Bab 14 -Disakiti

209 40 10
                                    

MASUK tahun kedua di universiti, aku sudah mula mendapat rentak. Aku tidak lagi duduk di dorm, sebaliknya bilik. Semua ini atas nasihat, atau mungkin lebih tepat kukatakan desakan daripada course-mate aku, Zalita.

Tahun pertama, Zalita sudah approach aku agar menambah mata bagi aktiviti kolej. Apa sahaja aktiviti yang dianjurkan, Zalita akan menarik aku untuk ikut serta. Pelajar kolej dengan mata tertinggi akan diberi keutamaan memilih bilik. Aku ikutkan.

"Kau duduk dengan aku, tau! Aku ni bukannya boleh tinggal dengan orang tak tentu. Aku tengok cara kau susun barang, kemas baju, kemas katil ... aku rasa aku boleh ngam tinggal sebilik dengan kau."

Siapa sangka, dalam diam diri kita diperhatikan dari segenap tindak tanduk?

Teringat kembali pada Zain. Dia dulu pun dalam diam memerhatikan aku dari jauh. Sehingga di akhir perkhidmatan aku dengan syarikat, baru dia berani approach.

Entah apa khabar Zain. Tanpa sedar, aku menghela keluh.

"Kau, kenapa?" Ditegur Zalita.

"Hah?" Aku, bertanya tanpa sedar keluhan didengar.

"Yang mengeluh sangat kenapa?"

"Tak ada apalah, Za."

"Tipu."

"Betul."

Takkanlah aku hendak bercerita tentang Zain padanya. Siapa Zain itu yang hendak kudedahkan dirinya pada kawan sebilik aku? Dan, apa pula pandangan Zalita pada aku yang dalam diam tersimpan nama seorang lelaki dalam hati dan fikiran?

"Aku nak kongsi sesuatu dengan kau, boleh?" Zalita sudah mendekati. Kain baju yang sedang dilipatnya di atas katil, ditinggalkan. Dia duduk di sebelah aku sambil tubuh menghadap sepenuhnya padaku.

Aku yang juga sedang melipat kain baju itu turut memusingkan badan, memandang padanya. Kain baju, kutolak ke tepi membuka ruang Zalita untuk bercerita.

"Aku ... sebenarnya ...." Kata-katanya terhenti seketika. Bagai ada kekangan yang menyangkut niatnya itu. Aku sabar menanti. Mungkin Zalita sedang mencari ayat terbaik untuk menukilkan cerita atau mencari kata yang tidak menista dirinya atau seseorang yang akan diceritakannya.

"... aku ada masalah dengan tunang aku ..." Merudum jatuh suara Zalita. Sama jatuh dengan anak matanya yang mengelak daripada bertentang denganku.

Aku menunggu. Di dalam fikiran sudah banyak soalan, sedang di dalam hati terkejut dengan pengakuan Zalita. Terlalu muda bagiku untuk gadis seperti kami diikat. Ah, tetapi untunglah sebab ada seseorang yang menunjukkan kesungguhan. Tidak seperti Zain.

"Aku nak tanya pendapat kau." Zalita kembali memandang padaku. Aku besarkan mata dan mengangguk.

"Dia ... dah tak sama macam dulu. Bila aku balik bercuti, dia macam tak teruja pun nak jumpa aku. Sedangkan, aku rindu gila dengan dia. Banyak cerita aku nak kongsikan dengan dia. Tapi, dia ... beku."

Aku teringat pada Zain. Zain bersikap sebaliknya. Sentiasa menadah telinga menantikan cerita-cerita aku. Aku sahaja yang sudah layu, kerana tiada timbal balik untuk kudengar pula ceritanya.

"Kau rasa ... dia sayang aku lagi, tak?"

Kutarik nafas dalam-dalam. Aku tak punya pengalaman dalam percintaan apatah lagi pertunangan, Za. Tapi, sebab dia kawan aku, yang mungkin ketandusan fikiran terhadap permasalahan yang membelenggu, aku cuba beri pendapat.

"Boleh aku tahu, berapa lama kau dengan dia berkawan, bercinta dan bertunang?"

Berkerut muka Za dengan soalan aku. Lama dia tenung muka aku. Mungkin tak sangka itu yang kuaju.

Kenangan (Completed)Where stories live. Discover now