Bab 7 - Penjara

409 48 4
                                    

BERKAWAN dengan Yati, tiada yang mustahil untuk kami terokai. Dia memang seorang yang rajin berjalan. Tetapi, sasaran tempatnya tidak seperti Intan. Intan suka tempat-tempat santai yang dia boleh ber'window-shopping'. Tetapi Yati, lebih suka ke tempat-tempat yang ada nilai sentimental.

Masuk bulan kedua, aku bekerja di kilang ini, Yati mengajak aku berhujung minggu di penjara. Memang mengejutkan! Tetapi, ia sesuatu yang mengujakan aku sendiri.

"Penjara Pudu ni, selepas pada ini akan ditutup terus. Mungkin juga akan dirobohkan. Sementara dibuka kepada orang awam, kita pergilah. Saya dah lama cari kawan nak pergi, tapi tak jumpa yang sama minat. Kenal dengan Mir, memang satu rahmat."

"Eh, samalah! Saya pun suka benda-benda adventure ni." Kami ketawa.

Melepasi pintu utama penjara, pegawainya berwajah garang dan tiada langsung senyuman. Tetapi dengan anak, terlihat seorang penyayang. Sewaktu kami sedang mengisi borang untuk masuk ke dalam, anak bujang pegawai penjara ini ada sekali. Aku dan Yati mencuri dengar bicara dua beranak ini.

Si anak sedang runsing membuat pilihan kursus belajar. Si ayah pula, dalam bertegas, membuka ruang agar si anak menjurus kepada perkara yang diminati. Bincang, berbalah, berbincang lagi, akhirnya kami dengar, si anak bujang pegawai penjara ini memilih pekerjaan sebagaimana ayahnya. Bidang beruniform.

Aku dan Yati saling bertukar pandang. Dan, kami tersenyum. Anak bapak!

Sepanjang menelusuri laluan penjara yang ada banyak 'sayap', bulu roma kami menegak. Derapan kaki kami yang jika di luar tidak langsung kedengaran, tetapi bila berada di lorong penjara, di hadapan sel-sel berjeriji, tanpa isi, bunyinya cukup tertangkap di telinga.

Kami menjengah ke setiap sel kosong. Ada kesan yang ia pernah dihuni. Entah berapa ramai yang bertukar ganti menjadi penghuni di satu-satu sel itu. Dinding bercontengan dengan gambar dan tulisan. Baris kata yang mengundang tanda tanya apakah isi coretannya dan ditujukan kepada siapa.

"Yati ... ada tulisanlah. Jom, masuk! Nak tahulah apa yang banduan ni tulis."

"Eh, boleh ke?" Yati ragu-ragu.

"Kita cuba buka. Kalau tak kunci, itu bermakna boleh masuk." Aku buat gila.

Kami sama-sama menolak pintu sel. Nyata memang tidak berkunci. Yati masuk ke dalam dan berlakon sebagai banduan. Dia meminta aku menangkap gambarnya. Kami kemudiannya membaca setiap coretan di dinding penjara. Ada puisi dan ada kata-kata yang menarik tangkai hati. Sedih membaca bicara seorang banduan yang dia mungkin sedang kerinduan.

Ada coretan kesal seorang anak yang menzahirkan penderhakaan silam. Satu catatan yang menarik perhatian aku adalah catatan seorang lelaki, yang kukira pernah menawarkan perkhidmatan seks sesama jenis.

Sumpah, aku menangis! Penyesalan yang dicoretkan membuatkan aku dan Yati tidak mampu berada lama di dalam sel tersebut. Lebih-lebih lagi bila dapat tahu yang hidup lelaki itu berakhir di tali gantung. Entah atas tuduhan apa, pegawai yang menjaga kawasan itu tidak mahu beritahu. Mungkin bunuh tanpa sengaja, atau juga dia terlibat dengan kesalahan berkait dengan Akta Dadah Merbahaya.

"Nak ke mana lagi?" Aku bertanya pada Yati selepas langkah kaki kami terhenti di tempat sebatan banduan. Melihat gambar dan tatacara sebatan dibuat, hati aku jadi ngilu yang teramat.

"Kita ke sel banduan akhir, nak tak? Dalam phamplet ni, macam menarik!" Yati membalas dengan wajah penuh keterujaan.

Berpandukan phamplet di tangan, kami beralih ke sayap kiri, iaitu sel yang menempatkan banduan akhir. Tempat ini lebih sunyi berbanding yang awal tadi. Malah, ketika kami tiba di tempat banduan dihukum gantung sampai mati, bacaan surah Yassin mengiringi.

Sedih, sayu dan pilu hati aku mengenangkan mereka yang hidup di dalam kurungan dan tahu pula bila dan bagaimana rupa ajal.

Seorang pegawai penjara yang menjaga kawasan itu sedang duduk di kerusi, dan di hadapannya ada meja kecil buat dia menulis. Dia pada waktu itu sedang membuat catatan. Tidak seperti bahagian lain yang tidak dikawal, bahagian ini nampaknya adalah kawasan larangan.

"Tempat gantung, tak boleh masuk, ya dik! Cukup setakat pada tali yang direntang itu."

"Maaf, tuan. Boleh tahu kenapa?" Aku, kalau tanpa alasan memang sukar untuk patuh arahan.

Pada mulanya dia hanya tersenyum. Tetapi kemudiannya bangun meninggalkan meja dan catatannya, lalu mendekati kami.

"Student ke?" tanya pegawai tersebut. Agak muda.

Yati tidak tahu hendak menjawab apa sebab kami memang sedang menantikan panggilan universiti. Jadi, aku yang buka mulut, "Insya-Allah, bakal," balasku.

Dia mengangguk-angguk. Tahu agaknya yang sekarang ramai calon sedang menantikan keputusan kemasukan ke universiti.

"Sebenarnya, pihak kami tiada masalah nak beri izin kepada visitor untuk masuk sampai dalam. Sampai ke tapak gantung tu pun, boleh. Tapi, bila dah banyak kejadian, kami terpaksa akur dengan pihak atasan. Kawasan ini hanya setakat ini sahaja hadnya."

"Kejadian apa, tuan?" Aku terus bertanya.

"Setiap pelawat yang balik dari tapak gantung ini akan diganggu bila tiba di rumah. Susah pula ahli keluarga hendak memulihkan. Bukan hanya satu kes, tetapi banyak. Hampir semua yang masuk dan bergambar di tempat ini. Ada yang tidak sempat berubat, terus meninggal dunia."

Aku dan Yati berpandangan sebelum kedua-dua kami menggeleng. Membatalkan hasrat untuk merasai thriller berada di atas tapak menggantung banduan.

Persahabatan aku dan Yati menjadi semakin akrab. Hampir setiap minggu kami keluar berdua.

Suatu hari yang tidak kuduga, Intan menghubungi aku. Barulah kutahu apa punca dia tiba-tiba berjauhan dengan aku. Ya, puncanya ... lelaki. Dia sudah ada seseorang yang menggantung harap di hati. Masanya banyak dihabiskan berdua dengan lelaki yang dipanggil 'abang' itu. Baru sekarang dia ingin bercerita. Selepas masuk bulan kedua, kami bekerja di bawah bumbung yang sama.

"Hensem, kau!"

Aku telan rasa. Kerana lelaki, kau ketepikan aku. Sepanjang berbual di telefon, Intan yang banyak mendominasi kata-kata. Aku memilih untuk mendengar. Kasihan pula bila dia bersungguh bercerita tentang si dia yang dipuja.

"Nanti aku kenalkan dia dengan kau, ya! Kita rehat sama, ya?"

"Eh, tak payahlah Intan. Kau tahu kan, yang aku tak suka sangat benda-benda macam ni ... Lagipun, aku tak pernah rehat di kantin. Aku makan dalam pantry di klinik saja."

Nasib baik, dia tidak memaksa. Perbualan yang panjang itu tamat juga akhirnya bila aku mengingatkan Intan yang bil dia mungkin mencanak naik. Cepat dia bagi salam dan putuskan talian. Maaf, Intan. Minat kita berbeza.
.
.
25 Apr 2021
12.15 pagi

Kenangan (Completed)Where stories live. Discover now