PERTAMA kali dalam hidup aku, ada orang sukakan aku. Suka yang jelas nyata ikhlas. Bukan seperti kisah di tingkatan lima, yang mana ia hanyalah prank.
Firdaus.
Nama yang menjadi sejarah. Tidak tahu hendak kukata sama ada pahit atau manis. Tetapi, yang pasti, bila kutolak dia kerana padaku ia bukan perasaan sebenar, dia mencipta dendam.
Sehingga sekarang, dia dan aku tidak bertegur-sapa. Dia, kekal beku dan membenci aku.
Aku juga tidak nampak ikhlas di hati Zain itu, tetapi hati aku kuat mempercayainya. Yalah, dia tidak pernah kenal aku. Tidak tahu latar belakang aku. Tetapi, usaha dia ambil tahu, stalk aku dalam diam sehingga menyeret dirinya hampir kepada tindakan disiplin kilang, buat aku rasa dia betul suka.
Firdaus tidak begitu. Approachnya hanya kerana dicabar. Bila gagal, dia tercabar. Dan, dia memaksa untuk aku berkata 'ya', menerima dia. Aku bukan bodoh dan terdesak untuk menerima walaupun tidak pernah ada lelaki yang berani mendekati aku sebagaimana dia.
Tak mudah bagi aku untuk menerima dan percaya pada seseorang. Lebih-lebih lagi bila terungkai perkara sebenar. Ia hanya satu cabaran.
Tetapi, Zain lain. Approachnya berbeza. Melihat keperibadiannya yang lurus dan jujur itu, juga dengan apa yang Kak Ani kata tentang prestasi kerjanya sebelum ini, membuatkan aku percaya, dia benar ikhlas.
Malah, dia berani. Berani buat salah! Haih, Zain ni. Tak berbaloi kalau hilang pekerjaan yang sudah bertahun hanya kerana seorang perempuan yang entah siapa-siapa, mungkin milik orang.
Esoknya, Zain muncul di klinik seawal pagi. Pintu klinik pun belum dibuka. Aku, kebetulan memang berjanji dengan Yati sebab Yati hendak memulangkan buku yang dipinjamnya daripada aku. Sedang aku berbual dengan Yati, Zain tiba-tiba muncul. Dia teragak-agak untuk menghampiri dan menegur aku bila melihat ada orang lain bersama.
Tetapi, bila aku berpaling padanya dan memulakan salam, Zain terus tersenyum.
"Sekejap, Yati." Kutinggalkan Yati seketika, lalu kuhampiri Zain.
"Ya, Zain?"
Terus dia menghulurkan satu beg kertas ke tanganku.
"Apa ni?"
Dia tersenyum. Haih, letihlah asyik senyum je!
"Saya masuk kerja dulu, Mira." Dia berlalu. Aku hanya mampu menghela nafas. Kuhampiri Yati semula. Wajahnya penuh tanda tanya.
"Siapa, Mir?" Sedikit bergetar suaranya.
"Kawan." Ya, memang Zain itu kawan. Walaupun aku tahu, yang Zain sudah mengaku suka, tetapi di antara kami masih tiada deklarasi perasaan sebenar. 'Suka' pada aku tidak membawa ke mana-mana. 'Suka' dan 'cinta' itu masih jauh untuk diletakkan pada bekas yang sama.
"Boyfriend?"
Aku menarik senyum. "Yalah, kot! Bila diterjemahkan, maksudnya tetap kawan." Aku ketawa.
Tetapi, Yati tidak ketawa. Sebaliknya dia membalas, "Untunglah ada orang nak ..."
Aku capai tangan Yati. "Hei, saya dengan dia masih tak ada apa-apalah."
"Tapi, dia suka awak, kan? Dia ada cakap?"
Aku tak mampu menipu. "Ya, dia ada cakap."
"Saya dah tahu. Cara dia pandang awak dan senyum pun jelas dia memang sukakan awak."
"Tapi, itu tak bermakna saya akan ketepikan awak. Kawan lelaki dan perempuan berbeza. Saya masih perlukan awak sebagai kawan. Ke ... awak yang dah tak sudi berkawan dengan saya?"
YOU ARE READING
Kenangan (Completed)
Ficción GeneralTak jumpa di mana-mana, hanya di kotak memori. Andai Tuhan tarik ingatan, dia juga akan tenggelam ... ... dalam kenangan. Start: 15 Apr 2021 End: -