Bab 11 - Berpisah

307 43 5
                                    

KAMI terus berhubungan sehinggalah hari terakhir aku bekerja. Kami berjanji untuk bertemu di hadapan klinik pada pagi hari tersebut. Aku ingin memulangkan barang miliknya walaupun dia minta aku simpan. Untuk apa? Kaset sudah kudengar. Gambar? Hanyalah gambar keluarganya. Bukan gambar dia. Adalah terselit gambar dia, satu dua. Itupun, sipi-sipi sahaja. Tiada keperluannya pada aku.

"Mira ..."

Aku terdongak.

Dia diam. Hanya memandang.

"Zain ... saya tak boleh lama. Saya nak masuk kerja ni."

Dia shif malam pada hari itu, dan sudah hendak pulang. Aku pula baru hendak bermula.

Perlahan tangannya menerima beg kertas miliknya yang sedari tadi kuhulur tidak dicapai. Tidak dilihat apa yang ada di dalamnya. Mungkin atas percaya dan mungkin tidak kisah juga andai tidak cukup seperti asalnya.

"Malam nanti saya nak telefon Mira."

"Boleh. Tapi, bukan ke awak kerja?"

Dia menghela nafas. Dia terlupa. Wajah muram Zain buat aku jadi serba-salah. Bukannya aku minta kami berpisah. Aku masih nak berkawan dengan dia. Dia baik dan aku tidak ada masalah pun kalau persahabatan kami itu nanti diakhiri dengan mengikat hati. Aku tak memandang pada latar belakang, tapi peribadi yang bertunjang Islam. Itu sudah cukup untuk aku terima sesiapa sahaja yang muncul dan menghulur.

"Zain ... janganlah macam ni. Kita akan berkawan, kan? Insya-Allah, saya akan tulis surat pada awak. Nanti bagi saya alamat awak. Saya akan maklumkan bila saya bercuti supaya mudah kita berhubung."

Dia menarik senyum nipis, "Assalammualaikum, Mira." Lalu, dia beredar.

TENGAH HARI itu, Kak Pah, Kak Ani dan Paulina belanja aku makan KFC. Kami berkumpul di pantry yang kecil itu. Kak Pah bagi aku hadiah bekas tisu. Kak Ani bagi seramik kecil yang comel. Paulina menghadiahkan aku sebuah buku motivasi berbahasa Inggeris. Bahagianya hidup bila diri diterima dan akan dirindui.

"Kalau kahwin, jangan lupa jemput!"

Hal kahwin juga yang disebut Kak Ani. Tak habis menyakat Abang Hafiz tempoh hari, kini aku pula menerima usikan yang sama.

"Insya-Allah, kak. Jauh lagi rasanya!" Aku ketawa.

"Kalau jadi dengan budak Zain tu, bagus juga."

Eh, Kak Ani tahu?

Melihat muka aku yang sudah merah, dek malu dan terkejut ... Kak Ani mencuit bahu aku. "Ingat akak tak tahu ke? Kan, Kak Pah? Kita orang nampaklah budak tu datang jumpa Mir depan klinik. Dia pun masa Kak Pah panggil, sejujur-jujurnya buat pengakuan datang ke klinik sebab nak tengok Mir."

Ya Allah, Zain! Kenapalah awak lurus sangat?

"Dia budak baik, Mir." Kak Pah menambah.

Ya, aku tahu. Aku pun sukakan dia. Cuma masih tak yakin dengan hubungan yang entah mana penghujungnya. Lagilah hubungan jarak jauh. Orang baik, sederhana macam dia, mustahil tidak ada perempuan di kilang ini yang terintai-intai. Kalau bukan budak perempuan itu sendiri, tentu mak-mak orang yang berkenan nak dijadikan menantu.

Entah mengapa, kata-kata pujian Kak Pah kepada Zain membuatkan aku rasa tidak senang. Rasa insecure tanpa hubungan yang sah.

"Budak mana, Ani?" Paulina yang tidak tahu apa-apa, mula mencelah.

"Yang kerap datang, tapi tak sakit tu ... Muhammad Zain Asri. Alah ... nak tunjuk pun you bukan kenal!"

Dan, mereka ketawa. Aku tersenyum, paksa. Menghela nafas berat kerana kejauhan ini menghadirkan kerisauan. Lebih risau bila rasa itu sudah semakin mengembang. Jujur, aku sukakan Zain tanpa menilai latar belakang keluarga atau pendidikannya.

Kenangan (Completed)Where stories live. Discover now