AKU memang tidak bersedia untuk menghadiri mana-mana temuduga. Hari itu, aku hanya menemani Intan. Dia yang bersungguh hendak mencari kerja, dan meninggalkan alam belajar. Katanya, cukup dengan sijil STPM. Dia tidak mengharap untuk pergi lebih jauh.
Aku tidak memberi sebarang komen. Hak masing-masing. Sewaktu dia mengajak aku meredah ibu kota, aku tidak punya sebarang idea pun tentang syarikat, apatah lagi jenis pekerjaan yang Intan sasarkan. Dia kata, dia hanya terbaca iklan pekerjaan itu di salah sebuah suratkhabar tempatan.
Tanpa sebarang bantahan, aku ikut Intan. Cuma, aku tidaklah terfikir yang aku rupa-rupanya akan terseret sama dalam sesi temuduga ini. Sementelahan, aku hanya berpakaian sukan. Satu keselesaan bagiku. Tidak kiralah walau hendak berjalan di tengah bandar, atau ibu kota dunia sekali pun!
Pada aku, selagi ia menutup aurat, aku selesa ... dan aku tidak mengganggu ketenteraman umum, aku buat.
Intan begitu elegan dengan pakaian formal. Berpalazo dengan blouse lengan pendek. Dia, free-hair. Aku juga sewaktu di zaman sekolah, memang free-hair. Malah, begitu aktif di dalam Kelab Kebudayaan dan Kesenian. Tarian adalah di antara cabang seni yang menjadi tunggak utama penglibatan.
"You isi borang juga."
Aku sudah membulatkan mata. Phamplet di tangan, yang sedang kubelek-belek, langsung kuletakkan. Ish, biar betul amoi ni!
Aku menggeleng dengan senyuman.
"You datang sama dia, bukan? You orang baru habis belajar. Itu STPM punya sijil. Boleh dapat kerja, maaa ... You bagi tahu sama I, you mahu kerja apa? Tempat, mana? Mahu sama-sama dengan you punya kawan pun, kita boleh arrange."
Aku sudah rasa pelik. Syarikat apa yang Si Intan ni mohon?
Seakan mendengar suara hati aku, amoi yang jaga kaunter itu, lalu bersuara, "Kita syarikat job hunting maaa ... ejen!"
Oh, alkisahnya! Patutlah tak kisah pun aku datang dalam rupa apa pun.
"You apa nama? Tinggal mana?"
"Mira. Panggil Mir. Tinggal itu Petaling punya area."
"Oh, bagus! Sana banyak kilang. Kita boleh bagi tempat untuk you. You kenapa tak mahu cari kerja? Dapat duit maaa ... You mahu sambung belajar ke?"
Ramah pula amoi ni.
Aku tersenyum lagi. Terus aku tarik kerusi, duduk di hadapan amoi tu. Muda lagi. Mungkin dalam lingkungan hujung 20-an.
"Mana borang?"
Bertambah lebar senyumannya. Aku tidak pasti bagaimana sesebuah ejen pencarian kerja itu berfungsi - gaji dan kontrak perjanjiannya. Aku juga tidak terfikir akan untung rugi berdaftar di bawah ejen pencarian kerja. Apa yang aku tahu sekarang, aku rasa tertarik dengan tawaran amoi ini. Mungkin tidak salah kalau aku 'menjerumuskan' diri bersama-sama Intan. Tawaran masuk ke universiti pun, seakan lama lagi.
Intan ditemuduga oleh seorang wanita Cina juga. Aku, selepas isi borang disuruh tunggu sebentar. Amoi tadi hanya menjalankan tugasan admin. Bukan dia yang akan menemuduga. Sementara borang aku diproses, Intan sudah selesai. Dia teruja bila aku beritahu yang aku sudah terjebak. Tak habis-habis meraup muka, mengucap syukur sebab aku akan bekerja sekali dengan dia.
Aku, ditemuduga pun belum lagi. Yakin benar Si Intan, ini!
Tetapi, memang aturan Allah. Aku yang datang sebagai peneman Intan, terseret sekali mendapat pekerjaan. Seperti kata amoi tadi, mereka menempatkan aku dan Intan di lokasi paling hampir dengan kawasan tempat tinggal. Yang mana ada kemudahan pengangkutan awam juga.
Sebuah kilang elektronik pemilikan Jepun. Memang jauh sangat daripada pekerjaan yang aku inginkan. Kilang bukanlah tempat yang pernah aku bayang-bayangkan untuk aku menjejakkan kaki ke dalamnya.
YOU ARE READING
Kenangan (Completed)
General FictionTak jumpa di mana-mana, hanya di kotak memori. Andai Tuhan tarik ingatan, dia juga akan tenggelam ... ... dalam kenangan. Start: 15 Apr 2021 End: -