TEMAN Along jumpa tunang dia di KLCC, kami minum di restoran Chilli's. Sengaja nak bagi peluang Along sembang dengan Kak Hanna, aku minta diri ke Kinokuniya, sambil-sambil nak cari buku.
Satu perangai aku, kalau dah jumpa rak buku, memang macam duduk dalam syurga la. Tak ingat dunia dah. Tak kisah la rak novel atau rak buku ilmiah.
Rasa macam lamanya tak masuk ke Kinokuniya ni, dari satu rak ke satu rak aku jelajah. Dari satu buku ke satu buku aku belek.
Sedang leka membelek itulah aku terdengar suara halus seorang wanita yang macam aku kenal di sebalik rak tempat aku berdiri itu.
"Yang ni nak juga tau."
"Okey." Suara lelaki membalas.
Dan suara lelaki juga macam aku kenal.
"Dan yang ni juga." Suara perempuan kedengaran lagi.
Selepas itu suara lelaki tetap membalas okey, tak ada yang tak okey untuk setiap yang perempuan tersebut nak.
"Terima kasih abang Zhaf sebab bawa Nurin ke sini. Macam-macam ada." Ayat tersebut mengesahkan bahawa orang yang aku teka itu tepat.
Ya, Nurin dan Zhafran. Dari ayat tersebut maknanya Zhafran bawa Nurin ke situ untuk beli kelengkapan untuk dia sambung belajar nanti.
"Lepas ni Nurin nak cari beg, Boleh?" Kedengaran lagi suara si perempuan. Manja saja gayanya macam si kekasih bercakap dengan kekasih hati.
"Boleh." Balas si lelaki.
"Abang Zhaf belanja tau." Makin manja dan gedik suara Nurin.
Baik punya kikis.
Dan Zhafran pula bagai lembu di cucuk hidung, semuanya okey.
Aku yang dah lama berkawan dengan dia ni pun tak pernah meminta yang bukan-bukan begitu.
Tak tahu nak cakap apa, tak tahu nak gambarkan apa yang aku rasa. Tapi rasa yang muncul ini aku sangat-sangat tak suka. Sebab aku tak punya hak untuk berkata apa-apa antara mereka.
Zhafran bukan hak aku, jadinya aku tak boleh kata Nurin rampas perhatian Zhafran terhadap aku.
Tak mampu melangkah, aku hanya berdiri kaku di situ. Berdiri untuk tenangkan hati sendiri dengan apa yang aku baru dengar tadi.
Tiba-tiba aku nampak dua manusia tersebut masuk ke lorong tempat aku berdiri. Tak sempat untuk lari, Zhafran nampak aku dulu.
"Lya?" Dia menegur dan nampak terperanjat. Mungkin tak sangka akan bertemu aku di sini.
Aku hulur senyum paksa.
"Hai." Tangan aku angkat dan berundur ke belakang.
"Kau sorang ke?" Zhafran masih mahu memanjangkan bicara.
Nurin yang ada di sebelahnya sudah tayang muka tak puas hati.
"Soranglah. Aku mana ada kawan." Jawapan sinis aku berikan sebelum berlalu meninggalkan keduanya di situ.
Langkah laju aku atur ke kaunter pembayaran. Baik bayar segera dan keluar sebelum aku menangis untuk sesuatu yang tak sepatutnya.
Sedang beratur menunggu giliran untuk membuat bayaran, Zhafran panggil namaku. Dan aku tahu, dia sedang berdiri di belakangku.
"Biar aku bayarkan." Dia bersuara perlahan.
Tawarannya tersebut tak pelik pun bagi aku sebab sepanjang mengenali Zhafran, kalau aku keluar dengan dia, memang selalunya apa yang aku beli dia akan bayarkan.
Sebab itu aku jarang nak beli macam-macam kalau keluar dengan dia. Sebab aku tahu dia akan berkeras untuk membayarnya.
Tapi masalahnya sekarang, aku bukan keluar dengan dia. Lagi pun, dua perlu bayar semua barangan yang Nurin beli. Aku nampak bukan sedikit yang diborongnya, penuh dua bakul.
"Takpe, aku ada duit sendiri." Aku menolak. Duit dari beg aku keluarkan dan hulur bersama buku yang aku mahu beli ke arah juruwang apabila tiba giliran aku untuk membuat pembayaran.
Tiba-tiba Zhafran rampas duit tersebut dan dia hulurkan kad kredit ke arah juruwang.
Serba salah juruwang tersebut memandang aku dan Zhafran silih berganti.
Aku terus pandangan Zhafran. Separuh dari rasa yang muncul di dada, aku mahu sangat marah dia. Tapi tak ada topik yang kukuh untuk aku jadikan bahan kemarahan.
Separuh lagi yang muncul, aku mahu berdamai dengan dia. Aku mahu sangat hubungan kami sama seperti dulu.
Tapi, itu agak mustahil sebab memandang saja muka Nurin di sebelah Zhafran, gelombang tinggi muncul di dada.
Malas nak kecoh-kecoh, aku berpaling ke arah juruwang dan angguk perlahan sebagai isyarat agar dia gunakan kad kredit Zhafran sebab sudah semakin ramai pelanggan lain yang beratur di belakang.
Selesai urus niaga, Zhafran hulurkan duit not 50 yang dia rampas tadi kepadaku.
Tanpa menyambutnya, aku senyum.
"Aku bayar kad kau tu guna duit tu sebab aku tak nak hutang apa-apa dengan kau." Sehabis ayat tersebut, aku melangkah pergi tanpa menoleh ke belakang.
Tak mahu terus cari Along sebab aku tak mahu Along syak bila tengok muka aku yang serabut, aku melangkah ke tandas.
Berdiri di depan singki, aku cuci muka dan betulkan tudung. Dada aku urut perlahan untuk kembali bertenang.
Saat itulah telefonku berdering dan nama Zhafran yang muncul buatkan tenang yang aku panggil tak mahu muncul.
Panggilan tersebut tidak aku jawab. Bukan sekali malah berkali-kali. Dan menyusul selepas itu, pesanan WhatsApp pula dia hantar.
Lya, aku tunggu kat Chilli's. Jumpa kat situ.
Nafas aku hela panjang tatkala membaca pesanan tersebut. Menyesal pula aku ajak Along masuk ke situ tadi.
Memang kalau aku datang ke sini dengan Zhafran, di situlah tempat kami lepak, makan dan minum. Aku suka makan kek coklat aiskrim kat situ.
Along ada kat situ. Kalau kau nak bawa Nurin, pergi lain tempat.
Itu yang aku balas pada dia. Tak tahu kenapa, aku tak mahu Along nampak dia dengan Nurin. Walau hati sedang marah dan tak suka dengan apa yang terjadi, tetap juga aku tak mahu keluargaku bersangka buruk pada dia.
Kemudian, aku hubungi Along dan nyatakan pada dia yang aku terjumpa kawan sekampus. Aku akan balik sendiri nanti dan beri peluang Along lebih lama dengan bakal tunang dia.
YOU ARE READING
HATI KALA CINTA
RomanceKadangkala, kita perlu bersabar dengan hujan untuk melihat pelangi. Di mata Lya, Zhafran adalah segalanya. Tapi apa yang Lya tahu, di mana Zhafran dia hanyalah seorang sahabat yang disayangi dan tak boleh di'sentuh' oleh sesiapa pun. "Aku takkan ben...