MEMANDANGKAN aku cuti solat, aku berlambat-lambat bangun pagi. Kebetulan, keluarga aku tiada di rumah. Mereka ke rumah mak cik aku, ada perbincangan urusan majlis sepupu. Mereka tidak mengajak kerana tahu aku penat dan kurang sihat - bertarung dengan period pain yang agak teruk.
Sampai ke rumah malam tadi, badan rasa macam nak demam. Aku telan dua biji paracetamol selepas mandi dan membersihkan make-up, lalu tidur.
Sunyi betul pagi ini tanpa manusia di rumah. Masih bermalas di atas katil, kucapai telefon yang mati sepanjang malam. Kuhidupkan. Menderu mesej masuk sebaik butang 'on' kutekan. Memang aku tidak mahu diganggu, lebih-lebih lagi selepas kejadian ditengking Affan. Bersisa pedih membawa kepada mimpi ngeri diburu Affan yang cemburukan Takeshi. Entah kenapa Takeshi boleh pula masuk ke dalam mimpi aku menjadi kekasih hati! Nasib baik cuma mimpi. Mungkin kerana aku asyik memikirkan, malah marahkan Takeshi.
Missed call juga ada dua tiga. Daripada Nad dan Lin hanya sekali. Itupun malam tadi. Tetapi, daripada Affan ... banyak! Dari malam membawa ke pagi.
Aku baca WhatsApp daripada kumpulan aku, Nad dan Lin. Mereka kata, malam selepas kami beredar, para eksekutif yang tinggal berdansa sakan. Arak dibawa masuk ke dalam dewan. Yang muslim bergerak pulang. Atau, ada juga yang menyinggah di 'mamak' untuk bersembang. Cerita Nad dan Lin lagi, eksekutif Jepun ramai yang mabuk. Engineer tempatan juga yang bukan muslim, turut serta.
Ada kejadian tidak diingini berlaku. Cerita Nad, yang didapatnya daripada rakan yang bekerja di hotel, yang menguruskan majlis kami, ada eksekutif Cina perempuan hampir dicabul. Menangis gadis itu bila dia cuba ditarik untuk dibawa ke bilik hotel. Mujur masih ada eksekutif lain yang tidak mabuk dan meleraikan.
Aku menghela nafas. Bersyukur aku pulang awal. Jika masih berada di sana, sama ada aku menjadi mangsa, atau aku mengganas mengambil alih tampuk kuasa, mengarahkan mereka semua pulang jika tidak ingin menerima show cause letter. Diberi kebebasan dan peluang, berlebih-lebihan pula mereka. Entah Encik Mus tahu atau tidak cerita sensasi ini. Aku percaya yang Encik Mus juga pulang awal sebaik Takeshi membawa arak masuk ke dalam dewan. Jika masih ada di sana pun, mungkin Encik Mus tukar meja.
Senggugut pagi sekali-sekala, menyerang. Mood aku, hilang. Aku pandang nama Affan pada senarai WhatsApp yang muncul. Ah, nantilah aku baca. Tidak ada apa yang penting kalau daripada dia. Kalau daripada Encik Mus, mungkin aku terus baca.
Perlahan-lahan aku mengengsot ke birai katil. Rambut yang mengurai, kuikat dengan getah dari bawah bantal. Aku perlu mandi untuk mencapai kesegaran. Kujatuhkan kaki mencecah lantai. Rapat. Terkepit, bila terasa cecair merah itu sedang keluar. Sewaktu ingin berdiri, aku tekan bawah perut, cuba menghilangkan senggugut.
Pandangan tiba-tiba rasa berbalam pula. Gelap dan terang bersilih pandang. Aku menapak perlahan sambil sebelah tangan menekan dinding. Tuala di belakang pintu kutarik, lalu kusangkut di bahu. Menapak satu per satu. Seksa bila Allah duga makhluknya yang bernama wanita dengan keistimewaan cuti yang sengsara.
USAI mandi, aku turun ke dapur membancuh oat. Tidak selera untuk kutelan makanan pepejal. Oat panas, lebih mudah kutelan dan ia cukup mengenyangkan. Sambil menghirup oat, aku capai buku. Sebuah novel karangan penulis Indonesia, Andrea Hirata. Ceritanya selalu punya isi dan pembawakannya menghibur hati.
Bunyi telefon membuatkan aku berkerut dahi. Mengganggu betul!
Nama Affan membuatkan aku menghela nafas, berat. Malas betul nak jawab. Tengkingannya malam tadi sudah kumaafkan. Mimpi yang bertandang juga kuanggap hanya cerita purba yang hilang ditelan masa. Tidak apa-apa.
"Assalammualaikum, Mira."
"Waalaikumsalam, Affan. Ada kecemasan apa awak telefon saya?"
Dia diam.
YOU ARE READING
Kenangan (Completed)
General FictionTak jumpa di mana-mana, hanya di kotak memori. Andai Tuhan tarik ingatan, dia juga akan tenggelam ... ... dalam kenangan. Start: 15 Apr 2021 End: -