalu duduk di situ setelah tugasnya selesai.

Bernard ketawa mendengar kenyataan isterinya. Bukan selalu anak-anak mereka dapat membantu menguruskan kerja rumah. Jika tidak kerana kesibukan kerja yang mendesak, mereka dapat meluangkan masa bersama seperti ini di rumah. Sambil memandang Davina, dia mengambil tempat di kerusi hujung meja dan menyelesakan diri di situ.

"Oh ya, sebelum kita mula makan, ada sesuatu yang saya mahu sampaikan kepada kamu, Davina," beritahu Bernard dengan nada teruja.

Davina memandang Bernard tanpa rasa teruja. Apa lagi yang orang tua ini mahu buat? "Apa dia?"

"Saya merancang untuk berpindah dari sini bersama Kaden. Memandangkan pengarah hospital telah bertukar, saya fikir mahu bawa kamu bersama kami," beritahu Bernard.

Ibu Kaden mengangguk dengan gembira. "Ya, betul tu... kamu boleh sambung kerja di sana juga. Bersama-sama dengan Kaden. Kami sudah uruskan segalanya."

Kaden hanya diam bersahaja di sebelah Davina. Dia mengambil gelas berisi air kosong sebelum menyisip sedikit. Ayahnya sudah memberitahu tentang hal ini dari awal, jadi dia tidak mempunyai soalan untuk diajukan kerana dia mengikut sahaja aturan ayahnya.

"Pindah?" tanya Davina dengan kening berkerut sedikit. Dah sampai masanya ke?

"Nanti selepas majlis perkahwinan kamu berdua, bolehlah menetap terus di situ," sambung Bernard lagi.

Davina tidak berkata apa-apa. Dia hanya memandang Bernard lalu ke Ibu Kaden silih berganti. Beberapa ketika kemudian, dia mengangguk akur. "Baik."

"Baguslah kalau begitu. Mari kita mula makan," ajak Bernard dengan gembira selepas mendengar jawapan dari Davina.

Ibu Kaden mula menyajikan hidangan kepada Bernard.

Mata Davina bergerak dari pasangan suami isteri itu ke jari tangan kirinya. Ya, sudah empat bulan dia bertunang dengan Kaden. Semua ini adalah aturan Bernard sendiri. Dia tidak boleh membantah memandangkan Bernard telah banyak berjaya dalam hidupnya. Kaden sendiri tidak menolak, jadi dia pun setuju sahaja.

"Hey!" Kaden berbisik perlahan.

Perlahan-lahan, Davina menggerakkan matanya ke Kaden. Sumpah, dia tidak berdaya untuk berbuat apa-apa sekarang ini. Dia sudah putus asa. Tak boleh ke kalau dia mati?

"Semuanya akan baik-baik saja... percayalah, okay?" ucap Kaden setelah Davina memandangnya. Tangannya mengangkat memegang belakang kepala Davina untuk memberi semangat.

"Macam mana awak tahu?" tanya Davina dengan nada mendatar.

Kaden tersengih. "Aku tahu lah... yang penting sekarang, kita teruskan hidup dan mula dari awal. Lupakan yang lepas, buka muka surat baru," ajaknya.

Davina terpana sekejap selepas mendengar kata-kata Kaden. Kalau macam tu, dapatkah dia melupakan semua ini?

Dengan kasih, Kaden meramas tangan bercincin Davina untuk memberi semangat. Lalu dia menggunakan tangan sebelah lagi untuk makan.

Davina memandang tangan Kaden yang sedang memegang tangannya itu dengan perasaan berbelah bahagi dan sedih. Dia berharap dapat bertemu dengan Eden semula dan meminta maaf kepada lelaki itu.

30. Love Without FaithWhere stories live. Discover now