Bab 35 - Nafisah

256 42 4
                                    

SEMAKIN dekat hari pernikahan, semakin aku dan Affan kerap berselisih faham. Ada sahaja perkara yang tidak kena. Dan, dalam tempoh pertunangan ini jugalah muncul seseorang dari masa silam. Zain Asri!

"Tak payah jumpa boleh tak?"

"Affan, sekali ini sahaja. Nanti kalau dah kahwin lagilah tak boleh jumpa. Saya pun tak boleh nak bantah cakap awak masa tu. Jatuh berdosa!"

"Habis yang sekarang ni tak rasa berdosa ke? Dah bertunang dengan saya tapi masih nak jumpa kekasih lama?"

"Saya tak jumpa dialah! Saya jumpa kakak dia."

Affan tarik muka.

"Suka hati Miralah! Cakap Mira sahaja yang betul. Status tunang macam tak ada apa-apa makna pada Mira. Tak payah fikir maruah saya, maruah Mira sendiri, Mira tak jaga."

Affan berlalu.

Sakit hati aku dengan kata-kata Affan. Aku dah cakap kan, yang aku keluar jumpa kakak Zain. Bukan jumpa Zain. Aku ajak dia ikut sekali, dia tak nak! Takut sakit hatilah, apalah!

Eiii ... geram betullah dengan Affan ni. Kadang-kadang nak sahaja mulut aku ni lepas cakap dengan dia, 'Kalau awak tak suka sikap degil, keras kepala saya, kita tak payah teruskan pertunangan ni. Awak carilah perempuan yang buat jiwa awak tenang. Yang ikut cakap awak, tak pernah membangkang. Yang akan jaga air muka awak, sebagai tunang.'

Tapi ...

Tak terluah. Takut makin membarah. Jujur, sayang itu sudah mula mencambah. Kalau kami menyepi, aku akan rasa kosong. Kalau tak bergaduh, akan rasa lompong. Setiap kali selepas bergaduh, Affan akan jadi 'comel'. Dan, aku suka bergaduh dengan dia. Bertambah idea aku terhadap dirinya.

Memang pelik bila aku boleh bersabar dengan Affan. Membantah, membangkang pun, aku masih tidak sampai hati melepaskan. Kalau dulu, mana-mana lelaki yang buat aku sakit hati walaupun sebesar kuman, memang aku menjauh, awal. Memang aku buat tak faham zaman-berzaman. Kalau kembali bertegur, hanyalah sebagai kawan.

Affan juga, setiap kali bergaduh, tak pernah pun minta putus. Minta maaf adalah. Sama macam aku. Tapi ... peel aku, bantah tetap bantah. Apa yang dilarang Affan tak menjejaskan perlakuan aku. Aku tetap buat. Selepas selesai, baru aku cari dia dan jelaskan. Dia akan merungut mula-mula, tapi lepas tu okey.

Pulang dari berkursus tempoh hari, kami ada menyinggah di sebuah kedai makan, di tepi jalan. Memang agak ramai orang masa tu. Tiba-tiba ada seorang perempuan menegur aku.

"Maaf ya, boleh akak ganggu sekejap?"

Affan dah siap-siap keluarkan dompet nak beri sedekah. Dia memang pemurah. Asal ada orang datang masa sedang makan, nak jual barang ke, tisu ke ... dia akan beri paling kurang seringgit dua. Tapi, aku bagi isyarat mata pada dia 'nanti dulu' sebab akak ni tak macam peminta sedekah. Tak macam orang nak jual barang.

"Ya, kak ... boleh. Ada apa, ya?" Aku tersenyum.

"Nama adik ni, Nur Mira Iliani ke?"

Wah, aku sudah mulai berdebar! Affan simpan balik dompet duitnya. Matanya tidak lepas daripada merenung muka aku. Memandang pelik sebab aku macam tak kenal dengan kakak yang menegur itu.

"Errr ... ya kak. Akak kenal saya ke?"

Kakak itu, daripada memandang aku, terus beralih memandang pada Affan pula. "Tunang Mira, ke?"

Cepat aku sentuh cincin di jari. Ketara sangat ke hubungan kami?

"Ya, saya tunang Mira." Affan menjawab sambil cuba menarik senyum.

"Oh ... baguslah, dah bertunang." Wajahnya tersenyum, tetapi suaranya merudum.

Aku sentuh tangan kakak yang aku tak tahu siapa, "Kak ... kenapa? Akak ni siapa? Macam mana boleh kenal saya?"

Dalam mendung wajahnya, kakak itu memaksa senyum. "Tak sedap nak bercerita di sini. Boleh akak minta nombor telefon Mira?"

Aku pandang Affan.

Dia kekalkan riak wajahnya yang tenang. Mungkin tidak mahu mengecilkan hati kakak yang tak tahu siapa itu.

"Kalau tak boleh, tak apalah. Maaflah mengganggu." Kakak itu hendak berlalu sebelum kutangkap tangannya buat kali kedua.

"Eh, tak apa. Boleh sahaja kak. Sekejap saya tuliskan." Aku ambil buku nota kecil dan pen yang memang sentiasa ada di dalam poket depan bag-pack aku. Aku coretkan nombor telefon dan nama aku. Lalu, kuserahkan padanya.

"Ini nombor saya, kak. Tapi, boleh saya tahu nama akak? Dan, boleh bagi saya nombor akak pula? Kot akak telefon, tahulah saya itu akak. Saya ni kadang-kadang kalau nombor tak kenal, tak rasa nak jawab!" Aku gelak. Affan masih dengan riak yang sama. Tenang di raut muka, tapi aku tahu hatinya sedang begelora. Dia bukan suka aku ramah sangat. Lebih-lebih lagi dengan orang yang dia tidak tahu siapa.

"Nama akak, Nafisah. Sekejap akak call nombor Mira, dan Mira boleh simpan."

Dia mula menelefon aku. Sekali dering dan mati. Dia tersenyum. Puas hati agaknya yang aku tak bagi nombor palsu.

"Akak gerak dulu, ya Mira. Insya-Allah nanti akak telefon. Boleh kita sembang panjang."

"Ya, kak. Insya-Allah."

Seminggu aku menunggu hendak tahu siapa Kak Nafisah ini, tetapi tiada pun panggilan. Pada hujung minggu seterusnya, baru nombor Kak Nafisah naik. Kujawab dengan rasa teruja dan berdebar juga.

"Apa khabar dia, kak?"

Sebaik Kak Nafisah kenalkan dirinya sebagai kakak Zain Asri, aku jadi sebak. Tak sangka, nama aku masih diingati walau tahun sudah berganti. Malah, kemesraan Kak Nafisah memanggil aku Mira sewaktu kali pertama bertemu, membuatkan aku jadi sayu bila tahu siapa dirinya selepas itu.

"Serba salah akak nak cerita pada Mira dalam telefon ni. Panjang kisah adik akak ni, Mira."

"Ceritalah kak. Biar saya call akak. Takut nanti bil telefon akak tinggi pula."

"Eh, jangan! Zain sebenarnya tak bagi akak telefon Mira. Cukuplah bila dia tahu keadaan diri Mira. Dia gembira bila tahu Mira dah bertunang."

"Kak ... ada apa-apa yang terjadi pada Zain ke?"

Kak Nafisah diam. Diam yang panjang. Sehinggakan aku jadi tak keruan di hujung talian.

"Kak ..."

"Beginilah Mira ... akak sebenarnya tak dapat nak bercerita di talian. Zain ada di sini. Kalau Mira berkelapangan, kita jumpa di luar. Ada sesuatu juga yang akak nak tunjukkan."

Kerana hendak tahu cerita tentang Zain dan nak tahu apa yang Kak Nafisah tunjukkan, aku nekad untuk keluar berjumpa Kak Nafisah. Kerana masih sedar yang diri ini sudah bergelar tunangan orang, aku minta izin daripada Affan. Aku juga berterus-terang padanya siapa Kak Nafisah itu sebenarnya.

Tetapi, kejujuran membawa kepada kewalangan fikiran. Malah turut menyeret sama syak wasangka kehilangan seorang tunang. Affan takut jika aku berubah hati. Dia takut jika aku bertindak memutuskan hubungan kami.

Maka, dia menghalang.

Aku pula, sudah terfikir ini satu peluang. Peluang meleraikan apa yang tersimpan di fikiran. Tertanya ke mana Zain Asri menghilang dan apakah keadaannya selepas aku meleraikan hubungan kawan yang tidak jelas benarkah kawan? Takut dilukai, aku melukai.

Tetapi selepas masa beranjak pergi, aku rasa bersalah. Sesak benak dengan tanda tanya keadaan Zain. Risau jika dia tertekan dan bunuh diri walaupun kutahu itu tidak mungkin. Zain, lelaki yang kuat agamanya. Bunuh diri kerana hal wanita, bukan dia. Aku percaya, tetapi risau tetap ada.

Affan tak bagi pergi. Aku nak juga sebab ia penting bagi meleraikan tanda tanya sebelum aku bernikah dengan Affan dan menjadi isterinya.
.
.
1122 pp
.
30 Jun 2021
07.00 pm

Kenangan (Completed)Where stories live. Discover now