AKU memandang pada Affan. Dia nampak tenang.
"Mira dan Affan berbincanglah. Akak ke tandas dahulu." Kak Nafisah menolak kerusinya ke belakang. Mengangguk sekali pada Affan sebelum berlalu meninggalkan aku berdua dengan Affan di meja restoran makanan segera.
"Macam mana pendapat awak?" Takut-takut aku bertanya. Lebih takut bila dia merenung aku tanpa berkelip mata.
Aku cuba balas balik, tapi tak mampu. Akhirnya aku menunduk. Sesekali, aku melihat ke luar restoran. Memandang manusia yang lalu lalang. Rasa simpati terhadap Zain sangat kuat. Sama kuat dengan rasa serba salah pada Affan. Aku pernah kata yang aku tidak akan bertemu dengan Zain lagi bagi menghormati perasaan Affan. Tetapi, keinginan hati jadi begitu kuat untuk bertemu Zain, selepas mendengarkan kisahnya.
Hari pertemuan aku dengan Kak Nafisah, Affan ikut. Aku tak kisah, malah seronok sebab itu peluang aku tahu kisah Zain tanpa membelakangkan Affan. Malah, tak perlu aku ulang cerita bila dia turut mendengar sama.
"Mira ..."
Terus aku berpaling, memandang ke wajah Affan.
"Kalau saya kata ... tak payah?"
Terkebil-kebil mata aku memandang Affan. Mencari simpati. Wajah itu tetap tampak tegas dengan kata-kata yang baru terlafaz.
Aku mengalih pandang. Menunduk melihat cincin di jari sebelum kembali mendongak memandang pada Affan. Sebak mulai menyusup, tetapi kutahan. Ini ujian yang Allah beri untuk menguji kepatuhan aku kepada bakal suami. Aku perlu belajar menurunkan ego dan mematahkan kehendak hati.
Akhirnya dengan berat hati, aku mengangguk, "Baik. Saya tak pergi." Air mata berladung. Aku tak mahu Affan nampak. Tentu dia akan rasa kecewa.
"Betul? Tak apa?" Dia tanya, dalam tegas suara.
Laju aku mengangguk. Tapi, masih dalam keadaan menunduk.
"Tak menyesal? Mana tahu lepas ni ..." kata-kata Affan tergantung sebelum aku terdengar helaan. "Maaf. Saya tak berniat mendoakan kematiannya. Cuma ..."
"Tak apa. Err ... saya ke tandas dulu ya. Nanti kalau Kak Nafisah dah kembali suruh dia tunggu saya. Jangan bagi dia balik dahulu." Aku terus bangun dan berlalu tanpa menantikan balasan daripada Affan. Laju aku berjalan. Tak sabar nak masuk ke dalam tandas dan melepaskan tangisan. Aku tak menyesal. Cuma sedih bila aku tak mampu berdepan buat kali terakhir dengan seseorang yang pernah hadir dan mencuit rasa yang satu itu. Dia yang pertama. Dan sekarang, dia ditimpa bencana.
Aku nak selesaikan masalah hati aku dulu dengan membuang segala rasa - sebak, kesal ... dan apa sahaja. Aku hanya nak tinggalkan rasa reda dan bersyukur sebab aku tahu keadaan Zain juga akhirnya. Dan, aku ada Affan yang akan menjadi teman seumur hidup. Yang akan mengajar aku erti patuh, taat sebagai seseorang yang akan dinikahi.
.
.
.SEWAKTU aku kembali ke meja, kulihat hanya Kak Nafisah seorang yang ada. Tercari-cari aku akan kelibat Affan.
"Mana Affan, kak?" Aku tarik kerusi lalu duduk di hadapan Kak Nafisah.
Dia yang seakan baru tersedar ketibaan aku, terus memerhati sekeliling.
"Eh, dia pergi cari Mira tadi. Tak bertembung?"
Aku menggeleng. Rasa bersalah pula pada Affan. Aku sudah lama keluar dari tandas. Tetapi aku berjalan-jalan dahulu. Masuk dari satu kedai ke satu kedai dalam pasaraya tersebut. Niat aku hanya untuk menenangkan perasaan dan menghilangkan kesan tangisan.
"Mira makanlah ais krim tu dulu. Akak dan Affan dah makan tadi. Affan yang beli. Bila dia tengok ais krim Mira semakin mencair, itu yang dia bangun, cari. Cepat makan. Nanti tak sedap."
YOU ARE READING
Kenangan (Completed)
General FictionTak jumpa di mana-mana, hanya di kotak memori. Andai Tuhan tarik ingatan, dia juga akan tenggelam ... ... dalam kenangan. Start: 15 Apr 2021 End: -