Bab 10

767 22 0
                                    

BANGUN lambat hampir tengah hari baru aku turun ke bawah. Semalaman aku menangis. Talian telefon aku tutup sebab tak mahu jawab panggilan Zhafran.

Dan semalam ibu panggil aku turun sebab Zhafran datang pun aku tak turun.

Serius aku dah tawar hati.

"Eee... Cantiknya mak long, Rin suka." Suara ceria Nurin menyapa telinga bila kakiku menjejak lantai bawah.

"Semuanya cantik." Kedengaran lagi suaranya.

Niat untuk ke dapur mencari makanan aku batalkan dan melencong ke ruang depan.

Nampak Nurin sedang menayang dua pasang baju kurung ke badannya sambil berpusing-pusing di depan ibu.

Dan aku nampak juga banyak lagi baju berlonggok atas sofa. Semuanya macam baju baru.

"Ada pertunjukan fesyen ke?" Sengaja aku cipta soalan tak masuk akal sambil melabuhkan duduk. Mata memandang Nurin dan ibu silih berganti.

Saat yang sama, nampak abah masuk dari pintu sebelah kiri rumah dan menghampiri ke arah kami.

"Nurin nak start kelas minggu depan. Dia tak ada banyak baju nak pergi kuliah, tu yang ibu mintak tukang jahit ibu jahitkan dia baju yang sesuai." Ibu menjawab panjang lebar bagi pihak Nurin.

Tak tahu lagi berapa banyak rasa kecil hati yang harus aku simpan untuk sikap ibu yang seakan lupa aku ini anak dia, bukan Nurin.

Bukan aku kata ibu jangan belikan Nurin apa-apa, tapi biarlah berpada. Nak sambung belajar bukan ke luar negara pun, Sunway tu jer. Tapi belikan baju macamlah nak berangkat ke luar negara.

Aku pun ibu tak pernah layan begini.

"Dulu masa Lya nak sambung belajar, tak dapat pun baju-baju macam ni?" Soalan tersebut terbit dari hati yang memang sedang terasa.

Ibu terdiam sesaat sambil memandangku.

"Lya kan dah banyak baju..."

"Ya, banyak. Tapi Lya pernah minta ibu belikan Lya beg. Dan ibu cakap apa?" Kembali ingatanku pada kenangan waktu aku mendapat tawaran ke universiti dulu.

Aku minta ibu belikan beg sandang yang aku berkenan untuk aku guna ke dewan kuliah. Memang agak mahal tapi rasanya masih murah berbanding selonggok baju yang ibu belikan untuk Nurin sekarang ini.

Tapi ibu cakap dah banyak duit keluar. Nanti kemudian ibu belikan. Dan aku terus tak minta lagi selepas itu.

"Tapi abah dah belikan, kan?" Tiba-tiba abah menyampuk. Mempertahankan ibu yang kelihatan tergamam dengan apa yang aku ungkit.

Perlahan aku angguk.

"Selepas enam bulan." Bibir aku kemam menahan tangis sebelum bangkit untuk beredar.

"Lya..." Ibu memanggil tapi aku buat-buat tak dengar.

Tak jadi nak ke dapur sebab rasa lapar sudah hilang, aku terus naik ke bilik.

Telefon aku capai dan nombor Along aku cari. Bertanya sama ada dia ada di rumah atau tidak sebab aku nak ke rumahnya.

Kalau sebelum ini bila hati sedih dan bercelaru, aku akan cari Zhafran. Tapi mulai sekarang, aku harus belajar hidup tanpa Zhafran.

"Kenapa?" Along terus bertanya bila aku kata nak ke rumah dia.

Ya lah, pelik kut. Selalu aku hanya ke rumah dia bila ibu dan abah tak ada di rumah saja.

"Entahlah! Lya pun tak tahu kenapa. Macam semuanya tak kena." Aku lepaskan keluhan berat.

"Jangan banyak mengeluh. Tuhan tak suka." Nasihat ringkat keluar dari bibir Along. Dia ni walau engineer, gaya ustaz tu tetap ada.

Terus aku mengadu apa yang aku tak puas hati pada Along.

"Cuba Lya buka hati untuk terima dia sebagai sebahagian dari keluarga kita. Dia tu bukannya orang lain, sepupu Lya juga kan?" Lagi kata nasihat Along beri.

"Lagi pun, dia tu kan anak yatim. Besar pahalanya menggembirakan hati anak-anak yatim." Sambung Along lagi.

"Eleh! Dia bukannya budak-budak lagi. Dah layak jadi mak budak pun." Bibirku spontan mencebik.

"Sama juga dengan Lya, kan? Kalau kahwin, dah boleh jadi mak budak." Dia pusing ayat kenakan aku balik.

"Eeee....." Aku buat gaya geli.

"Nanti Along beritahu Zhaf, habis belajar terus kahwin la. Tak payah tunggu."

Terus kejung tubuh aku bila Along sebut nama Zhafran. Tengoklah, usahkan orang luar, keluarga sendiri pun memang sudah set kan yang aku dan Zhafran itu ada hubungan istimewa. Kalau tak, takkan Along boleh cakap begitu.

Belum sempat aku membalas bicara Along, pintu bilik kedengaran diketuk dan suara abah memanggil namaku.

"Takpelah long, abah cari Lya." Aku meminta diri untuk memutuskan talian.

Langkah aku atur ke pintu sebaik talian terputus.

"Boleh abah masuk?" Lembut abah meminta izin sebaik aku kuak daun pintu.

Dan sebagai isyarat membenarkan, aku lebarkan pintu, memberi ruang untuk dia masuk.

Langkah abah terus menuju ke katil dan duduk di situ.

"Kejap lagi Lya nak ke rumah Along." Aku terus beritahu abah.

"Lya tak suka Nurin tinggal dengan kita, ya?" Abah meneka dan ternyata tekaannya itu tepat sekali.

"Entahlah! Lya rasa ibu macam dah tak sayang Lya lagi sejak Nurin ada." Tulus aku meluahkan dengan suara mendatar.

"Tak ada orang lain yang boleh gantikan Lya di hati kami." Pantas abah membalas.

"Ibu sayang semua orang apatah lagi Lya anaknya sendiri. Cuma sekarang ni, ibu perlukan pengertian Lya. Ibu tu sebenarnya sedang cuba menunaikan wasiat mak su dengan sebaiknya." Penjelasan yang keluar dari bibir abah seterusnya buat keningku berkerut.

"Mari duduk sini." Abah ajak aku duduk di birai katil. Dia mendahului duduk dan menepuk tempat di sebelahnya.

Nak tak nak, aku terpaksa duduk. Dengan abah, aku tak pandai nak menolak. Sebab cara dia psiko aku, memang sangat lembut dan terkesan.

"Sebelum meninggal, mak su sempat berpesan pada ibu." Lembut abah memulakan cerita. Kisah yang sebelum ini aku tak pernah ambil tahu. Yang aku tahu, mak su meninggal akibat kemalangan.

"Mak su minta ibu berjanji untuk menjaga Nurin dan berikan didikan yang sempurna. Mak su ada insurans dan dia namakan ibu sebagai penerima hibahnya sebab dia yakin hanya ibu yang boleh jaga Nurin." Nafas abah tarik panjang.

"Pertikaian berlaku bila suami mak su tahu dan tak setuju. Dia nak Nurin tinggal kat sana dengan dia walhal sebelum ni dia tak pernah pun layan Nurin macam anak sendiri." Kali ini abah berpaling ke arahku.

"Abah harap sangat Lya faham." Tinggi harapan abah tak mampu aku capai.

Ya! Aku nak sangat faham. Aku nak sangat mengerti situasi ini. Tapi sebab sejak kecil aku memang hidup tidak pernah berkongsi, apabila tiba-tiba harus berkongsi kasih ibu dan abah dengan Nurin, aku jadi sangat susah untuk terima.

"Mari abah hantar ke rumah Along." Abah terus bangkit.

"Tak pe. Lya naik Grab jer."

"Abah hantar." Tegas keputusan yang abah buat.

"Oh!" Semalam Zhaf datang hantar barang Lya." Langkah abah yang mahu keluar terhenti dan dia berpaling ke arahku.

"Barang apa tu? Banyak abah tengok?"

Terus liurku tertelan. Pasti Zhafran hantar semula barang yang aku pulangkan pada dia tu.

Tapi, takkan aku nak cakap kat abah cerita sebenar?

HATI KALA CINTATempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang