Bab 4 - Ubat

524 53 10
                                    

SEMINGGU berlalu. Aku semakin selesa bekerja di sini. Aku juga sudah nampak bagaimana perjalanan dan proses kerja di klinik. Setiap pagi, sebaik sampai, kami akan bersarapan bersama, di pantry. Melihat Kak Ani yang jarang ke kantin, sebaliknya lebih selesa membawa bekal, aku juga mengikuti cara Kak Ani.

Cuma yang tidak sama adalah, Kak Ani memasak bekalnya sendiri. Sementara aku, mak yang memasaknya setiap pagi. Aku memang tidak pandai memasak!

"Mir yang masak ke nasi goreng ni?"

Cepat aku menggeleng. Sambil menyudahkan kunyahan, aku tersengih, "Tak pandai masak!"

Kak Ani ketawa. Memang aku tidak segan-segan mengakui kekurangan.

"Tak boleh kahwin lagilah ni?" canda Kak Ani.

Terus aku menggeleng, "Tak, kak. Tak terfikir pun nak kahwin." Aku menyambung dengan tawa.

Begitulah setiap hari. Sambil kami bersarapan, sambil kami berbual dan mengenali di antara satu sama lain.

Kak Ani rupa-rupanya, mengandungkan anak ketiga.  Kufikir, ini anak sulungnya. Susun tangga, anak Kak Ani.  Dia berkongsi kisahnya yang bersalin, setahun satu.  Tanpa silu. Aku yang mendengar, rasa ngeri.

"Sakit tak kak, masa bersalin?" Suatu hari, aku bertanya. Waktu itu, aku sudah sebulan bekerja di klinik dalam kilang. Aku lihat, perut Kak Ani semakin membesar dan seakan berat pembawakannya. Risau juga jika tiba-tiba Kak Ani bersalin di sini. Bukan sekadar jadi bidan terjun aku nanti, mahu jadi jururawat yang perlu menguruskan bayi.

Janganlah ... aku tak pernah terfikir nak menghadap darah orang bersalin. Pastinya melimpah keluar bersama dengan bayi dan segala jenis cecair. Tentu kelam-kabut jadinya aku. Pasti tidak tahu hendak mengurus yang mana satu. Ibu atau bayi?

Malah, mahu kuurus mereka, atau emosi aku sendiri?

"Tak sakit."

Melopong aku dengan kenyataan Kak Ani. Pertama kali aku disajikan dengan jawapan yang berbeza. Mak dan mak cik-mak cik aku sendiri, menakut-nakutkan aku dengan kesakitan. Malah mengulang cerita akan dosa jika seorang anak itu melawan ibu, selepas ibu menanggung sakitnya bersalin.

Memang cara mereka menakut-nakutkan aku itu berkesan. Takut untuk aku membantah setiap arahan mak.

"Selalu, orang kata ... sakit. Macam mana akak kata tak sakit?" Aku cungkil rahsia Kak Ani.

"Entahlah Mir. Satu, mungkin keturunan agaknya. Mak akak, dan mak cik-mak cik akak pun begitu. Proses bersalin memang mudah. Ada di antara mak cik akak yang sedang masak, tiba-tiba rasa macam nak buang air, terus dia panggil suaminya. Dia tahu yang itu bukan sakit nak buang air, tapi nak bersalin.

Bawa ke hospital, dalam perjalanan tu, air ketubannya pecah, tak sampai beberapa minit terus lahir. Mujur juga hospital dekat dengan rumah. Baby keluar betul-betul depan pintu masuk hospital. Tersangkut pada seluar dalam. Sempatlah petugas hospital menyambutnya daripada jatuh."

Tidak tertelan air liur aku mendengarkan cerita Kak Ani. Mata, tidak lepas daripada memandang wajah Kak Ani yang bersahaja.

"Ada sepupu akak tu pula, Mir, baby keluar sewaktu dia dalam tandas. Dia ingat sakit nak buang air. Dia tak ada pengalaman macam mak cik akak tu. Nasib baik juga masa itu, dia sudah berada di hospital. Sewaktu hendak duduk di tandas, hendak buka seluar, terasa ada benda di lubang faraj. Rupa-rupanya kepala bayi.

Terus dia pakai balik seluarnya, dan berjalan keluar dari tandas hospital. Nampak sahaja petugas hospital, terus dijeritnya. Memang kelam-kabut jugalah. Doktor dan jururawat pun terkejut. Masing-masing sibuk bertanya, tak ada rasa sakit langsung ke? Tak rasa air ketuban pecah ke? Sepupu akak menggeleng. Dia tak tahu apa-apa.  Air ketuban yang pecah, disangkanya kencing yang melimpah!" Kak Ani ketawa.

Kenangan (Completed)Where stories live. Discover now