Bab 14

1K 37 0
                                    

LANGKAHKU terhenti bila telinga bagai terdengar nama Zhafran disebut oleh suara ibu.

Waktu itu aku mahu melangkah ke ruang dapur. Baru saja sampai dari kolej hujung minggu itu.

"Kenapa mesti Zhafran, Rin? Bukan ke Rin tahu dia kawan dengan Lya?"

Hatiku jadi berdebar.

Aku sembunyikan diri di sebalik dinding sambil memasang telinga. Nasib baik waktu itu abah tiada di rumah.

"Itu Rin tahu, Mak Long. Tapi mereka kan hanya kawan biasa. Abang Zhaf sendiri yang mengaku begitu." Suara manja Nurin, aku telan dengan perasaan berbaur.

Benarkah Zhafran mengakui begitu?

Ya! Mungkin benar kerana Zhafran itu memang tidak pernah ada apa-apa perasaan terhadapku walaupun sebesar hama.

Betullah, Nurin sudah kotakan apa yang dia kata. Dia sudah berjaya jarakkan Zhafran dariku.

"Maksudnya, Rin dan Zhaf dah berbincang?" Soal ibu.

"Dah, Mak Long. Kami dah berbincang dari hati ke hati dan kami memang saling mencintai." Ceria suara Nurin seperti orang sedang bahagia. Dan aku yang mendengar sudah terasa sesak dalam dada.

Buat pertama kali, aku tak tahu apa rasa yang tiba-tiba datang membelenggu hatiku. Tetapi yang pasti, ianya amat menyakitkan.

"Keluarga dia nak datang merisik dan tunang sekali dalam waktu terdekat ni."

Hanya setakat itu yang mampu aku dengar sebelum kakiku bergerak menjauh, memanjat anak-anak tangga menuju ke bilik.

Baru saja melabuhkan duduk di katil, telefon bimbit yang aku tinggalkan di atas katil sebelum turun tadi berdering.

Nombor yang tertera, tak aku kenali.

Siapa?

Dalam tertanya, aku jawab juga panggilan tersebut.

"Nak cakap dengan siapa?" Serius aku bertanya selepas menjawab salam si pemanggil. Suaranya macam pernah aku dengar, tetapi otakku tak mampu meneka.

"Lya..."

Pemanggil itu menyebut namaku membuatkan aku terperanjat. Maksudnya, dia memang mengenaliku.

"Siapa ni?" Aku sudah sedikit cuak.

"Abang Hijaz."

Mendengar nama itu, aku terus terdiam. Dari mana dia mendapat nombor telefon bimbitku?

"Abang minta maaf kalau mengganggu Lya. Zhafran yang bagi nombor Lya pada abang." Dia terus menjawab soalanku tanpa sempat aku bertanya.

"Oh, sorry... Tak cam suara tadi." Aku berbasa-basi sedang dalam hati sudah terpercik lahar kemarahan terhadap Zhafran yang sesuka hati memberikan nombor telefon bimbitku kepada orang tanpa kebenaranku.

"It's okay. Lya sihat?"

"Alhamdulillah, Sihat" Bercakap dengan ustaz, kena bahasa sopan. Kalau dengan Zhafran, tak adanya aku nak sesopan begini.

"Lya... Abang tak pandai nak bermadah pujangga." Suaranya kedengaran berubah nada, jadi serius tiba-tiba.

"Zhafran dah beritahu ang dia memang tak ada apa-apa hubungan dengan Lya." Kenyataan yang keluar dari bibir Hijaz itu bagai pisau tajam menghiris hatiku secara perlahan.

"Abang mengharap, Lya. Tak kiralah berapa lama masa yang Lya ambil, abang akan tunggu sehinggalah Lya membuat pilihan. Abang hanya akan mengalah jika pilihan Lya nanti tidak berpihak pada abang."

Terkedu aku mendengar luahannya. Dari tadi, aku hanya tekun mendengar sambil cuba mengawal rasa.

"Abang bukan tak berani berdepan dengan Lya untuk meluahkan semua ni, tapi abang tak mahu ada suara-suara sumbang yang bercerita di belakang bila tengok kita bertemu."

Nafas aku tarik panjang. Kalau mendengar bicaranya, hati sangat yakin yang lelaki ini memang lelaki baik-baik.

Pointnya....

* Tak mahu bertemu untuk elakkan fitnah.

* Bercakap pun ada tatasusila.

* Dan yang penting, terus-terang apa yang dimahu.

Cuma hati aku saja yang tak pernah mahu suka dengan sifat yang baik-baik itu. Hati aku saja yang sejak dulu sukakan sesuatu yang tak pernah sukakan aku.

Itu masalah besar yang sedang aku hadap sekarang ini.

"Lya tak tahu nak cakap apa. Tapi, terima kasih sebab sudi 'pandang' Lya yang tak punya apa-apa ni." Akhirnya, aku bersuara.

"Cuma... Lya perlukan masa." Aku cuba bermanis kata sedang hatiku sebenarnya sudah meluahkan kata penolakan.

Pesan abah, kalau tidak suka, jangan terang-terang tunjukkan kita tak suka kerana itu akan membuatkan orang berkecil hati atau sakit hati.

Salah satu kejahatan yang kita tak pernah terfikir yang kita sedang lakukan ialah menyakitkan hati orang dengan kata-kata kita sendiri tak terjangka.

"Sebagaimana yang abang cakap tadi, ambillah masa sehingga Lya betul-betul pasti dengan hati sendiri." Lembut dan lunak suaranya menyuruh aku berfikir.

Tetapi, kenapa hatiku langsung tak bergetar?

Kata Fatin, lunaknya suara Abang Hijaz tu tatkala bercakap atau mengalunkan doa mampu menyejukkan hati dan mendamaikan jiwa.

Ah! Kalau tentang ustaz yang satu itu, semuanya elok belaka di mata Fatin. Kalaulah Fatin tahu tentang semua ini, entah apalah reaksinya. Mahunya dia histeria tiga hari, tiga malam.  

HATI KALA CINTATempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang