BERBUAL dengan Yati, mendedahkan yang dia rupa-rupanya terikat di bawah ejen pekerjaan yang sama. Malah, dia juga menerima tawaran untuk diserap sebagai pekerja tetap di bawah pengurusan kilang. Tapi, ditolaknya memandangkan dia telah pun memohon untuk menyambung pelajaran.
"Yati mohon course apa?" tanyaku sewaktu kami bertemu di surau. Sambil tangan melipat telekung, kami berbual-bual.
"Pendidikan. Mir?"
"Komunikasi."
Kami senyap seketika sebelum Yati bersuara, "Tapi ... saya tak mohon universiti tempatan, Mir. Saya mohon untuk ke Indonesia."
Terhenti lipatan telekung aku. Aku pandang muka Yati. Terus dia menarik senyum. "Janganlah pandang saya macam itu, saya malulah. Mir tentu pandai. Result Mir tentu cantik. Result STPM saya sekadar lulus. Jadi, sebab rasa tidak yakin akan diterima di universiti tempatan yang pasti tinggi saingannya, saya mohon ke universiti negara jiran."
"Habis tu ... nanti Yati akan tinggal di sanalah?"
Dia mengangguk.
"Tak mahal belanjanya?"
"Mahal juga sebab melibatkan kos-kos pentadbiran. Paspot, visa, penginapan .... Itu belum tiket kapal terbang lagi. Kos pelajaran masih rendah.."
"Dapat tajaan ke?"
Dia menggeleng. "Malas nak cari, Mir. Syarikat-syarikat ini biasanya menaja budak-budak pandai sahaja, budak rajin tak pula!" Pandai Yati bercanda.
Aku ketawa, perlahan sahaja memandangkan kami masih di dalam surau. Aku pun tidak pandai. Entah di mana Yati nampak aku sebagai budak pandai, sedangkan, keputusan peperiksaanku, tidak pernah langsung kukongsikan dengannya.
"Mir ... walaupun suatu hari nanti kita jauh, jangan lupakan saya, ya? Saya suka berkawan dengan Mir."
"Insya-Allah. Saya pun suka berkawan dengan Yati."
"Mir, kalau ada boyfriend pun jangan lupakan saya, tau!" Dia ketawa.
Kalau orang nak mengorat, bukan aku. Tentu orang akan mengorat dia dulu. Dia, putih. Cantik. Lemah lembut. Pakaiannya pun, sentiasa kena di antara baju dan tudung. Sedangkan aku ... tidak semenggah. Al-maklumlah, baru belajar pakai tudung. Tidak pernah kemas. Rambut pun, seringkali mengintai di celahan anak tudung yang selalunya longgar.
"Jomlah, cepat! Kata nak tengok jualan buku-buku agama di luar surau." Aku bangun sambil menarik sekali lengan Yati. Kami beriringan keluar dari surau.
Waktu-waktu jam tiga petang begini, surau sudah agak lengang. Pekerja sudah mulai masuk kerja semula. Aku dan Yati walaupun kadang-kala rehat tidak sama, tetap kami berjanji untuk bertemu di surau.
Aku dan Yati membelek-belek buku yang terhidang. Runsing pula bila terlalu banyak yang berkenan. Jadi, aku akhirnya tidak membeli apa-apa. Hanya mengingat beberapa tajuk yang sudah melekat di kepala. Malam nanti baru aku akan memikirkan semula tajuk-tajuk buku tersebut dan memilih yang paling aku inginkan.
DUA bulan berlalu begitu pantas. Sudah masuk bulan ketiga aku bekerja. Ini bermakna, tidak lama sahaja lagi panggilan masuk ke universiti akan tiba di pintu rumah. Sama ada, diiterima atau ditolak. Kak Ani dan Paulina sudah membuka seluas-luas ruang untuk aku terus bekerja di sini sekiranya permohonan kemasukan ke universiti aku, ditolak.
"Tak baiklah kak ..." Aku menarik muka. Ada ke nak doakan supaya aku terus bekerja dengan dia? Itu sama seperti mendoakan permohonan aku ke universiti, gagal!
"Hei, Mir! We love you, lah! Ani lebih lagi. Jangan risau, I percaya you akan dapat masuk ke universiti." Paulina memujuk. Amoi seorang ini, semakin lama, semakin okey. Tentu aku akan rindukan mereka.
YOU ARE READING
Kenangan (Completed)
General FictionTak jumpa di mana-mana, hanya di kotak memori. Andai Tuhan tarik ingatan, dia juga akan tenggelam ... ... dalam kenangan. Start: 15 Apr 2021 End: -