ZHAFRAN angkat kening tinggi sebaik abah meminta diri untuk solat asar. Waktu aku turun tadi, dia sedang bersembang dengan abah di laman sebelah sisi rumah. Jadinya, aku duduk dan ikut mendengar.
Bila abah meminta diri untuk masuk ke dalam, tinggal hanya aku dan Zhafran saja di situ.
Hilangnya abah dari pandangan, Zhafran beri isyarat bertanya.
"Kenapa?"Dia bertanya kemudiannya apabila aku tak bereaksi dengan bahasa isyaratnya.
Sambil herotkan bibir, aku geleng kepala. Tak ada mood untuk membuka cerita. Dengan Zhafran, cukup hanya duduk-duduk begini saja, hati aku sudah boleh bertenang.
"Eh! mana pak long?" Tiba-tiba terdengar suara orang yang aku paling menyampah ketika ini dari arah belakangku.
Nurin menghampiri meja tempat aku dan Zhafran duduk bersama sedulang minuman. Rajin pula tiba-tiba. Kalau tengok dari biliknya yang bersepah macam tongkang pecah tu, aku tak percaya dia sebegini rajin nak buatkan air untuk tetamu.
Haruslah ibu yang buatkan air dan dia pula menyibuk nak menghantar. Yalah! tetamu kan lelaki kacak.
"Nurin tak pernah datang sini sebelum ni, ya? Abang tak pernah nampak pun." Zhafran bertanya mesra. Haruslah soalan dituju buat Nurin yang sudah tersenyum gedik.
Aku terus jeling Zhafran. Tak agak-agak bahasa diri sebagai abang. Nampaknya, mereka sudah saling berkenalan sebab Zhafran sebut nama Nurin tadi.
"Pernah datang masa kecik-kecik dulu. Tapi lepas pindah ke Singapore masa Nurin umur 12 tahun, memang tak datang dah. Selalu kat Johor jer." Panjang lebar jawapan Nurin.
Sambil itu, minuman yang dia bawa diatur satu persatu di depan Zhafran dan juga depan aku.
Dari ekor mata, aku hanya memerhati tingkahnya. Matanya bercahaya memandang Zhafran.
"Abang memang tinggal dekat-dekat kawasan sini juga ke?" Tak habis di situ, Nurin menyambung ajukan soalan, seolah mahu memanjangkan lagi sesi perkenalan.
"Dulu abang memang tinggal kat sebelah ni. Tapi dah pindah, dekat-dekat sini juga." Zhafran pula melayan.
Macamlah aku tak ada kat situ. Naik menyampah pula aku rasa sekarang ni.
"Mesti pindah rumah lagi besar, kan?" Nurin bertanya lagi. Dulang di tangan sudah dibawa ke dada dan dipeluk. Badan pula meliuk-lentuk macam lalang kena tiup angin.
"Kalau rumah dia besar pun, kau sibuk kenapa?" Tak mampu menahan rasa menyampah, ayat gaya sarkastik aku balas bagi menjawab soalan tersebut.
Zhafran angkat kening memandangku. Mungkin terkejut dengan cara aku bercakap dengan Nurin.
"Nurin cuma nak sembang jer. Baru pindah sini, takde kawan nak bercerita." Nada Nurin seperti mahu menagih simpati.
"Kau bukan pindah sini. Ibu bawa kau duduk sini SEMENTARA saja." Macam budak kecil bergaduh, aku tekankan perkataan sementara memberi maksud yang aku memang tak suka dia pindah duduk di rumah ini. Membawa maksud juga, dia hanya menumpang di sini buat sementara waktu.
Air muka Nurin nampak berubah dan dia terus meminta diri untuk pergi.
"Kenapa kau layan dia macam tu?" Zhafran tak puas hati.
"Suka hati akulah." Sarkastik aku beralih pula pada Zhafran.
"Kau ni, kesian dia tau. Dia kan baru jer kehilangan keluarga. Tak baik kau layan yatim piatu macam tu." Kali ini nada Zhafran merendah, seolah mahu aku hadam rasa belas yang dia suarakan.

ANDA SEDANG MEMBACA
HATI KALA CINTA
RomanceKadangkala, kita perlu bersabar dengan hujan untuk melihat pelangi. Di mata Lya, Zhafran adalah segalanya. Tapi apa yang Lya tahu, di mana Zhafran dia hanyalah seorang sahabat yang disayangi dan tak boleh di'sentuh' oleh sesiapa pun. "Aku takkan ben...