Bab 7

417 14 1
                                        

BERJALAN sendirian pulang dari kelas tengah hari itu, tiba-tiba terdengar suara memanggil namaku. Sebaik menoleh, nampak Hijaz sedang melangkah ke arahku.

"Nak balik kolej ke?" Penuh sopan dia ajukan soalan.

Dan aku angguk sebagai jawapan.

"Boleh kita jalan sama-sama?" Soalan ditanya lagi, juga penuh tertib. Aku pula yang rasa canggung berdiri di sebelahnya.

"Laluan ni bukan Lya punya. Siapa pun boleh jalan." Aku senyum padanya dan kembali meneruskan langkah.

"Nak jalan sebelah Lya, kena minta izin dulu." Dia pula melangkah beriring di sebelahku.

"Abang tak takut ke orang mengata yang bukan-bukan nanti, jalan sebelah Lya?" Bercakap dengan lelaki ala-ala ustaz, aku automatik jadi sopan.

"Sebab itu abang nak terus terang dengan Lya."

Terus aku menoleh ke arahnya.

"Abang suka Lya." Masih sopan nadanya walau ayat itu adalah ayat luahan rasa.

"Kalau Lya terima, maknanya abang dah tak peduli lagi apa yang orang lain nak kata." Dia menyambung setelah aku hanya diam mendengar luahannya.

"Apa yang abang suka tentang Lya?" Bermain tarik tali, soalan itu aku ajukan.

"Lya satu dalam seribu. Orang buta saja yang tak nampak apa istimewanya Lya."

Aku senyum mendengar jawapannya. Maknanya, Zhafran itu buta?

"Abang tak pernah meminta izin dengan mana-mana perempuan pun untuk berjalan seiring begini. Dan abang tak pernah suka mana-mana perempuan seperti abang suka Lya." Jujur sungguh pengakuannya buatkan aku jatuh kasihan.

Sebabnya, aku harus menolak rasa sukanya secara terang-terangan sekarang juga.

"Abang..." Aku mulakan dengan memanggilnya dengan suara yang lembut.

"Terlebih dahulu, Lya nak minta maaf kalau apa yang Lya nak katakan ni mungkin akan menyakitkan hati abang." Panjang pula mukadimah yang aku beri.

Sebenarnya, aku sedang mencari-cari ayat yang sesuai untuk menolak tanpa melukakan hati dia.

"Lya dengan Zhafran. Sebenarnya, kami... Memang ada hubungan istimewa. Saya memang cintakan dia." Aku cuba menipu.

Penipuan yang ternyata satu kebenaran. Biar Zhafran tidak tahu tapi aku mahu lelaki yang bernama Hijaz ini tahu.

Dan aku nampak Hijaz tersenyum mendengar pengakuanku.

"Abang memang dah agak." Perlahan saja suaranya. Seperti ada kekecewaan di situ.

"Tapi, Zhafran selalu nafikan bila abang tanya." Dia menyambung dengan nada mendatar saja, mungkin sedang berusaha keras untuk menyembunyikan rasa kecewa.

"Kalau benar begitu, abang tak akan mendesak dan anggap saja apa yang abang luahkan tadi tak pernah Lya dengar."

Bicara kami habis di situ. Kebetulannya langkah kami juga sudah mencecah ke perkarangan kolej dan aku meminta diri untuk terus berlalu ke blok kediamanku yang terletak di hujung sekali.

Makanya laluan kami terpisah di situ. Aku anggap dia kotakan apa yang dia kata, lupakan apa yang dikatakan.

Aku juga akan lupakan dan akan anggap dia tak pernah cakap apa-apa.

Naik ke bilik, mandi dan solat. Petang nanti ada kelas lagi. Makanan sudah aku bungkus siap-siap.

Rehat sekejap sebelum bersiap untuk ke kelas seterusnya, Fatin muncul di pintu bilik.

HATI KALA CINTATempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang