Bab 16 - Rahsia

237 41 6
                                    

BALIK ke bilik, aku melihat wajah muram Zalita.

"Za ..." Kusapa dia. "Kenapa?"

"Bekas tunang aku dah bertunang dengan perempuan lain."

Aku letak beg di atas meja tulis. Aku duduk di atas katil menghadap Zalita. Suaranya mendatar. Tiada kekesalan yang terkandung di dalam suara itu. Kerapuhan juga tiada.

"Kau ... sedih?"

Dia pandang aku, kemudian menggeleng, "Hanya terkilan sebab dia tidak berterus-terang sewaktu dia minta putus. Kalau awal-awal kata sudah ada orang lain yang diatur keluarga, aku tidaklah menanggung rasa bersalah. Mati-mati aku ingat sebab dia rasa rendah diri bila aku ke universiti."

Terhela nafas aku.

"Sudah tertulis, dia bukan jodoh kau, Za. Doakan sahaja kebahagiaan dia. Tak guna pun nak pening kepala memikir."

"Terima kasih, Mir. Eh, Mir, kau kenal Abang Lan, tak?"

Aku memang blur kalau Zalita atau siapa sahaja menyebut nama senior. Aku tidak pernah mengisahkan mereka.

"Ala ... yang masa orientasi dia paksa aku tulis surat cinta pada dia tu!"

Oh, okey! Sekarang aku ingat. Abang kelahiran pantai timur yang rendah-rendah tu.

"Ah, ingat! Kenapa?"

"Dia cakap, dia nak belanja aku setiap hujung minggu. Aku kena terima. Kau tahu tak ..."

Cepat aku menggeleng. Aku tak tahu.

Zalita ketawa.

"... aku kata, kalau nak belanja aku, kena belanja roommate aku sekali. Aku ingat kat kau, Mir."

"Ya Allah, kau ni! Kasihanlah kat Abang Lan." Aku menggeleng. Nakal sungguhlah kawan aku ni sejak dikecewakan.

"Tak apa. Dia yang nak belanja sangat."

"Kalau dia minta balasan, macam mana?" Aku mengangkat kening, sebelah. Saja nak takutkan Zalita.

"Dia cuma nak kawan dengan aku sahaja. Tak semestinya kena couple atau perlu balas apa. Dulu, aku takut nak rapat dan terima sebab aku tunangan orang. Sekarang rasanya tidak salah untuk aku berkawan rapat dengan sesiapa sahaja selagi aku jaga batas. Lagipun, dari dulu memang dia nak belanja. Aku yang tak nak. Kali ini, aku tak tolak dah. Rezeki itu kan daripada Tuhan.

Lebih kuat penerimaan aku bila dia kata, bersedekah kepada adik angkat. Bukan mahal, seringgit seminggu untuk sebungkus nasi lemak. Tapi, lepas tambah nama kau, dia kena keluar RM2.00! Masih tak banyak, kan? Kalau aku tolak, dia terus mendesak. Terima sahajalah. Dengan syarat, dua bungkus!"

Aku mengangguk. Abang Lan yang kukenal memang baik. Masa orientasi, aku tak kena buli pun dengan dia. Mudah dapat tandatangan dia, tanpa buat benda merepek. Abang Lan pun tak ada awek. Tidaklah aku risau sangat dengan keselamatan Zalita.

Risau kalau berkawan dengan abang senior yang 'hot', yang ada di antaranya pujaan kakak senior, akan dapat amaran, sama ada lisan atau bertulis.

Aku harap, Zalita kotakan kata-katanya. Jaga batas. Untung orang cantik macam Zalita. Seorang pergi, cepat sahaja muncul pengganti. Walaupun bukan yang Zalita benar-benar suka, tetapi mana tahu kalau benar itu jodohnya?

Aku tidak bercerita pada Zalita apa yang berlaku di antara aku dengan Izhan sewaktu kuliah pagi. Aku tidak mahu Zalita rasa bersalah. Esoknya ketika hendak ke kelas, Zalita tawarkan gincu bibirnya pada aku. Cepat kutolak dengan alasan aku malas nak membersihkannya sewaktu nak solat.

"Ala ... kau bersihkan dengan baby oil je! Tak susah."

Aku tersenyum sambil menggeleng, "Aku tak rajin nak menyimpan baby oil dan kapas muka dalam beg kuliah. Lagipun, aku dah biasa terus ambil wuduk. Takut terlupa nak bersihkan, tak sah solat aku."

Kenangan (Completed)Where stories live. Discover now