Bab 12 - Mood

242 44 4
                                    

SEMAKIN kesibukan mengambil tempat, semakin aku rasa jauh dengan Muhammad Zain Asri. Dia juga selalu sibuk. Kadangkala, bila aku balik bercuti, dia tidak menelefon. Mungkin sebab aku sudah menghentikan penulisan surat kepadanya. Jadi, dia tidak tahu yang aku sudah balik. Aku sendiri, tidak tahu bagaimana hendak menghubungi dia.

Pada suatu hari, ketika aku pulang bercuti, ada panggilan telefon daripada Zain. Dia masih seperti dahulu. Bercakap lembut, bercakap elok. Soalan-soalannya biasa, bertanyakan khabar aku. Itu sahaja. Yang lainnya, dia menanti aku untuk bercerita.

Sedangkan aku, sudah muak untuk bercerita. Penat jika hanya satu pihak sahaja yang bercerita. Dia tahu banyak perkara tentang diri aku. Aku pula, banyak menyimpan tanda tanya tentang perjalanan hidupnya yang cukup rahsia.

Aku sudah ambil keputusan.

"Zain, saya rasa ... awak tak payahlah lagi membazir wang menelefon saya kalau kita tak ada apa yang hendak dibualkan."

"Mira dah berubah. Mira ada jumpa orang lain di sana?"

Dia menuduh aku. Sedangkan, punca asalnya adalah daripada sikap dia. Dia yang tidak mahu berkongsi cerita dia.

"Tak ada kaitan sama ada saya berjumpa orang lain atau tidak. Pada saya, semua orang kawan saya." Malas aku hendak menafikan apa-apa. Awal-awal sudah buat tuduhan. Aku memang tak ada sesiapa yang istimewa pun, selain daripada dia. Tapi, dialah juga yang meracun angan aku untuk satu perhubungan yang lebih jitu.

"Saya tak boleh, kalau tak bercakap dengan Mira. Kita teruskanlah berkawan. Saya tak kisah Mira ada kawan lain pun. Selagi belum bernikah, kita masih boleh berhubungan, kan?"

"Apa hubungan kita, Zain?" Aku munculkan soalan provokasi.

"Kawan." Dia menjawab, yakin.

Baiklah. Kawan. Ini bermakna, aku tidak perlu meletakkan sebarang harapan.
.
.
.
KEESOKAN harinya, di pagi Ahad, sebelum aku bertolak pulang ke pusat pengajian tinggi, Zain menelefon aku. Suaranya ceria dan lembut terdengar di kalbu. Jujur, aku memang sudah punya rasa itu tetapi kerana Zain kata, hubungan kami ini gelarannya 'kawan', rasa itu ... aku kuburkan. Terima kasih, Muhammad Zain Asri. Ia sudah jadi tawar di perasaan, malah kini terzahir pada perbuatan.

"Mira, ceritalah apa-apa," pintanya.

"Awaklah yang bercerita, Zain. Banyak yang saya tak tahu tentang awak. Kita kawan, bukan?" balasku dengan nada malas. Aku hanya melayan dia. Bukankah dia itu 'kawan'?

Dia diam. Diam yang panjang. Maka ... talian yang bersambung itu hanya satu pembaziran - wang dan masa.

"Zain ... tak payahlah telefon lagi." Suara aku sudah tidak berbunyi mesra lagi.

Dia ... sepi.

"Awak dengar, tak?"

"Kenapa Mira nak marah-marah ni ..." Masih lembut dan bernada memujuk. Hati aku jadi pedih dengan kebaikan, keprihatinan dan kesabaran dia melayan sikap aku. Semakin baik dia, semakin terdera rasa ini.

"Saya memang seorang yang pemarah, Zain. Tak payahlah awak berkawan dengan saya. Sikap kita berbeza."

"Sabar banyak-banyak, Mira. Jangan macam ni."

"Zain!" Aku rasa semakin ditikam dengan kelunakan suaranya. Rasa nak menangis. Dia hadir dengan harapan, tapi digantung perasaan aku tak bertali. Aku takut. Hati aku hanya ada satu. Jika sudah tetap untuk kuserahkan pada seseorang, maka aku tidak akan beralih arah. Tetapi, aku perlu pastikan orang yang akan menerimanya adalah yang akan menjaganya. Bukan terima, kemudian dicampak ikut suka.

Dia diam.

"Awak buat saya rasa berdosa marah pada awak, Zain. Kenapa ... walaupun saya tinggi suara pada awak, awak tetap cakap lembut dengan saya? Mana ego awak sebagai lelaki, Zain?" Aku cabar dia.

Kenangan (Completed)Where stories live. Discover now