AKU bersyukur bila pihak pengurusan berjanji pada malam itu tidak akan ada arak yang dihidangkan oleh pihak hotel. Aku sendiri yang menguruskan perihal f&b (food & beverages), yang mana memang aku memberi amaran keras kepada pihak hotel untuk mematuhinya. Aku juga telah meminta pihak hotel memaklumkan kepadaku dengan segera sekiranya ada pihak yang menghubungi mereka, meminta tambahan minuman keras.
Ia bukan sebab Affan sahaja. Tetapi ia kebaikan untuk semua pihak. Apa yang Affan risaukan itu memang benar. Ramai yang ambil mudah soal halal haram. Selagi tidak dijamah, dianggap sudah lepas tanggungjawab. Sedangkan, hal semeja, storage area yang sama juga adalah dilarang.
Malah, jika ada majlis yang ada arak di dalamnya, sedangkan kita juga ada sama meraikan majlis itu, ibarat kita bersetuju. Di dalam Islam, jika tidak mampu menghalang dengan kata-kata atau perbuatan, halang dengan hati. Tetapi, dalam kes ini, aku punya suara. Walaupun aku bukan seorang pengurus, hanya sekadar eksekutif muda, tetapi aku selalu bersuara dan berdebat banyak hal kepada pihak pengurusan.
Entahlah. Aku tidak pernah takut dibuang kerja. Padaku, rezeki itu Allah yang kurnia. Bukannya daripada manusia. Aku juga rasa, menyuarakan satu-satu perkara dengan alasan yang jitu bukan sesuatu yang perlu ditakutkan. Kita cakap sahaja. Kalau pihak pengurusan tidak bersetuju, terserah. Aku tidak akan berada di dalam majlis itu!
Alhamdulillah, mereka faham walaupun mereka bukan orang Islam. Sebelum itu, aku sudah memohon pertolongan daripada Allah agar urusan ini dipermudah.
Majlis berjalan seperti yang dirancang. Aku memang sudah datang awal. Bersiap di dalam bilik hotel dengan Lin dan Nadia. Kedua-dua mereka menjadi pembantu aku dalam memastikan perjalanan majlis, sempurna.
"Mir, muka kau pucat sangat. Sini aku touch-up sikit."
"Ish, tak payahlah. Aku tak suka."
"Malam ni je, Mir. Relakslah. Lagipun kau akan berdiri di atas pentas nanti, menghulur sijil pada bos." Lin menyokong kata-kata Nadia.
Aku terdiam, berfikir sejenak. Ya, kenapa tidak kalau tidak berlebih-lebihan, kan? Malam ini sahaja. Ala ... bukan ada orang perasan pun. Dewan hotel ni besar, dan tentu orang akan fokus kepada orang lain. Kenapa aku nak perasan sangat yang orang akan beri perhatian kepada aku?
"Bolehlah. Janji tak tebal, okey?"
Lin dan Nad bertukar pandang sambil menyengih.
Siap disolek, aku hampir menjerit. Betuah punya budak-budak! Dia ingat muka aku ini kanvas lukisan? Macam-macam warna dipalit. Kata sedikit. Nipis. Tapi, yang dibuatnya ... kontra. Muka aku dah macam anak patung. Hilang muka sebenar aku.
"Bagi aku kapas."
"Ala Mir ... cantik dah okey tu .... Malam ni saja."
"Masalahnya, dah tak macam aku. Fake tau!"
"Ala ... tak sempat dah nak tukar. Jomlah! Nanti bos bising." Nad memujuk. Lin sudah menarik tangan aku keluar dari bilik hotel.
Tiba di hadapan dewan, memang bos sudah menanti. Sibuk memandang pada jam di tangan. Tapi tak cakap apa. Aku yang menegur, "Encik Mus, duduk dengan Jepun-Jepun tu, kan?"
Dia menghela nafas.
Aku menyengih. Faham perasaannya. Encil Mus memang tak suka, sebab nanti mereka ini jenis menceduk makanan menggunakan chopstick yang sama, yang sudah disuap ke mulut mereka. Memang payah jika berbeza budaya dan tidak cakna dengan orang lain.
Kami menanti di hadapan dewan ketibaan VIP jemputan. Sementara itu, committee sudah mulai sampai. Aku masih tidak nampak bayang Affan. Risau pula jika dia tidak datang. Majlis ini keraian kejayaan projek seliaannya. Walaupun bukan dia yang diraikan, tetapi pada aku, dia patut rasa bangga.
![](https://img.wattpad.com/cover/266258454-288-k71213.jpg)
YOU ARE READING
Kenangan (Completed)
Fiksi UmumTak jumpa di mana-mana, hanya di kotak memori. Andai Tuhan tarik ingatan, dia juga akan tenggelam ... ... dalam kenangan. Start: 15 Apr 2021 End: -