Bab 28 - Keputusan

219 39 14
                                    

TERKEJUT aku bila mendapat tahu yang Hilmi tender resignation. Dia tak berkongsi apa pun dengan aku. Sedangkan, hampir setiap malam dia menelefon walaupun bicaranya tidak panjang.

"Awak ... tender resignation?" Aku bertanya terus bila malam itu dia ada di talian.

Dia hanya ketawa pada mulanya tetapi kemudian, suaranya merudum jauh, "Ya. Terkejut, kan? Saya pun tak sangka saya buat keputusan macam itu."

"Awak dapat tawaran kerja yang lebih baik?" Entah kenapa, aku risau akan pemberhentian Hilmi dari syarikat yang sekarang ini. Bukan mudah nak dapat majikan yang boleh bertolak ansur. Lebih-lebih lagi dengan peribadi dia yang kadang okey, kadang tidak. Malah, pernah ada masalah disiplin.

Lagipun, sayang dengan tempoh kerja yang sudah lama. Banyak benefits yang akan rugi di situ. Di syarikat baru, perlu bina banyak perkara baru. Kepercayaan, hubungan, malah benefits yang biasanya hanya akan diberi keutamaannya kepada pekerja lama. Contohnya jika ingin bercuti. Pasti yang baru akan tertolak ke tepi. Takkanlah baru kerja dah nak ambil cuti?

"Tak tahulah Mir, lebih baik atau lebih buruk."

"Jadi, kenapa berhenti?"

"Akan jadi apa-apa ke, kepada status hubungan kita, kalau saya tak berhenti?" Dia bertanya sinis sebelum melepas tawa.

Aku menghela nafas. Harus ke buat keputusan sehingga melibatkan masa hadapan? Kenapa urusan hati sampai mempertaruhkan hidup yang lebih bererti? Kenapa mudah benar seorang lelaki goyah dan jatuh hanya kerana wanita yang sebelum ini tidak pernah ada pun di dalam hidupnya?

"Hilmi, ini masa depan awak. Kenapa ..." Aku melepas lelah. "... kenapa sampai perlu tukar kerja? Saya ni bukan sesiapa pun ... saya tahu kalau awak pernah terkesan, hilang diri bila awak hilang orang tua awak. Tapi, ini saya. Saya yang sebelum ini tak pernah pun ada dalam hidup awak. Apa pun keputusan saya, ia tak sepatutnya beri kesan pada keseluruhan hidup awak. Jangan buat keputusan bodoh yang tak berbaloi, Hilmi. Jadilah lelaki yang punya pendirian. Tak goyah kerana hal-hal hati."

"Kehadiran awak banyak ubah hidup saya. Saya jadi yakin dan percaya dengan hidup. Malah, saya percaya dengan solat yang saya buat. Kalau awak tak ada ... saya akan jadi sunyi dan kembali rasa kosong."

Aku menggeleng. Dia masih ... hmm ... tak matang ... Melihatkan keadaannya, aku rasa kehadiran aku bukan menjadi penawar, sebaliknya racun yang dalam diam menghancurkan.

"Hilmi, saya rasa lebih baik saya berterus-terang dengan awak."

"Mir ... bagi saya masa."

Aku terdiam. Rasanya, semakin lama aku membiarkan dia bermain dengan perasaan, dengan aku melayan, semakin jauh dia tenggelam ke dalam perasaannya. Dan, semakin tertikam berdarah luka.

"Kita tamatkan. Saya minta maaf, Hilmi. Jujur, hati wanita saya terkesan juga dengan layanan awak, malah kejujuran perasaan awak pada saya. Tetapi, masih tak mampu saya nak terima sebagai satu hubungan yang lebih jauh. Rasa itu tidak ada. Saya takut, saya tak mampu nak hormatkan awak dengan pendirian awak yang goyah.

Jika disebabkan saya pun awak sanggup melepaskan kerja yang sudah tetap, yang sudah kukuh ... saya takut suatu hari jika kita bersama, ada kegoyahan dalam rumah tangga ... awak mungkin 'melepaskan' saya.

Kita masih boleh berkawan, Hilmi. Saya suka berkawan dengan awak. Sifat awak yang suka bantu orang, rajin dan pandai ambil hati itu buat saya selesa."

Dia ketawa.

Tetapi kemudian, aku terdengar esakan. Tawa dalam tangisan. "Ujian yang mana yang saya gagal, Mir? Solat? Saya buat semuanya. Pergi surau, masjid ... awak tak sebut pun saya lakukan dengan rela. Caring, penyayang, ambil berat dan berkorban untuk menunjukkan kesungguhan? Semuanya saya dah buat. Gaji? Saya hari-hari buat OT. Nak tunjukkan awak yang saya bertanggungjawab jika jadi suami. Yang mana saya gagal, Mir?"

Kenangan (Completed)Where stories live. Discover now