WALAUPUN Affan kata aku dan dia confirm terikat, tetapi bila kami berdepan semuanya biasa sahaja. Tiada yang berbeza. Aku yang malam tadi begitu takut jika dia berubah laku, sedangkan aku tak beri apa-apa kata setuju, kini rasa amat lega. Dia masih dirinya yang begitu.
"Berapa banyak slide yang awak dah buat?" Aku bertanya sewaktu kami berada di bilik perbincangan. Ya, hanya kami berdua di dalam bilik kaca, di department dia. Ini merupakan hari kedua, aku di sini. Encik Mus tidak ada masalah. Dia tahu aku seorang multi-tasking. Beri dua tiga kerja berbeza pun, aku akan selesaikan. Cara bagaimana, Encik Mus tidak mahu ambil tahu. Yang dia tahu, bila dia minta semuanya tersedia.
"Dua slide. Satu untuk café dan satu untuk diesel." Dia tolak sedikit laptopnya ke arah aku. Kami duduk sebelah menyebelah. Tidak boleh duduk berdepan sebab nak kongsi lihat paparan laptop sambil berbincang. Kedudukan kami memang membelakangkan cermin kaca. Itu lebih baik. Biar orang di luar bilik ini juga dapat melihat paparan daripada laptop dan tahu bahawa kami membincangkan hal kerja.
Aku scroll slide untuk café. Ada dalam 25 slide bergambar dengan point-point penting. Selepas itu, aku buka pula slide untuk bahagian diesel. Setiap file slide ada dimuatkan borang Aspect/Impact mengikut bahagian. Affan sudah siap tandakan dengan anak panah merah kesalahan pengisian borang.
"Mira present depan saya sekejap dan selepas itu, kita berbincang pula soalan-soalan yang mungkin ditanya nanti. Boleh?"
Aku menggeleng. Tak berani! Aku masih lemah dalam bidang yang melibatkan proses dan cabang sains, walaupun ia sains alam sekitar. Lebih-lebih lagi depan Affan yang memang belajar di dalam bidang ini.
"Eh, kenapa menggeleng? Saya nak tengok Mira present. Kalau Mira boleh present, bermaksud slide saya ini berjaya difahami." Affan bercakap dengan riak serius memandang aku dari sisi. Kemudian, dia berpaling memandang pada helaian kertas di hadapannya sambil menggumam, "Atau, Mira dah mula rasa segan sebab hubungan kita dah confirm?" Bibirnya menarik sedikit senyum.
"Affan, saya tak beri apa-apa kata putus pun." Aku gerakkan sedikit kerusi, berpaling padanya. Hati dah mula bengkak. Suara dah mula bengkeng. Riak wajah ... aku pasti yang muka aku sedang tercalit warna cuka – masam.
Dia masih tidak memandang pada aku. Sibuk mencatat sesuatu pada kertas, tetapi mulutnya membalas, "Tak payahlah beri kata putus. Berilah kata sambung. Ikat mati terus."
Turun naik nafas aku mendengar kata-kata Affan. Dia memang suka menyakitkan hati aku. Entah metodologi mana yang diikutnya. Macam ni ke cara nak memenangi hati perempuan? Kena buat perempuan tu sakit hati?
Dia kemudiannya berpaling pada aku, menarik kembali laptopnya. Wajahnya tenang, tidak beriak. Kemudian, dia memilih slide paling awal. Dibesarkan, dan dia memusingkan tubuhnya, menghadap aku.
"Baiklah, saya akan present di hadapan Cik Mira, memandangkan Cik Mira segan dengan saya."
"Tak payah." Aku tarik balik laptopnya itu. "Saya akan present. Awak dengar dan tegur mana yang tidak betul."
Dia angkat kening, mempersilakan aku untuk presentation.
Ini Nur Mira Ilianilah! Jangan cabar. Aku boleh jadi professional dalam hal kerja walau hati sakit dengan sinis kata.
Aku tarik nafas dalam-dalam, baca selawat dan Bismillah. Kubetulkan riak wajah, memapar senyum acah tak ada masalah di antara aku dan dia, lalu aku mulakan presentasi dengan nada bersahaja. Seolah-olah, di hadapanku itu bukan dia, sebaliknya kumpulan supervisor.
Selesai aku present, dia tak cakap apa kecuali meneruskan perbincangan kami dengan soalan-soalan yang mungkin akan ditanya oleh para supervisor.
Seharian aku berkurung di dalam bilik dengan Affan. Hanya berhenti pada waktu makan. Waktu solat, kami bergilir. Alhamdulillah, hanya dalam satu hari semuanya siap. Hanya tinggal bahagian aku untuk membuat jadual dan menempah bilik Latihan.
YOU ARE READING
Kenangan (Completed)
General FictionTak jumpa di mana-mana, hanya di kotak memori. Andai Tuhan tarik ingatan, dia juga akan tenggelam ... ... dalam kenangan. Start: 15 Apr 2021 End: -