Bab : 3

1.3K 130 7
                                    

Suasana di dalam Hospital Universiti Warwick begitu senyap dan nyaman. Ditambah pula dengan alat penghawa dingin yang sejuk.

Di suatu sudut menghadap cermin kaca besar, Davina tekun membaca buku tebal yang diletakkan di atas riba sambil duduk di bangku tersebut, dengan sebelah tangan memegang sepotong sandwich yang dibeli dari kafeteria hospital sebentar tadi sebagai makanan tengah harinya.

Tiba-tiba, konsentrasinya terganggu apabila seorang lelaki dengan selamba duduk di sebelahnya. Davina mengangkat kepala untuk memandang ke sebelah, dan keningnya terangkat seketika.

"Hei," sapa Davina.

Kaden tersenyum. "Sibuk betul... sampai tak cukup tangan. Sebelah pegang pen, sebelah pegang makanan, mata sibuk membaca. Mana satu nak buat ni? Jangan tamat sangat, boleh tak?"

Davina menelan sisa makanan dalam mulutnya. "Awak dah balik ke sini? Ibu bapa awak macam mana?" tanya dia mengenai Bernard dan isteri lelaki itu.

"Mama tak apa-apa. Dia cuma jatuh dan terseliuh kaki. Selebihnya, tak ada apa-apa," beritahu Kaden sambil meletakkan tangan di belakang kerusi Davina.

Davina terdiam seketika. Dalam waktu yang sama, otaknya ligat mengatur kata. Terfikir kembali akan mesej yang dihantar oleh Kaden dua hari lepas semasa Kaden pulang ke rumah orang tuanya. "Okay," balasnya pendek kerana tidak tahu apa lagi yang hendak dicakap.

Sebaik saja Kaden mendengar, dia mengetap garis nipis di bibir. "Macam mana dengan soalan saya? Awak tak jawab lagi?" tanya dia.

Haih! Ini yang payah ni! Dia nak jawab macam mana lagi. "Tak apa ke?" Davina memandang dengan kening berkerut.

Kaden ketawa. "Apa yang tak apanya? Bukannya kita jadi suami isteri pun. Baru tunang. Lagipun, ayah dan mama saya pasti faham kalau kita putuskan pertunangan ini. Saya sendiri perhatikan awak, sepertinya langsung tiada minat dalam hubungan ini... apalagi dalam perkahwinan. Jadi sebelum terlambat, lebih baik kita buat keputusan ini," ujarnya dengan nada tak kisah.

Sudah 10 bulan mereka bertunang dan lima kali ibu bapa Kaden bertanya bila nak langsungkan perkahwinan. Namun, Davina asyik mengelak mengenainya. Sebab itu Kaden bertanya supaya mereka dapat memutuskan pertunangan ini. Tetapi Davina tetap tidak memberi jawapan. Hal ini membuatkan Kaden bingung.

Davina tunduk memandang buku perubatannya lalu mengutil hujung muka surat itu dengan jari. "Saya serba salah dengan ayah awak..."

Kasihan melihat dilema yang dihadapi Davina, Kaden merangkul belakang bahunya. "Jangan risau. Ayah mesti faham. Kalau sudah tiada jodoh, buat apa nak dipaksa, ya tak?" pujuknya. "Kalau awak nak teruskan juga hubungan ini, izinkan saya memberi kata putus kepada ibu bapa saya untuk menenangkan hati mereka. Kalau awak tak sudi terima saya, kita hentikan setakat ini saja. Simple as that."

Bawah bibirnya digigit ragu mendengar cadangan itu. Davina termenung memandang tangan yang masih bercincin tunang buat seketika. Sebenarnya, dia tengah tunggu. Dia tunggu sekiranya dapat bertemu dengan Eden semula. Tetapi tidak ada berita mengenai lelaki itu. Dia cuba menghubungi Eden, tetapi nombor itu tidak lagi aktif.

"Beritahu saya, Davina... apa sebenarnya yang awak mahukan?" dengan lembut Kaden bertanya. Dia tidak mahu menambah kekusutan dalam fikiran Davina. Tempoh enam bulan di hospital baru ini sangat singkat untuk Davina biasakan diri, apalagi adaptasi sekeliling. Jadi, mesti ada perasaan tertekan dalam diri Davina sekarang ini. Sebab itu dia ingin selesaikan hal ini supaya Davina boleh melapangkan fikiran dari memikirkan soal keluarganya.

Selepas mendiamkan diri, Davina melepaskan helaian nafas panjang kesalnya lalu kembali memandang Kaden. "Saya tak tahu, Kaden... saya tak tahu apa yang saya kena buat. Macam saya beritahu awak, saya dah tak ada tujuan untuk hidup. Urusan saya untuk cari siapa pembunuh dan punca kematian ayah saya sudahpun selesai. Lepas itu, saya tak ada rancangan lain. Selain keluarga awak... dan juga... Eden... saya dah tak ada sesiapa lagi dekat dunia ini... Eden dah tak ada. Kalau saya lepaskan pertunangan ini, saya tak tahu macam mana nak bersemuka dengan keluarga awak..." luahnya dengan lemah. Tidak kira dia sibukkan diri dengan kerja dan operasi macam mana sekalipun, semua ini tetap tidak dapat dilupakan dengan mudah.

"Kalau macam tu, berhenti," beritahu Kaden sebelum menggosok belakang kepala Davina.

"Huh?" Davina menjungkit kening, tidak faham. "Apa maksud awak?"

"Berhenti fikirkan semua itu. Berhenti lakukan perkara yang awak rasa tak perlu lakukan," kata Kaden sambil menutup buku yang ada di riba Davina. "Berehat. Pergi jauh dari semua ini... bawa diri awak ke mana-mana yang dapat melapangkan fikiran awak. Jangan hubungi saya selagi awak tak dapat jawapan itu. Saya yakin ibu bapa saya akan faham setelah saya jelaskan semuanya nanti pada mereka."

Tersentuh dengan kata-kata Kaden, senyuman nipis terukir di bibirnya. "Terima kasih, Kaden," ucap Davina sambil memeluk Kaden dengan mata terpejam.

"Apa gunanya kawan kalau macam itu," tepuk Kaden di belakang badan Davina. "Awak rehatlah sekejap dari kerja di hospital ini. Saya boleh cover tempat awak sementara itu. Lapangkan betul-betul fikiran itu."

Davina termenung memandang ke satu arah dengan senyuman sedih di bibir. Mungkin betul kata Kaden. Dia perlukan untuk lupakan semua ini dan bercuti untuk rehat. Mungkin ini yang terbaik untuknya!

30. Love Without FaithWhere stories live. Discover now