SEMESTER pertama, aku sudah mulai sibuk. Sepanjang hari sudah penuh dengan kelas dan penghadaman cara hidup baru sebagai budak kampus. Memang kurus kalau jadi budak universiti ini. Kelas pagi, biasanya ada dua kelas. Kalau gap setengah jam, memang malas nak balik ke kolej. Kami hanya akan lepak sama ada di kafe, library atau menunggu di fakulti sahaja.
Habis kelas pagi, baru bergegas balik ke kolej untuk makan tengah hari. Masa ni memang best kalau dapat melayangkan mata di atas tilam. Kelas petang, memang akan mengantuk kecualilah kelas yang pensyarahnya tidak strict sangat. Dapat yang melawak, lebih segar mata!
Seronok dan segar juga bila bergabung dengan sequence lain. Biasanya subjek bahasa atau agama. Bila bergabung, akan lebih meriah, lebih banyak perangai gila budak batch yang boleh menyegarkan mata. Kalau hanya kelas aku yang budak lelakinya dua tiga kerat, perangai pun tak berapa nak gila, memang aku asyik nak lelap.
Petang itu, sebaik selesai kelas bahasa Melayu, aku lihat beberapa orang kawan satu batch berkerumun di papan kenyataan. Sudah seperti semut yang menghurung cebisan coklat jatuhan anak kecil yang lewa memegang.
Bila orang berkurang, aku menghampiri. Nama aku! Terpilih di antara nama yang layak untuk biasiswa anak negeri. Tetapi sayang, tarikh serahan borang sudah lewat. Hari ini. Benar, ia bukan rezeki. Tetapi aku memang memerlukan biasiswa. Anak rakyat marhaen seperti aku, sangat intim dengan makna susah dan jerih payah orang tua. Walaupun ibu dan bapa aku tidak pernah menyebut, tetapi aku tidak buta untuk melihat betapa mereka mencongak setiap wang yang ada.
Menghampiri ke unit kaunseling, tidak tahu mengapa ada sebak yang menyesak, menyelit di dada. Ah, rezeki itu Allah dah tulis. Kenapa nak rasa kecewa sangat? Salah kau sebab tak ambil perhatian apa yang terpapar di papan kenyataan. Sibuk berkejar dengan masa, tanpa mempedulikan persekitaran.
Jadi mahasiswa bukan hanya belajar daripada sesi pembelajaran, tetapi juga kehidupan itu sendiri. Buka mata, buka minda terhadap apa yang berlaku di persekitaran.
"Assalammualaikum, kak." Aku menyapa di bahagian kaunter. "Saya nak tanya tentang biasiswa anak negeri. Saya baru perasan nama saya layak untuk memohon. Sempat lagi ke, kalau saya nak ambil borang, isi dan hantar semula dalam tempoh dua hari?"
Pegawai yang bertugas itu hanya merenung aku. Dia tak cakap apa. Aku jadi resah.
"Maaf, dik. Hari ini last. Kalau boleh siapkan sekarang ni, insya-Allah bolehlah."
Allahuakbar. Memang tak sempatlah. Borang itu memerlukan tandatangan dan cop sokongan seseorang yang berkelayakan. Mana mungkin aku mengisi dan mendapatkan semua itu pada waktu sesingkat ini?
"Kak ... memang tak boleh ke bagi kelonggaran walau sehari? Rumah saya dekat sahaja. Saya ambil borang hari ini, isi ... dapatkan pengesahan, dan hantar esok. Sebab, hari ini pun dah petang sangat. Tak boleh ke, kak?" Suara aku semakin merudum, sayu. Aku tahu semua itu mustahil. Tetapi, entah mengapa, semakin aku rasa ia tak mungkin, semakin aku degil untuk memungkinkannya.
Kakak itu hanya diam, menayang wajah simpati. Ia lebih membuatkan aku rasa sebak. Tidak semena-mena, menitis air mata yang semenjak tadi hanya bertakung di hati. Aku sedar, aku cuba reda dengan keadaan, tetapi entah kenapa air mata mengkhianati.
Akur dengan pandangan kakak kaunter yang memang menyatakan tiada harapan, aku pergi dari situ. Aku nak menangis. Mula terbayang wajah ibu dan ayah aku. Bertambah hiba rasanya.
Kaki melangkah liar. Aku tak mahu pulang ke dorm. Aku tak nak orang nampak aku menangis, yang tak kuat dengan ujian yang sedikit. Aku nampak bilik kaunseling. Entah apa yang merasuk aku, ke situ pula aku tuju.
'Jangan menangis Mira ... bukan rezeki.' Hati memujuk hati.
Dengan air mata, aku bercakap dengan seorang pensyarah bertugas. Entah apa yang aku cakapkan, aku tidak sedar. Tetapi yang aku tahu, sedar ... dia bawa aku duduk di ruang tamu bilik kaunseling dan membiarkan aku menangis sepuas-puasnya. Kemudian, dia biarkan aku tenang seketika sebelum dia bawakan seorang senior lelaki duduk di hadapan aku.
YOU ARE READING
Kenangan (Completed)
Fiksi UmumTak jumpa di mana-mana, hanya di kotak memori. Andai Tuhan tarik ingatan, dia juga akan tenggelam ... ... dalam kenangan. Start: 15 Apr 2021 End: -