Bab 1

687 18 1
                                        

MATA baru mahu terpejam, telefon di tepi bantal berdering kuat. Melihat nama Zhafran yang muncul di skrin, aku biarkan saja.

Sakit perut senggugut ni memang buat aku hilang seluruh tenaga, hilang mood juga untuk berbicara dengan sesiapa pun.

Tapi kalau dah namanya Zhafran tu, memang tak tahu erti penat dan putus asa. Selagi aku tak jawab, selagi itulah dia tak henti tekan skrin telefon dia tu.

"Hmm... nak apa?" Suara malas aku bertanya sebaik talian bersambung. Terpaksa juga jawab panggilan dia sebelum telinga aku pekak.

"Aku ada kat bawah ni..."

Cuma itu dan talian terus dia putuskan. Bila aku cuba menghubunginya kembali, tak pula dia jawab.

Tak pelik, sebab memang itu perangai dia. Lelaki yang namanya Zhafran ni, kalau satu hari tak buat aku rasa nak cekik orang, memang tak sah.

Nak tak nak, terpaksa juga aku bangkit dalam kepayahan sambil menahan sakit, bersiap ala kadar dan turun ke bawah.

Dah la bilik aku di tingkat tiga. Penat menapak turun tangga. Tiga tahu di asrama kampus UM ni, tak pernahnya aku dapat bilik bawah sekali. Asyik tingkat atas memanjang.

Dari jauh, aku sudah nampak Honda Jazz hitam pekat miliknya terparkir di tempat biasa. Pernah aku bertanya, kenapa hitam?

"Hitam itu menawan." Itu yang dia jawab.

Memanglah kereta tu papa dia yang belikan sebagai hadiah sebab dapat keputusan cemerlang SPM. Tapi aku yakin dai yang pilih warnanya.

Perlahan saja aku melangkah menghampirinya yang sedang berdiri berpeluk tubuh sambil bersandar pada kereta miliknya. Wajahnya nampak serius, tapi pandangannya redup memandangku.

"Kenapa?" Soalan aku tanya sebaik berdiri betul-betul di depannya.

Tiba-tiba saja tangannya naik ke wajahku membuatkan aku segera melarikan kepala ke belakang dan tindakan refleksi membuatkan tanganku cepat saja menepis tangannya.

Saat sama, dia pula bertindak menangkap jemariku dan digenggam erat dan sebelah lagi telapak tangannya sudah melekat di dahiku.

Semua yang berlaku cukup pantas, seperti pancaran kilat membelah bumi dan cahayanya tembus ke hatiku.

"Apa hal kau ni?" Nada terkejut, suaraku agak meninggi.

Sambil itu, jemariku yang dia genggam terus aku tarik pantas. Berpuluh tahun mengenalinya dan membesar bersama, aku tak pernah sangka yang aku akan hadap masalah begini bila berdepan dengannya.

Masalah hati.

Hati sentiasa ada getaran saat berada dekat dengannya. Entah sejak bila, aku sendiri kurang pasti. Tapi rasa itu makin hari makin kuat.

"Fatin cakap kau tak sihat. Tak panas pun?" Dia menyengih seperti selalu.

Oh! Itu rupanya. Pastilah roommateku, Si Fatin tu sudah mencanang cerita dan Zhafran pula tidak pernah bertangguh jika tahu aku sedang sakit atau menghadapi kesusahan. Itulah satu-satunya sifat dia yang sering membuatkan aku terharu sejak dulu sehinggalah sekarang.

"Tak sihat tu tak semestinya demam." Perlahan sekali suaraku sambil melarikan wajah daripada terus menjadi tatapan matanya.

"Habis tu..." Bicaranya mati di situ.

"Ooo... Aku tahu. Lupa pulak sekarang dah hujung bulan. Kau mesti datang bulan dan senggugut. Betul tak?" Dia menyambung buatkan wajahku terus menjadi pijar.

"Isk!" Aku ketap bibir. Dia ni semua hal aku dia tahu termasuklah perkara-perkara dalam kain sekali. Tak suka betul!

"Dah makan ubat?"

"Dahhh..." Panjang jawapanku sambil berpura-pura memandang ke arah sekumpulan siswi yang sedang bergelak ketawa di 'port lepak' yang terdapat di kolej kediaman kedua itu.

"Okey... Kau pergilah rehat. Petang ni tak ada kelas, kan?"

Aku hanya geleng kepala menjawab soalannya. Tak perlu cakap apa-apa sebab dia juga memang tahu jadual kelasku.

"Pukul 5.00, aku jemput kau."

"Nak ke mana?" Pantas saja aku bertanya. Baru tadi suruh aku berehat, tapi sekejap saja sudah lain pula perancangannya.

"Ikut ajelah."

"Aku malaslah nak keluar..."

"Aku tak tanya pun kau rajin ke malas. Tepat pukul 5.00, aku tunggu kat sini." Dia memintas dengan ayat kejam tanpa sempat aku habiskan ayat. Perangai Nazi betul!

"Eii..... Aku tak suka betul dengan perangai memaksa kau ni!" Aku mendengus kuat.

Tapi dia hanya ketawa melihat reaksiku.

Dengan ketawa yang masih bersisa, dia terus masuk ke dalam kereta dan melambai tanda ingin beredar.

Tak guna betul!

Dengan hentakan kaki, aku melangkah masuk semula ke dalam bangunan blok kediaman.

Di tepi tangga, aku bertembung dengan Fatin yang baru pulang dari kelas.

"Eh! Dah elok?" Dia menegur. Mengenali dia semenjak di semester pertama, mulut becoknya sudah lali buat aku.

"Bolehlah!" Aku menjawab malas.

"Dari mana ni?" Dia menyoal lagi ketika kami sama-sama melangkah memanjat anak tangga.

"Jumpa Zhafran. Yang kau pergi cakap kat dia tu siapa suruh?"

"Erk? Dia sampai dulu daripada aku? Pantas sungguh." Fatin pula seakan teruja. Macamlah dia tak tahu perangai mamat tu. Dari dulu lagi Fatin memang sudah tahu keakraban aku dengan Zhafran dan sikap ambil berat lelaki itu terhadap aku.

"Kau dengan Zhafran memang betul ke tak ada apa-apa?" Soalan seterusnya yang keluar daripada bibir Fatin buatkan langkahku terhenti.

Aku pandang wajah dia. Hairan kenapa tiba-tiba timbulkan persoalan ini sedangkan dia sudah lama tahu antara kami memang terikat dengan perkataan 'sahabat'. Memang ramai beranggapan aku dengan Zhafran adalah pasangan bercinta, tetapi hakikat adalah sebaliknya. Kami sahabat yang sangat rapat.

"Kenapa tiba-tiba tanya soalan macam tu?"

"Entah! Aku rasa, dia betul-betul sayang kau. Tadi bila dia tanya kau dan aku cakap kau sakit, muka dia terus berubah. Menggelabah tanya macam-macam. alih-alih aku belum sampai, dia dah muncul dulu. Kalau setakat sahabat, bukan begitu caranya." Fatin bagai cuba mengumpul maklumat dan mencipta teori.

"Memang dia sayang aku pun." Sengaja aku main-main jawab begitu.

Langkah Fatin terus terhenti. Lengan aku ditarik agar ikut hentikan langkah di anak tangga. Dan dia pandang aku dengan mata bersinar, macamlah ayat aku tadi, 'Zhafran sayang kau'.

".... Sebagai sahabat." Ayat sambungan aku mengundang tangan Fatin naik menumbuk sisi bahu aku.

"Sakitlah!" Aku tolak lengan dia dan kembali melangkah memanjat anak tangga.

Kaki melangkah tapi fikiran nun jauh mengikut Zhafran. Aku dan dia, permulaan hubungan kami memang dengan nama sahabat dan tak mungkin perkataan itu akan hilang.

HATI KALA CINTATempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang